SHAH ALAM - Seorang veteran UMNO berpandangan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu melepasi dahulu ujian penentuan keabsahan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau sebelum memutuskan pelantikan barisan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang veteran UMNO berpandangan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu melepasi dahulu ujian penentuan keabsahan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau sebelum memutuskan pelantikan barisan Kabinet baharu.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, pada saat kritikal ketika ini, Ismail Sabri sebenarnya berhadapan misi mustahil untuk mewujudkan sebuah barisan Kabinet baharu yang memuaskan hati semua pihak, termasuk fraksi UMNO yang menyokong Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau mencadangkan Ismail Sabri perlu 'membeli masa' dengan menyegerakan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri melalui sidang khas Parlimen terlebih dahulu bagi membolehkan beliau terus berunding bagi pembentukan Kabinet baharu.

"Secara peribadi, saya berpandangan kalau lantik siapa pun ketika ini, tiada pihak yang akan berpuas hati.

"Hal ini kerana selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, semua parti membentuk kerajaan baharu berpecah kepada sekurang-kurangnya dua kumpulan.

"Sebagai contoh, dalam UMNO berpecah kepada fraksi menyokong Ismail Sabri dan fraksi menyokong Ahmad Zahid. Bersatu pula pecah kepada tiga grup iaitu grup bekas ahli Parlimen UMNO lompat kepada parti itu, grup pemimpin asal parti dan grup bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ditambah dengan parti-parti daripada Sabah dan Sarawak yang turut menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, tindakan Ismail Sabri melantik menteri Kabinet pada saat ini berisiko besar memberi mudarat kepada diri beliau," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cabaran dihadapi Ismail Sabri bagi membentuk barisan Kabinet kerajaan baharu setelah menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kesembilan, Sabtu lalu.

Pada Isnin, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut memaklumkan senarai jemaah menteri Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

DR MOHAMAD KHIR


Menurut Perdana Menteri, senarai jemaah menteri akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Mengulas lanjut, Mohamad Khir berpendapat perkara sebaiknya dilakukan Ismail Sabri adalah dengan berunding dengan semua ketua parti kerajaan dan pembangkang serta mengemukakan polisi baharu kerajaan untuk dipersetujui bersama sebelum lantikan Kabinet dibuat.

Jelas beliau lagi, strategi mengetengahkan polisi-polisi baharu kerajaan dengan memberi idea lebih segar bagi menangani krisis ekonomi, kesihatan dan politik amat penting bagi meraih kepercayaan dan penghormatan daripada semua parti terlibat.

Ujarnya, setelah pembentangan polisi-polisi baharu itu dipersetujui semua pihak secara bipartisan, barulah Ismail Sabri boleh memikirkan pemimpin sesuai dilantik sebagai menteri bagi menjayakan agenda transformasi dikemukakan beliau.

"Dalam pembentangan polisi-polisi baharu berkenaan, Ismail Sabri sendiri perlu memberi bayangan agak jelas bahawa hala tuju sektor kritikal seperti kesihatan, ekonomi, pendidikan dan pentadbiran kerajaan itu sendiri hendak dibawa ke mana.

"Setelah mendapat kepercayaan semua pihak secara bipartisan, barulah beliau akan berasa lebih selamat untuk merangka pembentukan barisan Kabinet baharu berbanding mengambil keputusan terburu-buru mengumumkannya sekarang," katanya.

Ditanya sama ada tindakan Ismail Sabri menangguhkan penubuhan Kabinet akan menjejaskan agenda pemulihan negara, Mohamad Khir menegaskan perkara itu bukan isu besar, lebih-lebih lagi polisi kerajaan terdahulu sudah menampakkan keberkesanan dengan kadar vaksinasi negara semakin meningkat.

Beliau turut mencadangkan Ismail Sabri mempertimbangkan semula tujuh tawaran mega dikemukakan Muhyiddin kepada parti pembangkang sebagai sebahagian penawaran perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA), sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Tujuh tawaran mega dikemukakan Muhyiddin tempoh hari adalah bagus, namun ia sudah terlambat buat beliau. Tetapi kalau Ismail Sabri yang kemukakan, saya rasa masih relevan.

"Sebaik-baiknya beliau segera meterai CSA dengan pembangkang, segerakan juga sidang Parlimen khas untuk tentukan keabsahan beliau dan selepas itu baru tubuhkan Kabinet," katanya.

MUHAMMAD


Sementara itu, Penasihat UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Md Taib pula berpandangan mana-mana pihak termasuk fraksi UMNO sendiri usah terlalu mengugut Ismail Sabri dalam soal mendapatkan jawatan kerajaan.

Jelas beliau lagi, pemimpin politik jangan terlampau taksub untuk memenuhi kehendak dan cita-cita mereka pada saat negara berdepan krisis Covid-19 yang amat dahsyat.

Hal ini kerana beliau berpandangan rakyat ketika ini sedang memerhatikan sebarang tindak-tanduk pemimpin politik, baik yang positif mahu pun menjengkelkan.

"Ini bukan masa untuk mana-mana pihak termasuk UMNO melobi jawatan dalam kerajaan kerana keadaan politik sekarang adalah politik darurat.

"Kerajaan baharu dipimpin Ismail Sabri perlu menunjukkan kesungguhan untuk bekerja demi rakyat serta memastikan gencatan politik tercapai sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun.

"Rakyat sudah mual dan loya dengan kelakuan pemimpin politik sewaktu pandemik dan sekiranya Ismail Sabri turut diugut, saya yakin mana-mana pemimpin atau parti yang 'buat perangai' pastinya akan dihukum rakyat pada pilihan raya umum ke-15," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca