SHAH ALAM - Selepas tiga tahun tiga bulan, parti UMNO kembali mengetuai pentadbiran negara apabila Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan hari ini.
Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah jawatan tersebut di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara tepat jam 2.30 petang.
Ismail Sabri menyempurnakan istiadat itu dengan lafaz angkat sumpah setia dan simpan rahsia:
"Wallahi, Wabillahi dan Watallahi, saya Ismail Sabri Yaakob setelah dilantik memegang jawatan seorang Perdana Menteri, dengan sesungguhnya bersumpah, bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan jawatan itu dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenarnya kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungai dan mempertahankan Perlembagaannya.
"Wallahi, Wabillahi dan Watallahi, saya Ismail sabri Yaakob dengan sesungguhnya bersumpah saya tidak akan memberitahu atau menzahir kepada mana-mana orang sama ada secara langsung atau tidak langusng apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya, atau yang saya akan ketahui sebagai Perdana Menteri, kecuali sebagaimana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan sewajarnya kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagaimana yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong."
Menariknya, dengan pelantikan itu, Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pertama yang memimpin Putrajaya tetapi bukan seorang Presiden atau Timbalan Presiden parti.
Ahli Parlimen Bera itu mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah sebagai PM-9 selepas beliau mendapat 114 sokongan daripada 220 ahli Parlimen.
Turut hadir menyaksikan upacara angkat sumpah tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Krisis politik negara mula tercetus sejak awal bulan ini apabila 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Disebabkan hilang majoriti, Ahli Parlimen Pagoh itu terpaksa mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.
Pecutan terakhir jawatan Perdana Menteri kemudian tertumpu kepada Ismail Sabri dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengimbas semula tsunami politik tahun 2018, kerajaan UMNO/BN mencatat sejarah hitam apabila tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Ismail Sabri sendiri pernah menjadi Ketua Pembangkang selepas itu, sebelum kembali menyertai kerajaan dalam kerajaan Perikatan Nasional dipimpin Muhyiddin.
Selepas ini, cabaran terbesar Ismail Sabri sudah tentunya pembentukan Kabinetnya.
Ramai yang tertanya pemimpin dari parti mana yang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri atau adakah Ismail Sabri akan mengikut jejak Muhyiddin yang hanya melantik Menteri Kanan.
Klik di sini untuk terus membaca