PEMUDA-pemuda pro Taliban itu sedang menunaikan solat tahlil di padang berpasir tersebut bagi memperingati 500 penduduk kampung mereka yang terbunuh dalam peperangan.
Sejurus kemudian, saya terdengar beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kereta Toyota Corona lama tahun 1960-an yang saya naiki dan kumpulan 20 pemuda itu dengan raifal automatik AK47 di tangan masing-masing berlari meluru ke arah kami.
Saya meminta Meraj memecut pergi tetapi sebaliknya, dia memberhentikan keretanya dan mahu berdepan dengan para pemuda tersebut.
Dalam situasi cemas itu, beberapa pemuda menolak saya dan kemudian salah seorang daripada mereka menonyoh kuat beberapa kali di kepala menggunakan AK47, dengan jari bersedia untuk melepaskan tembakan walaupun saya memekik sekuat hati kalimat 'Allahuakbar’ berulang kali.
Bayangkan keadaan saya ketika itu, dengan kedua-dua lutut menggigil, hanya wajah dua anak yang masih kecil tiba-tiba terlintas di fikiran.
Kumpulan pemuda itu dikatakan marah apabila melihat juru foto bebas, Hambali merakam gambar mereka dan menyangka kami perisik asing kerana di kiri kanan kereta yang kami naiki itu terpapar bendera Malaysia yang mirip dengan bendera Amerika Syarikat (AS), selain menyangka kamera video yang besar itu meriam mortar.
Penulis menjadi sasaran kemarahan ketika itu kerana mereka menyangka saya yang merakam gambar disebabkan sebuah kamera tersisip di tali pinggang yang saya pakai. Peralatan kamera Hambali berharga puluhan ribu ringgit sempat disembunyikan di bawah tempat duduk di dalam kereta.
Kamera yang baru saya beli dengan harga RM900 di KLIA sebelum bertolak ke Pakistan telah dirampas, dihempas ke tanah dan dipijak-pijak. Tiga gulung filem yang mengandungi rakaman pelbagai peristiwa dan diri sendiri di dalam saku seluar turut dirampas dan dimusnahkan.
Hambali turut menghadapi situasi sama, hanya dia tidak diacukan senjata di kepala kerana mungkin orangnya rendah dengan fizikal yang kecil.
Melihat situasi yang tidak terkawal dan kumpulan pemuda tersebut semakin bertindak ganas, Meraj memekik kuat ke arah mereka dalam bahasa Pashtun: "Jika kamu bunuh wartawan Malaysia, seluruh kampung kamu akan dimusnahkan oleh Abdul Salam.’’
Mendengar amaran tersebut, alhamdulillah akhirnya kami dilepaskan. Kejadian itu berlaku pada 23 November 2001 dan pada bulan Ramadan.
Keadaan tidak berhenti di situ, Pashtun memang dikenali sebagai bangsa yang amat menghormati tetamu seperti mana pemimpin tertinggi Taliban, Mullah Mohamad Omar sanggup berperang dengan tentera AS dan negara-negara sekutunya daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hanya kerana mahu melindungi tetamunya bernama Osama Laden.
Begitulah juga sikap ditunjukkan oleh Meraj. Selepas kejadian itu, dia dengan nada marah mengajak kami berpatah balik untuk memberitahu warlord iaitu abang iparnya, Abdul Salam untuk membalas dendam.
Bayangkan perasaan saya ketika itu, apatah lagi mengikut laporan media tempatan, jika berlaku sengketa di sesebuah kampung di Tribal Areas, maka banyak nyawa akan terkorban kerana sebahagian golongan lelaki mereka memiliki senjata api dan bom. Lagi pula, kampung yang didiami oleh kumpulan pemuda berkenaan masih di bawah kekuasaan Abdul Salam dan saya juga dianggap sebagai tetamu kepada warlord tersebut.
Pujuk
Memikirkan akibat yang bakal terjadi, saya terus berusaha memujuk Meraj untuk berpatah balik dan kembali ke Peshawar dengan membohonginya bahawa saya ada urusan penting dan segera untuk diuruskan.
Dia akur tetapi dalam perjalanan ke Peshawar, dia asyik singgah bertemu kawan-kawannya. Saya bertanya kepadanya: "Kenapa kerap berhenti...” Dan tanpa disangka, pemandu dan penterjemah yang saya upah dengan bayaran agak tinggi AS$100 (RM350) sehari untuk misi memasuki Afghanistan, boleh meninggikan suara: "Jangan masuk campur, pemuda-pemuda itu mesti dihapuskan hari ini. Saya rasa malu kerana kamu sebagai tetamu telah dihina begitu teruk.”
Setibanya di Peshawar, saya terus memujuk dan kemudian mengajaknya ke kedai menjual pakaian serta berusaha menenangkan hatinya yang sedang marah dengan membeli buah tangan dan pakaian raya untuk anak-anaknya kerana seminggu dua lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.
Selepas membeli-belah, kami kembali ke markas Global Peace Malaysia di Jalan Afghani. Sebelum beredar, saya terus memujuknya untuk jangan memberitahu abang iparnya mengenai apa yang berlaku dan menghulurkan wang upahnya AS$100, selain tambahan AS$50 lagi dengan harapan dia dapat melupakan kejadian yang berlaku.
"Saya tidak dapat menerima wang kamu kerana maruah saya telah tercemar, ambil balik,” kata Meraj yang nampaknya masih belum reda kemarahannya.
Saya bertanyakan Meraj, adakah cara atau syarat untuk mendamaikan keadaan dan dia membalas: "Penduduk kampung itu perlu memilih gadis paling cantik untuk dikahwinkan dengan awak atau memberi pampasan 10 ekor kambing.
”Oleh sebab syarat kahwin dengan 'gadis Pashtun paling cantik’ kampung itu memang tawaran amat menarik, saya saja-saja terus bertanya: "Jika saya sedia kahwin dan gadis cantik pula enggan diceraikan bila tugas saya di Peshawar tamat, apa akan terjadi? ”
Soalan itu sukar dijawab, hanya Meraj memberitahu: "Memang akan ada tindak balas daripada ahli keluarga gadis.”
Mendengar jawapan itu, saya terdiam seketika dan selepas itu memberitahu Meraj: "Kalau begitu, minta mereka bayar pampasan 10 ekor kambing.”
Saya sangka bila menerima syarat pampasan kambing itu, Meraj yang bertubuh besar dan berjambang akan turut bersetuju tetapi sebaliknya sambil memandang ke arah saya, dia mengeluarkan kata-kata yang menyebabkan saya mahu cepat beredar dari Peshawar iaitu "Kami akan tetap membalas dendam.” Masya-ALLAH kerasnya hati.
Itulah kenangan ngeri yang pernah saya lalui ketika bertugas selama hampir dua bulan di sana. Jika 20 tahun lalu ketika saya pertama kali menjejakkan kaki di Peshawar, Taliban hampir dikalahkan oleh tentera AS dan NATO tetapi 20 tahun kemudian iaitu minggu lalu, Taliban kembali menubuhkan kerajaan setelah berjaya menawan seluruh Afghanistan.
Jika ALLAH SWT tidak melindungi saya ketika berdepan dengan detik cemas ketika itu, mungkin 20 tahun lalu saya dikenang 'buat seketika’ sebagai wartawan Malaysia pertama yang menemui ajal ditembak di sempadan Afghanistan.
Selepas 20 tahun juga, saya sendiri tidak menyangka akan diterima menjadi warga Kumpulan Karangkraf khususnya Sinar Harian. Yang pasti, ajal maut dan rezeki ketentuan ALLAH SWT.
*Marzuki Yusoff ialah bekas Pengarang Prosesan Kanan Utusan Malaysia yang kini bertugas sebagai Penyunting Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca