[DIKEMASKINI] KE hadapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tahniah atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan atas sokongan 114 ahli Dewan Rakyat.
Berdepan kompleksiti parti dan fraksi dalam penubuhan kerajaan sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pelantikan itu boleh dilihat sebagai sesuatu yang agak ajaib.
Kedudukan Datuk Seri sebagai Perdana Menteri bukan semata-mata kerana Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 42 kerusi. Ia juga bukan kerana keputusan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Selain takdir ALLAH, faktor utama yang menjayakan pelantikan itu kerana Muhyiddin memilih jalan perdamaian dengan berundur dan menyokong pencalonan Datuk Seri.
Malah, parti pimpinan beliau yang mempunyai 53 ahli Parlimen dengan mudah mencalonkan Datuk Seri. Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mewakili 18 ahli Parlimen juga dengan pantas memberi gambaran mereka akan menyokong Datuk Seri.
Sebaliknya, kepayahan sokongan terhadap Datuk Seri datang daripada parti sendiri. Sudah tentu Datuk Seri sendiri sedia maklum kesukaran dan rintangan itu. Hanya di saat-saat akhir 14 daripada 15 ahli Parlimen UMNO kembali menyokong dan membolehkan pelantikan terlaksana.
Kedua, sebagai seorang Perdana Menteri dalam satu kesatuan yang rapuh, saya berharap Datuk Seri tidak begitu teruja membuat pelbagai perubahan drastik, kononnya atas nama memenangi hati rakyat dalam masa singkat.
Tradisi pengenalan pelbagai pembaharuan polisi dan perubahan struktur kerajaan oleh Perdana Menteri baharu tidak seharusnya menjadi ikutan kali ini. Walaupun rakyat sentiasa tertarik dengan kesegaran dan idea baharu, namun kestabilan kerajaan hari ini bukan bergantung kepada persepsi rakyat.
Sebagai rakyat biasa yang diancam pandemik, ketidaktentuan perniagaan dan ekonomi, saya tidak lagi mengharapkan sesuatu yang besar dan hebat.
Harapan saya dan mungkin sebahagian besar rakyat adalah untuk melihat kerajaan yang stabil dan mempunyai tempoh bertenang politik sehingga sampai tempoh diadakan PRU15.
Satu-satunya harapan untuk melihat kerajaan ini stabil adalah sekiranya Datuk Seri tidak membuat perubahan terlalu besar dalam mengejar populariti. Ambillah pedoman daripada pepatah Inggeris It's better not to rock the boat when you first start a job atau peribahasa Melayu, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Walau apa pun tanggapan sesetengah orang terutama ahli UMNO, mengekalkan sebahagian besar anggota kabinet adalah sesuatu yang sangat kritikal. Dalam keadaan pandemik dan kesukaran ekonomi, perubahan besar anggota kabinet dan portfolio akan merencatkan kelicinan jentera kerajaan buat sementara waktu.
Seseorang menteri akan mengambil masa berbulan untuk mengenali dan memahami perjalanan kementerian baharu. Masa adalah sesuatu yang kita tidak ada dalam krisis kesihatan dan ekonomi sekarang.
Meneruskan kesinambungan strategi dan perancangan kerajaan pimpinan Muhyiddin dengan penambahbaikan adalah satu-satunya strategi yang tampak rasional dan meminimumkan risiko politik serta kesihatan.
Walaupun mengekalkan sebahagian besar anggota kabinet akan menimbulkan persepsi negatif kepada Perdana Menteri, namun ia adalah sebahagian daripada risiko pekerjaan (occupational hazard) yang harus diterima.
Kerajaan ini tidak boleh menjadi kerajaan UMNO atau kerajaan BN semata-mata. Datuk Seri harus menjadi seperti peribahasa 'matahari itu, gunung dan lembah sama diterangi’.
Ketiga dan terakhir, saya berharap Datuk Seri tidak terlalu terpengaruh dengan pujian atau kecaman rakyat di media sosial. Negara ini tidak boleh diuruskan dengan kecenderungan dan kesukaan warganet (netizen).
Keputusan kerajaan harus dibuat berdasarkan projeksi kebajikan dan kebaikan untuk rakyat serta negara dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Tidak boleh kerajaan bertindak mencurahkan air dalam tempayan setiap kali mendengar guruh di media sosial.
Saya mendoakan pentadbiran Datuk Seri akan stabil dan mendapat petunjuk serta hidayah ALLAH SWT. Wassalam.
*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca