AKTA Bantuan Guaman telah dipinda beberapa tahun lalu sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan bantuan guaman. Perkara yang menarik perhatian saya adalah pindaan itu memperkenalkan khidmat pendamping guaman.... Klik di sini untuk terus membaca

AKTA Bantuan Guaman telah dipinda beberapa tahun lalu sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk mentransformasikan perkhidmatan bantuan guaman.

Perkara yang menarik perhatian saya adalah pindaan itu memperkenalkan khidmat pendamping guaman. Ia adalah khidmat baharu di mana kanak-kanak mangsa jenayah seksual mendapat khidmat seorang pendamping guaman yang akan membantu mereka dalam isu-isu perundangan dan prosiding mahkamah. Khidmat tersebut terbuka kepada semua kanak-kanak yang merupakan mangsa kesalahan jenayah seksual.

Antara fungsi pendamping guaman adalah untuk menasihati penjaga mangsa kanak-kanak mengenai perkara undang-undang dan untuk menemani kanak-kanak dalam prosiding mahkamah, dan dengan kebenaran mahkamah untuk bercakap bagi pihak kanak-kanak tersebut.

Pendamping guaman akan berupaya melindungi kepentingan undang-undang kanak-kanak dan bertindak sebagai penenang kanak-kanak berkenaan terutama semasa prosiding mahkamah.

Inisiatif itu sebenarnya dipelopori Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said. Ia sangat berinovasi kerana dapat memberikan peluang kepada kanak-kanak dan keluarga kanak-kanak yang menjadi mangsa kepada suatu perlakuan jenayah.

Sudah pasti mangsa jenayah menghadapi trauma, apatah lagi sekiranya mereka daripada kalangan kanak-kanak. Ia juga sejajar dengan usaha Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga yang ketika itu sedang mengusahakan untuk melantik peguam bagi pihak kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah.

Walaupun mungkin terdapat pertindanan khidmat yang bakal diberikan, adalah amat penting bagi kedua-dua badan kerajaan itu menyelaraskan perkhidmatan tersebut supaya hasratnya dapat dinikmati rakyat tanpa masalah pertindanan perkhidmatan.

Seperkara lagi yang mungkin juga perlu diteliti adalah keperluan bagi kanak-kanak mangsa jenayah mendapat khidmat psikologi daripada pakar bertauliah kerana rata-rata kejadian buruk yang menghambat minda kanak-kanak mangsa jenayah perlu 'diubati’ dengan pendekatan psikologi.

Undang-undang mungkin hanya akan bertindak mempertahankan hak dan kepentingan tetapi tidak merawat perasaan trauma serta kesengsaraan yang dihadapi kanak-kanak tersebut.

Pada pandangan saya, sekiranya perkhidmatan pendamping guaman dapat dilaksanakan dengan berkesan, ia akan memberi peluang kepada kanak-kanak mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka untuk mendapat khidmat nasihat guaman serta representasi yang adil di mahkamah.

Pendamping guaman berperanan memberikan semua input perundangan kepada kanak-kanak mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka. Dengan cara itu, mangsa kanak-kanak dan keluarganya mendapat opsyen yang jelas dalam merangka tindakan yang perlu diambil dari segi undang-undang.

Malah, mereka juga tidak akan gusar berada dalam prosiding mahkamah kerana mereka akan diwakili oleh pendamping guaman yang berperanan memberi nasihat dan panduan kepada mangsa jenayah seksual serta keluarga mereka.

Adalah diharapkan dengan wujudnya khidmat pendamping guaman, rakyat Malaysia mendapat satu lagi khidmat yang baik pada kadar yang minimum dan kebajikan rakyat dapat terbela.

Inilah antara manifestasi keutamaan yang diberikan kerajaan kepada rakyat, khususnya bagi golongan B40 yang tidak berkemampuan membayar khidmat guaman yang mahal.

Ia sejajar dengan dasar kerajaan yang tidak mahu keadilan dinafikan kepada rakyat hanya kerana rakyat tidak mampu untuk membayar khidmat bagi mendapatkan keadilan.

Mudah-mudahan khidmat pendamping guaman dapat mengurangkan kesan trauma yang dilalui kanak-kanak mangsa jenayah seksual dan keluarga mereka. Malah, mereka juga akan berupaya mencorakkan masa depan pasca trauma mereka dengan mengambil apa-apa tindakan yang perlu selepas itu.

Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak tersebut tetapi juga memastikan keadilan dapat dinikmati semua pihak.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca