SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin berdepan cabaran untuk menyeimbangkan pelantikan menteri daripada semua parti gabungan Perikatan Nasional (PN). Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin berdepan cabaran untuk menyeimbangkan pelantikan menteri daripada semua parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Naib Presiden UMNO itu perlu memastikan kesemua parti berpuas hati dengan jemaah kabinetnya.

Justeru katanya, Ahli Parlimen Bera berkenaan perlu berkompromi dengan semua parti komponen dalam PN seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan partinya sendiri iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak timbul sebarang isu berbangkit.

"Mencari keseimbangan itu yang rumit sedikit (bagi Ismail Sabri) tetapi saya yakin, beliau boleh berunding dengan semua pihak (parti dalam PN) untuk mencari persetujuan bersama.

"Dalam lantikan, tidak boleh lebih kepada UMNO sebab sebelum ini (ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri) UMNO pernah kritik sebab (lantikan menteri) lebih kepada Bersatu untuk jawatan penting.

"Kali ini Ismail Sabri tidak boleh bagi lebih (jawatan menteri) kepada UMNO. Kalau beliau buat begitu, Bersatu akan kritik balik,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Ismail Sabri mempunyai ruang yang bebas untuk membuat keputusan atau menentukan barisan kabinetnya.

Mohd Azizuddin berkata, secara asasnya Ismail Sabri dilihat tidak terikat dan mempunyai sepenuh kebebasan menentukan barisan kabinet.

Selaku pemimpin nombor satu negara katanya, Ismail Sabri mempunyai hak prerogatif untuk berbuat demikian.

"Secara asasnya, beliau bebas menentukan siapa yang hendak dilantik dalam kabinetnya.

"Biasalah, sekarang ini semua parti akan menuntut portfolio penting dan pastinya sukar sukar untuk puaskan hati semua pihak. Jadi terpulang kepada kebijaksanaan beliau,” katanya.

Beliau berkata lagi, dengan gaya dan karakter yang dimiliki bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Ismail Sabri diyakini mampu menguruskan isu lantikan ahli kabinet dengan baik.

"Kita yakin, beliau boleh membawa semua pihak mencapai kata sepakat dalam hal pelantikan menteri ini,” katanya.

Isu pelantikan jemaah kabinet baharu kini menjadi tumpuan selepas Ismail Sabri sah diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan pada Sabtu lalu.

Pelantikan Ismail Sabri sebagai pemimpin nombor satu negara selepas mendapat sokongan 114 ahli Dewan Rakyat menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerajui negara sejak 1 Mac tahun lalu berbuat demikian susulan dirinya hilang majoriti apabila 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap beliau.

Klik di sini untuk terus membaca