PADA 20 Januari lalu, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada parti Demokrat, Joe Biden menjadi Presiden AS paling tua dalam sejarah negara itu. Berikutan umurnya yang mencecah 78 tahun, timbul persoalan sama ada beliau layak... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 20 Januari lalu, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada parti Demokrat, Joe Biden menjadi Presiden AS paling tua dalam sejarah negara itu.

Berikutan umurnya yang mencecah 78 tahun, timbul persoalan sama ada beliau layak mentadbir AS dan mampu menghabiskan penggal pemerintahannya sehingga Januari 2025.

Semasa kempen pilihan raya Presiden pada 2020, pendahulunya, Donald Trump pernah mengkritik Biden dengan menyatakan beliau tidak mempunyai kesihatan yang baik jika memegang jawatan itu.

Beliau juga dilaporkan sering tersasul ketika berucap, tersilap menyebut perkataan dan tidak jelas serta tersalah mengenal pasti orang seperti menganggap isterinya sebagai kakak semasa kempen pilihan raya itu.

Biden juga pernah terjatuh sebanyak tiga kali ketika menaiki tangga pesawat rasmi Presiden AS, Air Force One pada Mac lalu hingga menyebabkan isu kesihatannya kembali mendapat perhatian ramai.

Setelah kira-kira tujuh bulan selepas mengambil alih Rumah Putih, beliau terjerumus ke dalam isu Afghanistan apabila keputusannya untuk memanggil pulang kira-kira 2,500 tentera AS menyebabkan Taliban menguasai negara itu hanya dalam tempoh 10 hari sahaja.

Imejnya semakin tercalar selepas Taliban berjaya menawan Kabul pada akhir minggu lalu ketika Washington mendedahkan ia terpaksa membelanjakan kira-kira lebih AS$2 trilion (RM8.48 trilion) dalam peperangan yang berlarutan selama 20 tahun itu.

Kenyataan Biden tentang situasi di Afghanistan juga bercanggah dengan penerangan yang diberikan oleh jurucakap Jabatan Pertahanan, John Kirby pada Jumaat lalu sekali gus mencetuskan persoalan sama ada operasi penghantaran maklumat dari negara itu berada dalam kawalan beliau.

Menerusi kenyataan itu, Biden mendakwa misi untuk menghapuskan Al-Qaeda berjaya dilakukan di Afghanistan namun Kirby memaklumkan kumpulan itu dan Daesh masih kekal berada di negara tersebut.

Presiden itu juga berjanji untuk membawa keluar semua rakyat AS dari negara tersebut manakala Kirby berkata, majoriti orang yang dipindahkan itu ialah warga Afghanistan.

Kenyataan Biden itu juga dibuat ketika lebih 5,000 tentera AS membantu untuk memindahkan seberapa ramai orang yang boleh sebelum tarikh akhir ditetapkan pada 31 Ogos ini.

Anggota Taliban mengawal pintu masuk di luar Kementerian Dalam Negeri di Kabul.

Proses yang kelam-kabut di lapangan terbang di Kabul itu juga menyebabkan Biden disamakan dengan cara pemindahan warga dan tentera AS pada tahun 1975 selepas kejatuhan Saigon, Vietnam di tangan komunis semasa pemerintahan Presiden ke-38, Gerald Ford.

Ketika ini, anggota parti Republikan menggelar Presiden paling tua di AS itu dengan gelaran 'Biden Saigon'.

Media di AS turut menyamakan isu di Afghanistan yang dihadapi Biden itu dengan zaman pemerintahan Presiden ke-39 AS, Jimmy Carter.

Ketika itu, Carter daripada Parti Demokrat menghadapi krisis tebusan sejumlah warga AS di Teheran pada tahun 1970-an semasa kebangkitan Revolusi Islam di negara tersebut.

Selepas beberapa siri rundingan dilakukan, Iran akhirnya bersetuju untuk membebaskan warga AS yang sebahagian besarnya ditahan lebih daripada setahun.

Insiden itu dikatakan menjadi punca kekalahan Carter kepada Ronald Reagan pada Pilihan Raya Presiden hingga menyaksikan penggantinya mengambil alih kuasa pada 1981.

Keadaan kucar-kacir yang melanda Afghanistan akibat keputusan terburu-buru Biden untuk memanggil pulang pasukan tentera AS turut dikritik Trump yang menuntut pengundurannya, baru-baru ini.

Ironinya, perjanjian itu dibuat bersama Taliban di bawah pentadbiran Trump yang menetapkan tarikh akhir pengunduran tentera AS adalah pada Mei tahun ini tetapi dilanjutkan lagi oleh Biden pada 31 Ogos ini.

Keputusan tergesa-gesa Biden yang mahu membawa pulang 2,500 tentera dan 16,000 kontraktor awam AS dari Afghanistan menyebabkan Taliban dikatakan mempercepatkan lagi kempen untuk menguasai ibu kota wilayah negara tersebut.

Situasi itu diburukkan lagi dengan sebahagian pasukan keselamatan tempatan menyerah kalah dalam tempoh singkat walaupun sebelum ini diberikan latihan untuk mempertahankan diri oleh AS yang menyaksikan beberapa bandar jatuh ke tangan Taliban tanpa berlaku insiden pertempuran sebelum Kabul dikuasai sepenuhnya oleh gerakan tersebut pada 15 Ogos lalu.

Justeru, beberapa senator daripada parti Republikan mempertimbangkan untuk menggunakan Pindaan ke-25 dalam Perlembagaan Negara bagi meminta undian diadakan untuk menyingkirkan Biden yang dilihat tidak lagi mampu menggalas tugas sebagai Presiden AS.

Keputusan itu disebabkan oleh kegagalannya untuk mengatur dengan baik pengunduran tentera dan warga AS dari negara berkenaan dan memastikan Taliban tidak menguasai Afghanistan.

Kedudukan presiden paling tua di AS kini semakin tergugat dek kerana 'tersilap percaturan' yang turut memberi impak kepada komuniti antarabangsa.

Klik di sini untuk terus membaca