SHAH ALAM - Hanya tiga portfolio menteri diperlukan terlebih dahulu buat masa ini dalam kabinet kecil Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob khusus untuk menangani pandemik Covid-19 selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hanya tiga portfolio menteri diperlukan terlebih dahulu buat masa ini dalam kabinet kecil Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob khusus untuk menangani pandemik Covid-19 selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penganalisis Politik dan Geostrategis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, tiga portfolio berkenaan ialah Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Yang nampak ketara sangat adalah Menteri Kewangan, Menteri Kesihatan dan Menteri MITI. Itulah yang dikatakan kritikal. Yang mana menteri ini bertanggungjawab secara terus terhadap hal-hal pandemik.

"Dan juga sekarang Ismail Sabri kata ada dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Menangani Pandemik. Jadi dalam kedua-dua jawatankuasa ini, ketiga-tiga portfolio menteri ini memainkan peranan,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa pandangan yang mahu Ismail Sabri menyediakan kabinet yang kecil terlebih dahulu dalam membantu beliau memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi.

Ismail Sabri memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra di Putrajaya pada Isnin.

Pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mempunyai 70 menteri dan timbalan menteri.

Azmi menambah, jika isu pandemik dapat ditangani dengan kabinet yang kecil maka ekonomi dan politik negara akan menjadi lebih stabil.

"Sebab yang lain adalah meredakan permintaan parti-parti politik. Ini adalah kerana parti politik ada yang meminta ahli-ahi mereka dilantik ke portfolio-portfolio tertentu.

"Jadi kalau Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri hanya membentuk kabinet portfolio penting sahaja, maksudnya mengambil orang yang berkaliber dan bukan bersandarkan parti, maka ia boleh mengurangkan kemarahan mereka yang tidak dilantik daripada parti-parti tertentu,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, apa yang penting adalah pembentukan kabinet yang kecil merangkumi ahli-ahli yang mempunyai ketokohan dan kewibawaan dalam mengurus krisis yang melanda negara ketika ini.

"Bagi saya kita memerlukan kabinet yang kecil, yang kita boleh panggil sebagai kabinet mengurus krisis, kabinet yang ada ketokohan, kewibawaan dan kepakaran.

"Kabinet ini juga harus berdasarkan kepada merit dan bukan kredit hanya kerana diberikan sokongan, kabinet yang berdasarkan kualiti dan bukan kuantiti seterusnya dapat beri gambaran untuk mengurus kemahuan rakyat dan bukan mengurus kemahuan politik,” katanya pada Isnin.

Beliau berpandangan pemilihan ahli kabinet itu akan mencerminkan pembinaan dan penjenamaan kepimpinan Ismail Sabri menjadi pengemudi proses pemulihan negara.

Beliau turut menjelaskan pemilihan ahli kabinet boleh dipertimbangkan dalam kalangan ahli teknokrat dan mereka yang mempunyai kepakaran dalam membentuk kabinet yang mantap.

Klik di sini untuk terus membaca