YEMEN kini bukan sahaja terperangkap dalam peperangan antara kumpulan Houthi dengan tentera kerajaan yang dibantu oleh tentera perikatan diketuai oleh Arab Saudi, tetapi negara juga terlibat dengan perang melibatkan mata wang tempatan. Ini... Klik di sini untuk terus membaca

YEMEN kini bukan sahaja terperangkap dalam peperangan antara kumpulan Houthi dengan tentera kerajaan yang dibantu oleh tentera perikatan diketuai oleh Arab Saudi, tetapi negara juga terlibat dengan perang melibatkan mata wang tempatan.

Ini adalah kerana walaupun berada dalam sebuah negara tetapi pada lewat 2019 kumpulan Houthi telah mengharamkan penggunaan mata wang baharu yang dicetak oleh kerajaan di zon-zon kekuasaannya.

Wang baharu itu telah dicetak di Aden, selatan Yemen kerana kerajaan negara berkenaan bimbang tentang kenaikan inflasi di negara tersebut.

Keadaan itu juga menyebabkan nilai mata wang tersebut saling berbeza-beza kerana kumpulan Houthi yang berpangkalan di Sanaa iaitu ibu negara Yemen menggunakan mata wang lama.

Justeru, nilai mata wang baharu yang dicetak oleh kerajaan negara itu baru-baru ini ialah pada kira-kira 1,000 riyal (RM16.86) berbanding dengan satu dolar (RM4.23) Amerika Syarikat (AS).

Nilai mata wang negara itu di dalam kawasan yang dikuasai oleh kumpulan Houthi pula kekal stabil pada 600 riyal (RM10.11) untuk satu dolar AS.

Kadar tukaran asing yang berbeza itu merumitkan lagi perdagangan dan ia boleh dimanipulasi oleh pihak yang mahu membuat keuntungan di negara tersebut yang diambang kebuluruan akibat perang saudara sejak tahun 2014.

Yemen juga mempunyai dua buah bank pusat masing-masing berpangkalan di Sanaa iaitu ibu negara yang dikuasai oleh kumpulan Houthi manakala sebuah lagi terdapat di Aden yang berada dalam gengaman kerajaan rasmi yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kumpulan Houthi juga sedang memperkukuhkan sektor mata wang dan kewangannya.

Dalam pada itu, bank pusat yang beroperasi di Aden mempunyai akses ke pasaran kewangan antarabangsa.

Ia telah mencetak wang baharu bagi menghadapi defisit kerajaan dan membayar gaji kakitangan awam terutamanya untuk pasukan tentera serta keselamatan.

Tuduhan wang tiruan

Menurut portal berita DW, Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansur Hadi memindahkan bank pusat dari Sanna ke Aden pada tahun 2016 dan menuduh kumpulan Houthi membazirkan AS$4 bilion (RM16.90 bilion) simpanan bank tersebut untuk tujuan membiayai perang saudara.

Bagaimanapun, kumpulan berkenaan yang dikatakan mendapat sokongan dari Iran menafikan tuduhan berkenaan dengan menyatakan bahawa ia digunakan untuk tujuan kewangan dan pengimportan ubat-ubatan.

Pada bulan ini, kerajaan Yemen memperkenalkan pula mata wang lama yang sebelum ini berada dalam simpanan bank pusatnya.

Ia sekali gus menimbulkan kemarahan kumpulan Houthi yang mendakwa bank tersebut sebenarnya telah mencetak wang 'tiruan.'

Pihak berkuasa kumpulan itu juga bertindak mengharamkan penggunaannya dan mengeluarkan garis panduan kepada rakyat untuk mengenal pasti apa yang dianggapnya sebagai wang 'tiruan.'

Mata wang kertas 1,000 riyal lama (kiri) dan yang baru (kanan) yang digunakan di zon-zon yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Yemen. - Foto AFP

Seorang penduduk Aden, Alla al-Haj memberitahu AFP bahawa stok wang lama yang diperkenalkan oleh kerajaan tersebut akan menberikan impak negatif ke atas ekonomi Yemen dan meningkatkan inflansi serta turut memberi kesan terhadap kuasa beli penduduk.

Penduduk di negara itu juga menghadapi kos saraf hidup yang meningkat yang mana lebih 80 peratus penduduknya bergantung kepada bantuan masyarakat antarabangsa.

Pada tahun ini, Houthi juga menuduh sebuah syarikat milik negara Rusia, Goznak berpakat dengan bank pusat di Aden untuk mencetak sejumlah besar mata wang negara berkenaan.

Pergerakan Syiah itu juga menganggap ia sebagai mata wang 'tiruan.'

Seorang penganalisis ekonomi, Wahid al-Fawdai berkata, mata wang yang diedarkan oleh kerajaan Yemen baru-baru ini sebenarnya merupakan wang lama yang disimpan di bank pusat negara tersebut sejak bertahun-tahun lamanya.

Namun, syarikat Goznak dan bank pusat Yemen itu enggan memberikan komen apabila dihubungi oleh AFP bagi meminta ulasan tentang perkara yang dibangkitkan itu.

Media sosial dan akhbar-akhbar di negara berkenaan turut bertindak menyiarkan berita-berita tentang eksploitasi keuntungan yang berlaku akibat pertukaran asing mata wang Yemen tersebut ekoran keadaan ekonomi tidak stabil akibat perang saudara dan hasil daripada penggunaan dua mata wang yang berbeza itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca