PESAKIT Covid-19 kategori satu dan dua dengan gejala ringan disarankan agar sentiasa memantau kadar oksigen dalam darah bagi membolehkan mereka mengesan lebih awal komplikasi happy hypoxia atau hipoksia buni. Hipoksia buni merupakan keadaan... Klik di sini untuk terus membaca

PESAKIT Covid-19 kategori satu dan dua dengan gejala ringan disarankan agar sentiasa memantau kadar oksigen dalam darah bagi membolehkan mereka mengesan lebih awal komplikasi happy hypoxia atau hipoksia buni. Hipoksia buni merupakan keadaan di mana kadar oksigen sudah mulai turun bawah paras 95 peratus tetapi ia tidak disedari kerana individu terbabit masih boleh bernafas seperti biasa.

Kebiasaannya, apabila seseorang mempunyai ketepuan oksigen yang rendah dalam darah, mereka akan sukar bernafas. Namun, bagi pesakit Covid-19 yang mengalami hipoksia buni, mereka hanya berasa kelesuan tanpa kesukaran bernafas. Mereka hanya rasa lesu teruk sehingga tidak mempunyai tenaga untuk melakukan akitiviti asas seperti makan, mandi dan sebagainya.

Punca hipoksia buni pada pesakit Covid-19 biasanya disebabkan darah menjadi pekat pada jaringan pembuluh darah di bahagian paru-paru. Keadaan ini menyebabkan keradangan dalam tubuh disebabkan jangkitan virus Covid-19.

Ketika tubuh mengalami keradangan, protein akan membentuk darah beku sebagai tindak balas semula jadi sistem kekebalan tubuh. Apabila ia berlebihan, sel pada jaringan paru-paru tidak mampu membekalkan oksigen mencukupi dan ini berbahaya kepada pesakit sekiranya tidak dirawat segera.

Kita boleh memantau sendiri kadar oksigen dalam darah dengan menggunakan oksimeter nadi (pulse oximeter). Peranti ini dipasang pada jari dan berfungsi dengan memancarkan cahaya infra merah menerusi kulit seseorang untuk mengukur tahap oksigen dalam darah.

Bagi pesakit Covid-19, pemantauan kadar oksigen dalam darah boleh dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali sehari pada masa sama setiap hari dan sekiranya didapati kadar oksigen turun bawah 95 peratus, mereka perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dengan peningkatan jumlah pesakit Covid-19, permintaan ke atas tabung oksigen turut meningkat. Sebagai alternatif, ada golongan yang membeli mesin konsentrator oksigen yang berfungsi memberikan oksigen kepada mereka yang memiliki masalah pernafasan.

Udara yang kita sedut mengandungi nitrogen sekitar 78 peratus, 21 peratus oksigen dan satu peratus gas lain. Konsentrator oksigen mengambil udara di persekitaran dan menyaring nitrogen bagi mendapatkan oksigen tulen. Mesin ini akan melepaskan semula nitrogen ke udara.

Sebelum membeli alat ini, orang awam seharusnya mendapatkan khidmat nasihat doktor terlebih dahulu. Tanpa nasihat doktor, anda mungkin menyedut oksigen terlalu banyak. Keracunan oksigen (oxygen toxicity) terjadi apabila seseorang mengambil oksigen berlebihan. Penggunaan mesin oksigen memerlukan preskripsi doktor, bukan sewenang- wenang beli dan guna. Mengambil oksigen sembarangan lebih mendatangkan mudarat daripada kebaikan.Doktor akan memberi nasihat yang sewajarnya berkenaan berapa jumlah oksigen yang harus diambil dan jangka waktu penggunaannya. Pada musim pandemik kini, ramai yang ingin membeli mesin oksigen dalam talian. Pastikan anda beli daripada syarikat berlesen atau farmasi berdaftar kerana mereka juga boleh memberi khidmat nasihat ketika penghantaran mesin. Mereka boleh menunjukkan cara-cara penggunaan seperti berapa banyak aliran oksigen yang diperlukan dan berapa lama digunakan.

Semoga kita semua dilindungi daripada virus Covid-19. Jaga kesihatan dan kekal di rumah jika tiada urusan penting di luar. Ikhtiar terbaik bagi kita sekarang ini adalah dengan mengambil vaksin yang diberikan secara percuma oleh kerajaan serta kekal mematuhi SOP.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca