SEJAK pandemik Covid-19 melanda negara, banyak isu kritikal berkaitan kedaulatan negara seakan terpinggir daripada agenda mereka yang dipertanggungjawabkan terhadap pertahanan negara.
Mungkin peranan yang diberi kepada individu memegang kementerian berkaitan pertahanan negara dalam tempoh hampir setahun ini terpaksa dihabiskan saban hari berhadapan umum di kaca TV memberi penjelasan mengenai isu kompaun, sekatan jalan raya serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Walau demikian, pada pertengahan bulan ini, dalam satu siri latihan yang diberi nama Eksesais Taming Sari siri 20/21, aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berjaya memperagakan keupayaan tempur mereka.
Tiga peluru berpandu yang dilancarkan dua kapal permukaan dan sebuah kapal selam milik TLDM telah berjaya tepat mengenai sasarannya yang berada berpuluh kilometer jauh jaraknya.
Ini mungkin memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang prihatin mengenai aset-aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menangani pencerobohan kuasa luar.
Kerisauan ini ditokok tambah pula dengan senario politik yang agak kucar kacir yang secara langsung bakal memberi tempias kepada kemampuan kepimpinan politik sekiranya ada pihak yang mahu mencabar kedaulatan negara.
Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, pemodenan keupayaan tempur ATM turut terjejas apabila program dan pelan jangka panjang peningkatan keupayaan menghadapi pelbagai masalah.
Pembatalan program kapal LCS yang kemudiannya diaktifkan semula, kekurangan kapal logistik, perolehan helikopter yang tidak kunjung tiba, penangguhan atau mungkin pembatalan perolehan pesawat MRCA dan pelbagai lagi.Perbandingan boleh dibuat dengan negara jiran Indonesia yang mengambil jalan berbeza apabila menghadapi pandemik Covid-19.
Benar, ia terkesan teruk akibat pandemik, namun ini sedikitpun tidak menyebabkan pelan pembangunan kekuatan pasukan tenteranya tergelincir dari landasan ditetapkan.
Berbanding helikopter tempur ringan tentera darat negara yang masih belum kunjung tiba sejak perolehannya pada 2016, 10 pesawat helikopter tempur ringan yang dipesan Indonesia pada 2014 telah diterima mereka pada 2017.
Pada 2020, tentera darat Indonesia telah menerima sejumlah pelancar, peluru berpandu anti-pesawat udara jarak dekat jenis Starstreak dan sistem radar Ground Master 2000 yang bakal dioperasikan oleh Bateri Pertahanan Udara di Sumatera dan Riau.
Pada awal Jun tahun tahun ini, firma Fincantieri dari Itali mengumumkan bahawa Indonesia memesan enam kapal friget pelbagai guna dari jenis FREMM dan dua buah kapal friget terpakai jenis Maestrale.
Pada bulan sama, negara jiran tersebut mengumumkan bahawa ia bakal membelanjakan sejumlah AS$125 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam usaha mempertingkat kemampuan dan memodenkan aset milik tenteranya.
Memang tidak dapat dinafikan setiap negara meletakkan perkara berbeza sebagai prioriti apabila menghadapi cabaran. Ini mungkin sama ada ekonomi, pertahanan, politik mahupun pandemik.
Apa yang penting ialah kita perlu bersikap rasional dan tidak terlalu memberi penekanan kepada hanya satu isu sehingga mengabaikan yang lain. Apa yang digusarkan ialah akibat memberikan fokus keterlaluan kepada pandemik dan pertikaian politik umpamanya, mungkin setelah berjaya mencapai imunisasi kelompok dan Covid-19 berjaya disekat selain politik menjadi stabil, keupayaan ATM untuk menyekat ancaman lain di perbatasan menjadi amat terhad.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca