TUNISIA yang dipuji sebelum ini kerana berjaya melaksanakan sistem demokrasi di Timur Tengah dan Utara Afrika kini terjerumus ke dalam krisis politik yang mengancam sistem demokrasi disebabkan masalah ekonomi dan pandemik Covid-19. Situasi... Klik di sini untuk terus membaca

TUNISIA yang dipuji sebelum ini kerana berjaya melaksanakan sistem demokrasi di Timur Tengah dan Utara Afrika kini terjerumus ke dalam krisis politik yang mengancam sistem demokrasi disebabkan masalah ekonomi dan pandemik Covid-19.

Situasi itu berlaku selepas Presiden negara itu, Kais Saied pada Isnin lalu bertindak menggantung Parlimen sehingga notis dikeluarkan sebulan selepas beliau memecat Perdana Menteri, Hichem Mechichi.

Selepas memecat Hichem, beliau memperoleh kuasa yang lebih besar untuk memerintah negara sehingga pihak pembangkang menggelarkan tindakan tersebut sebagai satu rampasan kuasa.

Ia dianggap sebagai satu keadaan yang mendukacitakan setelah revolusi rakyat berlaku pada tahun 2011 sehingga mencetuskan kebangkitan Arab Spring dan menyebabkan Presiden negara tersebut ketika itu, Zine al-Abidine Ben Ali terpaksa meletakkan jawatan.

Zine yang telah memerintah hampir 24 tahun sejak tahun 1987 terpaksa meletakkan jawatan dan digantikan dengan Presiden sementara ketika itu, Mohammed Ghannouchi berikutan protes rakyat berhubung isu-isu ekonomi.

Beliau yang menjalankan pemerintahan bercorak diktator, kejam, rasuah berlaku dalam pentadbirannya dan menindas kemudian melarikan diri ke Arab Saudi dan meninggal dunia di Jeddah pada tahun 2019 ketika berumur lebih 80 tahun.

Kelembapan ekonomi

Selepas sedekad kebangkitan penduduk berlaku, Tunisia masih dilanda masalah kadar pengangguran tinggi dan pemulihan yang perlahan dalam sektor industri akibat pandemik Covid-19 di bekas tanah jajahan Perancis itu.

Tunisia yang turut bergerak menuju ke sistem pemerintahan demokrasi yang lancar selepas ketiadaan Zine ketika ini berdepan pula dengan krisis politik terbesar dalam tempoh sedekad apabila Kais bertindak menggantung Parlimen buat pertama kali pada Julai lalu.

Kais ketika itu menggantung Parlimen selama 30 hari dan menyatakan beliau menggunakan Artikel 80 Perlembagaan Tunisia untuk menyingkirkan Hichem sebagai Perdana Menteri.

Tindakan itu dilakukan selepas berlakunya protes penduduk terhadap kerajaan dan tentangan terhadap parti Ennahdha yang memiliki kerusi paling banyak di Parlimen.

Penggantungan itu juga dilakukan disebabkan oleh masalah peningkatan kes Covid-19 dan kemarahan penduduk yang mendapati sistem politik tidak berfungsi dengan teratur dan masalah krisis ekonomi di Tunisia yang masih belum dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas pengumuman Parlimen digantung, sejumlah besar penduduk berhimpun bagi memberikan sokongan kepada Presiden negara itu di Tunis dan di beberapa bandar raya lain.

Sebahagian daripada mereka menari dan menyorak manakala pihak tentera kemudian melakukan sekatan di Parlimen dan laluan masuk ke stesen-stesen televisyen pada Julai lalu.

Bagaimanapun, keputusan untuk menggantung Parlimen itu dan pemecatan Perdana Menteri mendapat bantahan daripada Speaker Parlimen, Rached Ghannouchi yang juga ketua parti politik Ennahdha.

Rached ialah tokoh utama yang memainkan peranan dalam mewujudkan kerajaan campuran di Tunisia telah secara terang-terangan menyatakan Kais melakukan satu 'rampasan kuasa' selain menyerang sistem demokrasi.

Presiden Tunisia, Kais Saied merupakan bekas profesor undang-undang. - Foto AFP

Diktator

Dalam pada itu, beberapa ahli politik, ahli perniagaan dan hakim-hakim termasuk ahli-ahli Parlimen mengadu bahawa mereka dilarang pergi keluar negara dan diletakkan di dalam tahanan rumah tanpa diberitahu terlebih dahulu.

Dakwaan mereka turut mencetuskan kritikan terhadap Kais dengan menganggapnya mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Presiden.

Tunisia sebelum ini mengalami kebuntuan politik selepas pilihan raya Parlimen diadakan pada Oktober 2019.

Ini apabila kerana tidak ada sebuah parti politik pun memperoleh lebih suku daripada 217 kerusi Parlimen yang menyebabkan sukar untuk mana-mana parti membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.

Dalam pilihan raya itu, parti Ennahdha memenangi 52 kerusi iaitu yang terbanyak di Parlimen tetapi jawatan Perdana Menteri saling bertukar ganti kerana perbalahan politik.

Keadaan itu menyebabkan Hichem yang tidak mewakili mana-mana parti politik dicadangkan oleh Presiden Tunisia untuk memegang jawatan tersebut pada tahun lalu.

Hichem yang berusia 47 tahun pernah menjadi Menteri Dalam Negeri dan memiliki sarjana pentadbiran awam dan pernah berkhidmat sebagai ketua penyiasat Pihak Berkuasa Antirasuah Kebangsaan Tunisia selepas revolusi rakyat tahun 2011.

Bagaimanapun, ekoran tindakan Kasi menggantung dan memecat Perdana Menteri, terdapat kebimbangan bahawa negara itu akan diperintah semula oleh seorang pemimpin yang mengamalkan cara pemerintahan diktaktor seperti sebelum berlakunya kebangkitan Arab Spring.

Namun, Kais yang merupakan bekas profesor undang-undang dilaporkan berkata, beliau tidak akan menjadi seorang diktaktor yang memerintah Tunisia.

Beliau membuat kenyataan itu selepas dua ahli parlimen ditangkap baru-baru ini.

Penangkapan itu dilakukan ekoran keputusannya untuk menarik semula kekebalan undang-undang terhadap semua ahli parlimen sekali gus membolehkan mereka yang mempunyai kes mahkamah ditangkap oleh pihak berkuasa.

Justeru, sehingga kini Tunisia masih belum menemui kerajaaan yang benar-benar memerintah dengan cekap dan menyelesaikan segala masalah dan keluhan rakyat di negara itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca