SHAH ALAM - Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dianggap bukan satu perkara baharu.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dianggap bukan satu perkara baharu.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihak pembangkang sebelum ini juga pernah terlibat dalam jawatankuasa darurat yang ditubuhkan.

"Ia bukan benda yang baharu. Kita (pembangkang) sudah duduk dalam jawatankuasa darurat dahulu.

"Jadi, saya tidak nampak apa-apa perkara yang menarik daripada tawaran tersebut.

"Ia hanya sekadar melantik. Komen saya, itu tidak anggap sebagai satu perkara yang baharu,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada petang Ahad, Ismail Sabri menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Ismail Sabri berkata, tawaran tersebut selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan dalam membantu rakyat.

Salahuddin berkata lagi, berdasarkan pengalaman yang lalu, pandangan dilontarkan oleh pembangkang tidak akan didengari sekali gus tidak menjadi asas kepada kerajaan untuk bertindak.

"Walaupun pembangkang dimasukkan dalam jawatankuasa, kadang-kadang kita rasa pandangan kita pun tidak menjadi satu asas untuk kerajaan bertindak,” ujarnya.

Menjawab persoalan menerima atau tidak tawaran tersebut, akuinya, ia akan dibincangkan semasa mesyuarat Pakatan Harapan (PH) pada Isnin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, satu pertemuan antara Ismail Sabri bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinannya perlu dilakukan bagi memberikan gambaran yang jelas berhubung perkara tersebut.

FAHMI

Beliau berkata, penglibatan pihak pembangkang sebelum ini dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dilihat tidak mendatangkan kebaikan meskipun memberi banyak cadangan berdasarkan sains kepada kerajaan.

"Jadi untuk memastikan sekiranya ingin dilibatkan pembangkang, kami tidak mahu ia jadi sekadar cukup syarat dan ingin menunjukkan Perdana Menteri mahu mendapatkan penyertaan pembangkang.

"Namun kami sentiasa bersangka baik dan harap satu pertemuan dapat diadakan segera untuk membincangkan hal ini apatah lagi kita lihat jumlah kematian kekal atas beratus orang sehari, jumlah kes masih sekitar 20,000 sehari,” katanya.

Fahmi berkata, beliau berharap kedua-dua badan tersebut mengetahui fungsi mereka dalam memastikan dasar-dasar yang digubal dan dilaksanakan kerajaan benar-benar mampu mengatasi masalah Covid-19 serta menghidupkan semula ekonomi seperti sediakala.

Klik di sini untuk terus membaca