PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghentikan teka-teki siapakah Perdana Menteri Malaysia kesembilan. Ia berlaku selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin kehilangan sokongan majoriti di Parlimen dan membuat keputusan meletakkan jawatan. Ia... Klik di sini untuk terus membaca

PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghentikan teka-teki siapakah Perdana Menteri Malaysia kesembilan. Ia berlaku selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin kehilangan sokongan majoriti di Parlimen dan membuat keputusan meletakkan jawatan.

Ia adalah keanehan dalam politik tanah air kerana pertama kali seorang Perdana Menteri terpaksa membuat keputusan sedemikian rupa.

Sepanjang 17 bulan, beliau berdepan kesukaran untuk meleraikan kekusutan kepimpinan politik yang akhirnya berada di jalan buntu. Adakah dikenal pasti punca berlaku krisis dan mengapa ia berpanjangan?

Apakah Ismail Sabri akan berdepan tekanan sama dengan bilangan 114 wakil rakyat menyokong beliau? Apa berlaku jika empat daripadanya membuat keputusan tidak menyokong kepimpinan beliau? Apakah kita memerlukan ‘kontrak politik baharu’?

Dalam suasana tidak menentu dan tidak stabil, ia adalah antara alternatif. Ketidakupayaan menyelesaikan krisis jelas kerana gangguan berterusan ke atas kepimpinan dan kerajaan kerana ketiadaan majoriti yang jelas. Pendekatan konsultatif kini penting.

Kontrak politik baharu perlu mengambil kira persekitaran demografi dan geografi yang sudah berubah. Tiga kali kerajaan berubah sepanjang tiga tahun. Menjadi pemimpin bukan satu anugerah tetapi tanggungjawab.

Kita memerlukan tanggungjawab luar biasa, pemikiran luar biasa, keputusan luar biasa, tindakan luar biasa dengan harapan mencapai objektif luar biasa.

Penyatuan semua parti politik dan pemimpin atas prinsip ‘bipartisan’ akan menjadi kebiasaan walaupun luar biasa. Ia perlu menjadi mukadimah kontrak politik baharu.

Bagi Ismail Sabri, beliau perlu memantapkan Barisan Nasional (BN), perkasakan Perikatan Nasional (PN) dan perkukuhkan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH). Hubungan dengan istana perlu disantuni, interaksi kumpulan G24 dan G15 UMNO perlu diperbaiki, hubungan dengan Bersatu pasukan Muhyiddin, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga perlu dihalusi serta hubungan dengan kumpulan pembangkang termasuk Warisan dan Pejuang dirujuk semula.

Persengketaan dalaman perlu dihentikan. Tangan boleh dihulur sebagai tanda ‘gencatan politik’. Kesemua itu adalah ruang bermusyawarah sebelum berdepan dengan undi percaya di Parlimen nanti.

Politik perdamaian dan mencari jalan tengah adalah wajar ketika mengurus krisis. Pasukan Ismail Sabri memerlukan paparan kepakaran, kewibawaan dan ketokohan. Kabinet mengurus krisis mestilah kecil tetapi memberi impak besar kepada negara.

Kabinet besar tidak relevan lagi. Ia boleh dilengkapi dengan pembentukan Majlis Gerakan Pemulihan Negara (MAGEPAN) dengan keanggotaan yang seimbang antara blok kerajaan dan pembangkang.

Sudah tiba masanya untuk mengetepikan politik dominan, pembunuhan karakter, politik dendam, politik penaungan, cantas dan sabotaj serta terma godfather-warlord. Pelabelan pada kluster mahkamah perlu dihentikan. Ia mirip sokong bawa rebah. Demokrasi boleh disuburkan dalam kontrak baharu ini, hak sivil, good governance, penerimaan idea dan memperkasakan masyarakat.

Kerjasama politik berasaskan kepada politik rasional dan praktikal boleh menjadi pilihan. Politik berhemah dan bermoral menjadi keutamaan.

Matlamatnya jelas iaitu selesakan rakyat, sejahterakan rakyat dan sihatkan rakyat. Kebuntuan politik perlu di-noktahkan. Jalur politik diatur semula dengan keikhlasan dan bukan kesedaran palsu semata-mata untuk kekal kuasa.

Ismail Sabri tidak mempunyai masa. Anggota kabinet perlu digerakkan segera bersama penjawat awam yang ampuh sistem penyampaiannya. Defisit kepercayaan tidak lagi boleh diulang walau yang di luar tidak ada sokongan.

Penjenamaan beliau bermula dengan pembinaan anggota kabinet dan kesinambungan dasar bersama penambahbaikan yang sesuai.

Reformasi politik boleh menjadi legasi Ismail Sabri jika berjaya tetapi kesemuanya memerlukan pengorbanan dan kompromi.

Bersediakah kita untuk kontrak politik baharu?

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca