SHAH ALAM - Beberapa Ahli Parlimen UMNO berpendapat sokongan syarat yang ditetapkan oleh Perikatan Nasional (PN) bukan sesuatu yang pelik dan tidak perlu dirisaukan. Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa Ahli Parlimen UMNO berpendapat sokongan syarat yang ditetapkan oleh Perikatan Nasional (PN) bukan sesuatu yang pelik dan tidak perlu dirisaukan.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau tidak melihat sokongan bersyarat yang dikemukakan oleh Perikatan Nasional (PN) boleh merisaukan UMNO.

"Pada saya itu adalah suatu perkara normal, bukan merupakan sesuatu yang pelik dalam apa pun tindakan kita sebagai ketua dan sebagai pemimpin.

"Saya rasa itulah yang kita akan diberi keutamaan dalam menentukan barisan kepimpinan di bawah kita, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis yang menyatakan sokongan ahli Parlimen parti itu kepada Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri yang baharu secara bersyarat.

Muhyiddin berkata, sekiranya Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut berpendapat, kabinet baharu yang bakal dilantik tidak boleh lari daripada soal integriti seperti dinyatakan Muhyiddin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin Ismail Sabri mengetahui apa yang perlu dilakukan.Katanya, ahli Parlimen Bera itu perlu diberikan peluang oleh semua pihak.

"Saya juga percaya pemimpin UMNO tidak akan melakukan perkara yang boleh menyebabkan UMNO ditolak rakyat.

"Sekarang masa untuk pulihkan keyakinan rakyat dan pelabur,” kata beliau.

Mengulas isu sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berpendapat apa yang dinyatakan oleh Muhyiddin itu merupakan prinsip asas dalam kepimpinan.

"Prinsip kepimpinan mesti orang yang amanah, berintegriti, sayang kepada rakyat dan prihatin,” katanya.

Semua pihak ujar beliau, turut mahukan apa yang dinyatakan oleh Muhyiddin dilaksanakan oleh PerdanaMenteri yang baharu.

Klik di sini untuk terus membaca