TANGGAL 9 Mei 2018 pastinya akan diingati rakyat Malaysia terutamanya pimpinan tertinggi UMNO.
Menjadi 'abang besar' dalam satu kapal gah bernama Barisan Nasional (BN), selama 61 tahun, tiada ombak dan ribut taufan yang mampu membadai kapal besar BN. Maka sejak merdeka, banyak kapal-kapal kecil (parti-parti lain) yang telah berlindung dan mengharapkan bantuan kapal besar BN.
Namun, pada 9 Mei 2018, pusaran tsunami akhirnya memecah dan hampir menenggelamkan kapal besar BN.
BN kecundang di tangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tragisnya, kapal besar BN 'dipecahkan' oleh bekas Presiden UMNO sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai gabungan baharu, PH.
Isu seperti 1Malaysia Development Berhad, SRC International Sdn Bhd, rejim cukai GST, kerajaan kleptokrasi dan janji lebih 'hebat' pihak lawan telah menjadi senjata tajam menyebabkan BN gagal menawan hati rakyat.
Tragedi UMNO 2018
Tanpa kuasa, kapal-kapal kecil pun mula meninggalkan kapal uzur BN. Daripada lebih 13 parti yang bernaung sebagai parti komponen BN, 10 daripadanya mengambil keputusan angkat kaki.
Tinggallah tiga parti tunjang UMNO, MCA dan MIC yang cuba mempertahankan kapal 'pecah' BN daripada terus tenggelam.
Namun, kisah sedih UMNO tidak berakhir di situ.
Menambah luka parti tertua dan terbesar negara itu, apabila banyak kapten kapalnya membuat keputusan berpindah menaiki kapal baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sekurang-kurangnya 16 ahli ahli Parlimen UMNO antaranya Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermiyati Samsudin; Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Seri Mustapha Mohamed (Jeli); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu; Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi survival politik masing-masing.
Pada PRU14 itu, BN sebenarnya memperoleh 79 kerusi berbanding 133 kerusi pada PRU13. Namun, selepas satu demi satu parti 'cabut' dan seorang demi seorang ahli Parlimennya 'angkat kaki' tinggallah 42 wakil rakyatnya di Parlimen iaitu UMNO dengan 38 kerusi, MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1).
Formula baharu
Selepas kekalahan pada PRU14, UMNO dan BN gagal bangkit dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas itu.
Tanpa sebarang formula dan percaturan baharu BN terus kalah dalam empat PRK berturut-turut sepanjang tahun 2018. Kalah di PRK DUN Sungai Kandis, tewas di PRK DUN Sungai Setia, kecundang di DUN Balakong dan gagal di PRK Parlimen Port Dickson.
Hanya selepas tujuh bulan, UMNO menemui satu formula yang dilihat bakal memberi sinar kepadanya. Himpunan Bantah ICERD pada penghujung tahun 2018 memulakan bibit-bibit kerjasama lebih rapat UMNO dan Pas sehingga tercetusnya idea Muafakat Nasional (MN).
Walaupun pada ketika itu MN belum dimeterai secara rasmi, namun 'kerjasama rapat' UMNO dengan Pas berjaya membolehkan calon BN, Ramli Mohd Nor menang dalam PRK Parlimen Cameron Highlands.
Dan idea dan formula 'penyatuan ummah' itu juga telah berjaya membolehkan BN menang dalam enam PRK lain iaitu PRK DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Tanjung Piai, Parlimen Kimanis, DUN Chini dan DUN Slim.
Kejayaan-kejayaan tersebut menyaksikan UMNO dan Pas akhirnya mengisytiharkan pembentukan MN yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk pada 14 September 2019.
Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra pada Himpunan Penyatuan Ummah.
Kembali jadi kerajaan
Perubahan politik tanah air termasuk satu gerakan dinama Langkah Sheraton menyebabkan UMNO akhirnya menamatkan tugas sebagai blok pembangkang. UMNO dan BN hanya menjadi pembangkang selama 22 bulan, bukan selama sepenggal kira-kira lima tahun seperti kebiasaannya.
UMNO bersama parti Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak, STAR, PBS dan kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR, kemudian membentuk kerajaan dalam gabungan yang dinamakan Perikatan Nasional (PN).
Dengan beberapa pemimpin kanan UMNO masih mempunyai kes pendakwaan di mahkamah, Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Menteri Kanan (Keselamatan).
Pemimpin UMNO lain yang turut menyertai Kabinet PN antaranya ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah); Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli) dan Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi).
UMNO ke puncak kuasa
Bagaimanapun, dengan majoriti mudah yang dimiliki Muhyiddin sangat tipis, kerajaan PN menerima tekanan kuat daripada lawan terutamanya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun beberapa kali Anwar pernah mengumumkan beliau mempunyai 'angka mencukupi', namun kerajaan PN tidak berjaya dijatuhkan PH.
Namun, kerajaan PN Muhyiddin hanya mampu bertahan selama 17 bulan, apabila 'ketegangan' hubungan dengan sebahagian besar pucuk pimpinan UMNO menyebabkan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Muhyidddin.
UMNO diketuai Ahmad Zahid membuat keputusan menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 3 Ogos lalu.
Selepas dua minggu krisis dalam kerajaan PN, akhirnya kerana telah hilang majoriti Muhyiddin bersama jemaah Menteri mengumumkan peletakan jawatan pada 16 Ogos lalu berkuat kuasa serta merta.
Kekosongan jawatan Perdana Menteri, menyaksikan satu perlumbaan baharu ke Putrajaya. Walaupun banyak nama yang pada mula disebut-sebut, namun pecutan terakhir kemudian tertumpu kepada Ismail Sabri dan Anwar.
Debaran PM ke-9 akhirnya bertemu penamat, apabila dengan 114 sokongan ahli Parlimen, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada Jumaat.
Naiknya Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, menyaksikan UMNO kini kembali menguasai pentadbiran negara selepas lebih dua tahun kehilangan kuasa.
Dan lebih hebat, UMNO menjatuhkan PH, menurunkan Muhyiddin dan kembali menguasai Putrajaya hanya melalui percaturan bijak permainan angka sokongan ahli Parlimen, tanpa perlu menanti PRU15.
Klik di sini untuk terus membaca