BANJIR kilat adalah banjir yang berlaku dalam tempoh singkat, iaitu kurang dari 6 jam. Tragedi banjir lumpur Pos Dipang pada 29 Ogos 1996 adalah antara insiden banjir kilat terburuk yang mengorbankan 44 nyawa.Terkini, sekurang-kurangnya... Klik di sini untuk terus membaca

BANJIR kilat adalah banjir yang berlaku dalam tempoh singkat, iaitu kurang dari 6 jam. Tragedi banjir lumpur Pos Dipang pada 29 Ogos 1996 adalah antara insiden banjir kilat terburuk yang mengorbankan 44 nyawa.

Terkini, sekurang-kurangnya tiga kejadian banjir kilat direkodkan iaitu di Gunung Jerai, Kedah; Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan Changkat Jering, Perak.

Di Malaysia, risiko dan terdedahnya manusia kepada bahaya banjir kilat, khasnya di bandar-bandar besar yang mempunyai taburan penduduk yang padat serta kadar binaan tinggi telah meningkat dengan signifikannya dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Peningkatan episod banjir kilat turut menyebabkan meningkatnya risiko dan keterdedahan manusia kepada bencana ini, melibatkan peningkatan kerugian dari segi kemusnahan harta benda di samping kehilangan nyawa.

Lembah Klang antara kawasan kerap mengalami kejadian banjir kilat. Banjir kilat boleh dicetuskan oleh faktor semula jadi seperti iklim dan cuaca atau bersekali dengan faktor bukan semula jadi buatan manusia seperti ketidakcekapan sistem saliran serta peningkatan kawasan tepubina bandar.

Kebanyakan kes banjir kilat berpunca daripada gabungan faktor-faktor berkenaan. Ini bermaksud selain taburan hujan melebihi kebiasaan dan tidak berpadanan dengan sistem saliran sedia ada, terdapat beberapa faktor lain pencetus kepada bencana ini, antaranya melaksanakan pembangunan dalam kawasan rizab atau koridor sungai.

Faktor semula jadi iaitu purata hujan tahunan yang tinggi bagi Semenanjung iaitu 2,500 mm dan 3,500 mm bagi Sabah dan Sarawak di samping kesan perubahan iklim menjadi pencetus kepada kejadian banjir kilat.

Hujan lebat dalam tempoh panjang mengakibatkan sistem perparitan tidak mampu menampung air hujan mengakibatkan berlakunya bencana ini.

Faktor pemanasan global dan perubahan iklim yang berpunca daripada campur tangan keterlaluan manusia mengubah alam turut membawa bersamanya jangkaan cuaca yang tidak menentu untuk tahun-tahun akan datang.

Impak yang lebih jelas ialah peningkatan aras laut akibat pencairan glasier di kutub yang menyebabkan penempatan di pesisir pantai yang rendah terdedah kepada banjir setiap kali air pasang. Impak yang lebih kompleks pula berkait rapat dengan fenomena El Nino dan La Nina yang menyebabkan cuaca kemarau dan juga monsun lebih ekstrem.

Banjir sering melanda kawasan bandar khususnya disebabkan kesan pembangunan yang tidak lestari. Proses pembandaran sering dikaitkan dengan pengurangan litupan tumbuhan yang diketahui merupakan penebat banjir secara semula jadi.

Ini melibatkan tindakan penebusgunaan kawasan tanah lembap seperti paya, tasik dan tanah bencah serta kemusnahan kawasan tadahan air di dalam bandar.

Langkah mitigasi

Dimaklumi kawasan yang dilitupi tumbuhan mampu bertindak sebagai span yang mampu menampung air hujan kerana fungsi akar pokok menguatkan tanah dan menghalang hakisan akibat aliran air. Pembukaan tanah berluasa dan penebangan pokok tidak terkawal menyebabkan resapan air ke dalam tanah berkurangan seterusnya bertindak sebagai air larian yang deras.

Tanpa tumbuhan, permukaan tanah yang digondolkan terdedah kepada proses hakisan seterusnya mempercepatkan proses kejadian banjir kilat.

Langkah drastik dan segera adalah meningkatkan kerja-kerja menaiktaraf dan penyelenggaraan sistem perparitan secara berkala serta melibatkan kerja mendalam, melebar dan melencong sungai bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran serta membina ban di tebing terutamanya ketika musim hujan untuk mengurangkan risiko banjir kilat.

Kaedah berstruktur ini dapat menambah keupayaan mengalirkan keluar lebihan air hujan serta mengurangkan kekerapan serta luas kawasan yang dilanda banjir.

Kaedah bukan struktur pula membabitkan pengurusan pembangunan lembangan sungai secara bersepadu yang mana melibatkan keperluan perlindungan tanah-tanah lembab, pembangunan sistem ramalan dan amaran banjir, menyediakan garis panduan yang menjelaskan keperluan fizikal dan teknikal bagi sungai serta rizabnya di samping mengendalikan program kesedaran awam.

Hakikatnya, manusia kelihatan masih ‘gagal’ mengambil iktibar daripada tindak tanduk mereka. Hentikan menuding alam, alam tidak harus dipersalahkan, natijahnya manusialah penyebab utama berlaku bencana ini.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca