SHAH ALAM - Terdapat kira-kira 400,000 daripada 1.6 juta penjawat awam daripada pelbagai peringkat dan jabatan masih belum divaksin. Difahamkan ada yang tidak dapat divaksin atas faktor kesihatan, namun kebimbangan ialah dalam kalangan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Terdapat kira-kira 400,000 daripada 1.6 juta penjawat awam daripada pelbagai peringkat dan jabatan masih belum divaksin.

Difahamkan ada yang tidak dapat divaksin atas faktor kesihatan, namun kebimbangan ialah dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan antivaksin.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, dalam kalangan 26 peratus penjawat awam yang belum divaksin itu masih lagi menunggu dos pertama termasuk golongan yang ada masalah kesihatan.

"Sebanyak 73.9 peratus penjawat awam di negara ini lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat 12 Ogos lalu.

"Ia suatu jumlah yang agak baik. Cuepacs optimis dan yakin keseluruhan penjawat awam akan selesai divaksin mengikut sasaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Namun diakui akan ada sebahagian pekerja termasuk penjawat awam sendiri berpotensi menolak suntikan vaksin disebabkan kebimbangan mereka terhadap kesan sampingan atau aspek keberkesanan.

"Bagaimanapun harus diingat, ia bukan suatu kesalahan dalam peruntukan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tindakan tatatertib tidak boleh diambil," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan seorang sarjan askar telah dikenakan tindakan henti perkhidmatan kerana menolak pemberian vaksin dan telah menimbulkan pelbagai reaksi awam.

Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi satu kenyataan akhbar dikeluarkan Sel Perhubungan Raya Tentera Darat pada Isnin menegaskan, setiap anggota TDM diwajibkan mengambil vaksin.

Pengambilan vaksin dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota TDM hidup secara berkelompok.

Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan, turut berdepan dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Turut dilaporkan sebelum ini, seramai 779 guru di Johor didapati enggan untuk mengambil vaksin.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihaknya menghormati keputusan TDM yang dibuat berlandaskan peraturan TDM, namun berharap ruang dan peluang dapat diiberikan kepada anggota tentera terlibat agar memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Ia kerana, pemecatan tersebut bukan sahaja menjejaskan individu tersebut secara langsung tetapi seluruh keluarga mereka yang terlibat.

Pecat tidak selesai masalah

Adnan berkata, Cuepacs juga berpendirian bahawa tindakan tatatertib atau penamatan perkhidmatan terhadap penjawat awam yang menolak suntikan vaksin Covid-19 tidak akan menyelesaikan masalah secara menyeluruh.

"Penolakan vaksinasi oleh pekerja tidak wajar dijadikan langkah drastik sehingga membawa kepada tindakan pemecatan.

"Cuepacs melihat tindakan pemecatan adalah tidak wajar kerana ia bukanlah penyelesaian kepada permasalahan tersebut.

"Malah memberi kesan secara tidak langsung kepada program vaksinasi yang sedang berjalan ketika ini.

"Ia mungkin akan digunakan sebagai modal oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama golongan antivaksin untuk meraih simpati atau menyebarkan fakta yang tidak tepat.

"Kita khuatir mereka yang dikenakan tindakan dihentikan perkhidmatan itu akan berdendam dan terus sebarkan lagi fahaman tentang tidak perlu divaksin," katanya.

Ujarnya, Cuepacs juga menyokong sepenuhnya sekiranya kerajaan mahu mewajibkan program vaksinasi kelak.

Namun, kerajaan juga disaran untuk tidak lagi menggunakan istilah tiada paksaan dalam pengambilan vaksin sebaliknya fokus kepada pemerkasaan program vaksinasi bagi memberi keyakinan kepada rakyat.

Beliau turut memuji pendekatan yang dilakukan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dalam isu kira-kira 779 guru yang dilapor menolak menerima vaksin Covid-19, bagi mencari penyelesaian isu itu.

"Sebagai majikan atau ketua jabatan, tindakan boleh diambil termasuk memberi pendidikan positif berkaitan fakta vaksinasi dalam kalangan pekerja.

"Ketua jabatan perlu terus berkongsi maklumat penting dan fakta tepat berkenaan aspek keselamatan, kesihatan, keberkesanan dan kesan sampingan melalui pengambilan vaksin.

"Pakar kesihatan misalnya boleh dipanggil untuk mengadakan perbincangan bersama bagi berkongsi maklumat saintifik dan menjawab pertanyaan pekerja berkaitan kepentingan vaksinasi," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca