BARU-BARU ini saya menerima sebuah video yang tular. Ia memaparkan suasana sebuah majlis menaikkan bendera di padang. Kedengaran muzik lagu patriotik dimainkan pancaragam. Tatkala bendera hendak dinaikkan oleh dua orang askar, tiba-tiba... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini saya menerima sebuah video yang tular. Ia memaparkan suasana sebuah majlis menaikkan bendera di padang. Kedengaran muzik lagu patriotik dimainkan pancaragam. Tatkala bendera hendak dinaikkan oleh dua orang askar, tiba-tiba tali pengikat bendera itu terputus. Satu hujung tali masih terikat di bendera, sementara hujung tali yang satu lagi sudah ternaik di puncak tiang.

Buat seketika dua orang askar yang memegang bendera itu kelihatan terpempan. Apa yang patut mereka lakukan? Semua mata memandang mereka, bendera dan puncak tiang. Di saat itu, muncul seorang pelajar remaja daripada perbarisan. Dengan berkaki ayam, lantas dia memanjat tiang bendera lalu membawa turun hujung tali yang tersangkut di puncak tiang.

Perbuatannya mendapat tepukan hadirin khususnya pegawai askar yang kelihatan berkerumun untuk menyambutnya di tanah. Lantas dia menjadi tumpuan dan diajak berfoto sebagai tanda meraikan seorang pelajar yang berani bertindak. Majlis yang tampak akan menjadi cacat bertukar menjadi sebuah peristiwa yang cukup membanggakan.

Saya turut berasa bangga menonton video itu. Naluri ingin tahu saya membawa saya menelusuri internet untuk mendapat maklumat tepat mengenai insiden tersebut. Oh, rupa-rupanya kejadian berlaku di sebuah majlis Hari Ulang Tahun ke-73 Republik Indonesia di Atambua, Nusa Tenggara Timur, Indonesia pada tahun 2018.

Dan pelajar yang telah menyelamatkan keadaan hingga berkibarnya bendera Sang Saka Merah Putih itu bernama Joni. Insiden itu sampai kepada pengetahuan Presiden Jokowi.

Bangga dengan pelajar berkenaan, Jokowi menghadiahkan Joni sebuah rumah. Tiga tahun berlalu dan kini Joni bahagia tinggal bersama isteri dan seorang anak di desa Silawan, Perbatasan Timur Leste.

Bayangkan seandainya peristiwa yang sama terjadi di negara kita.

Akan adakah seorang Joni yang tampil memanjat tiang bendera lalu mengubah peristiwa hampir memalukan itu kepada sesuatu yang membanggakan? Sekiranya kita ada seorang Joni, malah beberapa orang Joni, apakah yang akan kita perkatakan dan tularkan?

Ya, kejayaan Joni Malaysia itu akan disebut-sebut. Namun, bersandarkan trend pemikiran kita di media sosial, yang akan dibicarakan secara galak setelah itu adalah siapakah orang yang cuai mengikat tali bendera tersebut? Pasukan tentera manakah yang telah menjatuhkan imej negara? Kroni siapakah yang membekalkan tali bendera itu? Bahkan akan timbul syak wasangka barangkali insiden itu sengaja diada-adakan bagi mengalih perhatian isu meningkatnya kes Covid-19 dan Parlimen digesa mesti bersidang!

Akhirnya, insiden yang sepatutnya dijadikan contoh teladan dengan mudah dan senang-senang sahaja akan berubah menjadi insiden memalukan negara. Maklumlah, yang tidak dapat berkibar kerana insiden itu ialah Jalur Gemilang yang dibangga-banggakan!

Maaf cakap, sekiranya andaian saya tampak over kerana memikirkan tentang kemungkinan yang negatif itu. Namun, tidakkah kian ramai dalam kalangan kita suka melihat dari sudut negatif? Oh, barangkali oleh sebab hari-hari kita terlalu mendambakan keputusan negatif daripada Covid-19, maka kita terbawa-bawa hingga sentiasa berfikiran negatif? Mana mungkinkan?

Sebenarnya saya sedih walaupun menyampaikan pandangan ini secara sinis. Namun, jika kita merenung dan meneliti, tidakkah kita kini mula tenggelam dalam pemikiran negatif, penuh syak wasangka yang bersalut dengki? Semakin hari kita kian mengiyakan yang tidak baik dan yang buruk-buruk.

Kisah Joni itu berlaku pada majlis menyambut hari merdeka Indonesia. Ia adalah peristiwa peribadi yang akan diingati Joni hingga ke akhir hayatnya. Ramai dalam kalangan datuk nenek kita juga mempunyai peristiwa peribadi yang berkait dengan hari merdeka.

Mereka ada cerita bergadai nyawa menentang komunis, bergilir mengawal kampung daripada ancaman musuh dan menyerahkan emas pusaka untuk dijadikan tambang pemimpin memperoleh kemerdekaan. Kita bagaimana?

* Norden Mohamad ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca