SHAH ALAM - Di sebalik desas-desus bekas Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) baharu, seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpandangan Ahli Parlimen... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di sebalik desas-desus bekas Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) baharu, seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpandangan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed lebih layak menggalas tanggungjawab berat mewakili parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang enggan dikenali itu berkata, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dianggap calon paling layak untuk jawatan TPM kerana pemimpin itu mampu berperanan sebagai pendamai kepada Bersatu dan UMNO untuk jangka masa panjang.

Jelas beliau, keperibadian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) itu juga dilihat lebih tenang, fokus kepada tanggungjawab diamanahkan dan tidak suka bercakap politik juga antara faktor utama mengapa Tok Pa sepatutnya dipertimbangkan Bersatu bagi jawatan nombor dua kerajaan itu.

Tambahnya lagi, beliau juga tidak faham mengapa nama Tok Pa tidak dianggap layak menggalas jawatan TPM, bersama senarai calon-calon lain yang digembar-gembur turut dipertimbangkan parti iaitu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Mohamed Azmin sendiri.

"Secara peribadi, saya fikir Tok Pa lebih layak kerana beliau menepati ciri-ciri diperlukan untuk menggalas jawatan itu seperti personaliti tenang, tidak suka bercakap politik, pencapaian cemerlang dalam setiap portfolio kementerian dipegang serta paling penting, mampu menjadi jambatan pendamai kepada hubungan Bersatu-UMNO yang tegang.

"Keperibadian beliau jelas berbeza dengan empat calon lain yang dispekulasikan kerana beliau disenangi oleh sahabat dan seteru politik, mempunyai idea hebat untuk memperkasakan ekonomi negara serta tidak pernah memainkan peranan sebagai pencatur politik.

"Saya percaya kombinasi Ismail Sabri-Mustapa mampu membawa negara segera keluar daripada tri-krisis terburuk, mengapa tidak lantik beliau?," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Sumber MPT Bersatu berkata demikian bagi mengulas spekulasi terkini mengaitkan Mohamed Azmin sebagai calon utama Bersatu bagi mengisi jawatan TPM.

DR ABDUL LATIFF


Sinar Premium difahamkan terdapat perbincangan antara pemimpin UMNO dan Bersatu diadakan pada Isnin dengan semua pihak menunjukkan Mohamed Azmin sebagai TPM baharu.

Selain Mohamed Azmin, nama-nama lain yang disebut-sebut bakal menjadi calon mengisi jawatan nombor dua tertinggi kerajaan itu adalah Hamzah, Mohd Redzuan dan Ahmad Faizal.

Sementara itu, seorang lagi ahli MPT Bersatu, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad sewaktu dihubungi menegaskan keputusan pemilihan calon parti itu bagi dilantik sebagai TPM baharu akan diserahkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas beliau, persoalan kewajaran jawatan TPM diberikan kepada Bersatu juga adalah terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mencorakkan Kabinet baharu beliau kelak.

"Apa yang pasti, jawatan TPM ini sebenarnya tiada dalam Perlembagaan Persekutuan. Daripada zaman pemerintahan Parti Perikatan sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), jawatan itu diwujudkan sebagai isyarat bahawa penyandangnya adalah Perdana Menteri masa hadapan daripada koalisi berkenaan.

"Sewaktu kerajaan Perikatan Nasional (PN), jawatan TPM hanya diwujudkan setelah menerima desakan daripada UMNO. Jadi wajar atau tidak jawatan TPM diwujudkan untuk Bersatu, terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri baharu," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli MPT Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith mengakui perbincangan jawatan TPM sememangnya pernah dikemukakan dalam mesyuarat parti itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Muhyiddin selaku Presiden parti meminta semua pihak menyerahkan perkara itu kepada bekas Perdana Menteri itu untuk membuat keputusan.

"Kita serah sahaja kepada kebijaksanaan Presiden. Saya yakin beliau akan buat pertimbangan terbaik," katanya.

EDDIN

Klik di sini untuk terus membaca