SHAH ALAM - Sehari selepas angkat sumpah Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal berdepan dengan pelbagai cabaran dengan keadaan perlu ‘menjaga hati’ parti yang menyokongnya. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sehari selepas angkat sumpah Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal berdepan dengan pelbagai cabaran dengan keadaan perlu ‘menjaga hati’ parti yang menyokongnya.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) misalnya meminta pentadbiran persekutuan baharu untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua (TPM II) untuk diisi oleh seorang ahli Parlimen Sarawak dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Agung SUPP, Sebastian Ting dalam satu kenyataan berkata, adalah wajar untuk jawatan itu diisi oleh GPS yang mempunyai 18 ahli Parlimen.

Malah katanya, janji seperti itu akan menjadi pengakuan terbuka, ikhlas dan tulus mengenai sumbangan besar dari Sarawak dan Sabah.

Pembentukan Kabinet menjadi satu bebanan buat Ismail Sabri.

Dengan Muhyiddin sebelum ini memiliki saiz jemaah Menteri dan Timbalan Menteri antara terbesar mencecah 70 orang, adakah Ismail Sabri akan mengikut jejak yang sama.

Apatah lagi, situasi yang dilalui oleh Ismail Sabri dikatakan hampir tidak banyak beza dengan Muhyiddin kerana perlu memenangi 'hati' ahli Parlimen dan parti gabungan daripada Bersatu, Pas, GPS untuk terus kekal di Putrajaya.

Paling dinantikan siapa bakal menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Adakah memang ada perjanjian Ismail Sabri menerusi Langkah Royale Chulan untuk memberikan kerusi nombor dua itu kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Bersatu.

Atau Ismail Sabri juga mempunyai percaturan lain.

Jumlah Ahli Parlimen yang menyokong Ismail Sabri dipecahkan kepada 37 daripada UMNO, Bersatu (31), Pas (18), GPS (18), Bebas (empat), MCA (dua) dan masing-masing satu daripada MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Namun dengan 50 Ahli Parlimen, Perikatan Nasional (PN) merupakan rakan kongsi terbesar dalam pentadbiran Ismail Sabri yang mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen manakala BN mempunyai 42 Ahli Parlimen.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan adalah sah setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

PN mensyaratkan Ismail Sabri perlu memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Selain itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula melihat kerajaan yang bakal dibentuk oleh Ismail Sabri selepas ini kekal sebagai PN.

Ahmad Faizal melalui kenyataan kepada Berita Harian menegaskan berdasarkan realiti "matematik", komposisi parti dalam PN lebih besar daripada Barisan Nasional.

"Pada kami (Bersatu), ia adalah kerajaan PN kerana boleh dilihat secara matematiknya.

"Kami ada 77 (ahli parlimen) dan kawan sebelah (BN) ada 41 (ahli parlimen). Kami percaya ia mewakili kerajaan PN," katanya.

Isu nama kerajaan yang dibentuk selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini menjadi polemik apabila jawatan Perdana Menteri kini diisi Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

Hubungan antara beberapa pemimpin Bersatu dan UMNO dilihat masih longgar susulan perselisihan faham sesama mereka mengenai jenama kerajaan baharu yang bakal dibentuk itu sama ada mengekalkan jenama PN atau sebaliknya.

Klik di sini untuk terus membaca