SHAH ALAM - Blok pembangkang terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Bagaimanapun, mereka tidak mahu tawaran itu sekadar gimik politik dan tempelan, sebaliknya ia perlu dibuat secara rasmi dan menyeluruh.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kerajaan perlu memastikan Jawatankuasa Pilihan Khas dalam Parlimen diperbanyakkan, sekali gus menjadi input kepada MPN untuk membuat tindakan selanjutnya.
"Saya takut MPN menjadi gimik politik. Beliau (Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kena bersungguh-sungguh melihat keseluruhan sistem itu yang pada asasnya mengembalikan kepercayaan rakyat.
"Beliau sendiri kena buang label dan persepsi rakyat dirinya Perdana Menteri kitar semula.
"Jadi, buatlah Jawatankuasa Pilihan Khas yang lebih fokus kepada mengendalikan isu-isu melibatkan kerajaan, integriti dan keperluan menangani Covid-19.
"Ia bukan sekadar MPN tetapi input perlu datang daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang sepatutnya bersidang khusus membincangkan perkara berbangkit dan mengendalikan isu Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil pula berkata, parti itu terbuka dengan tawaran tersebut, namun perlu meneliti terlebih dahulu perincian cadangan sebelum sebarang pendirian dimuktamadkan.
Tegasnya, satu pertemuan di antara Ismail Sabri bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinannya perlu dilakukan bagi memberikan gambaran jelas mengenai penglibatan pembangkang.
Jelasnya, penglibatan pembangkang sebelum ini dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dilihat tidak mendatangkan kebaikan meskipun mereka sudah banyak memberi cadangan kepada kerajaan.
"Kami sentiasa bersangka baik dan harap satu pertemuan dapat diadakan segera untuk membincangkan hal ini apatah lagi kita lihat jumlah kematian kekal atas ratusan orang sehari,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat, DAP sanggup mempertimbangkan tawaran Perdana Menteri kesembilan tersebut.
Bagaimanapun katanya, tawaran itu diharap bukan sekadar rubber stamp kerajaan.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin berkata, pihaknya belum menerima apa-apa tawaran secara formal tentang kerjasama itu.
Jelasnya, sekiranya tawaran itu sudah dibuat, perbincangan akan dilaksanakan bersama kepimpinan bagi menentukan sama ada tawaran itu dipertimbangkan atau sebaliknya.
Klik di sini untuk terus membaca