KALAU diberikan sedikit kuasa, saya pasti akan menabalkan buah kelapa sebagai ‘raja buah’ walaupun ia akan menyebabkan peminat musang king, duri hitam, mon thong, kucing tidur dan sebagainya marah-marah. Tindakan saya berasas kerana... Klik di sini untuk terus membaca

KALAU diberikan sedikit kuasa, saya pasti akan menabalkan buah kelapa sebagai ‘raja buah’ walaupun ia akan menyebabkan peminat musang king, duri hitam, mon thong, kucing tidur dan sebagainya marah-marah.

Tindakan saya berasas kerana buah kelapa merupakan buah yang paling banyak kegunaannya di atas muka bumi ini.

Bukan setakat buah, malah segala yang ada pada kelapa, daripada pokok sehingga daunnya, daripada akar sehingga ke pelepahnya, tiada satu pun yang tidak berguna melainkan semuanya berguna belaka.

Daun kelapa boleh dianyam untuk dibuat sarung ketupat, daun durian? Pernahkah anda melihat penyapu ranting durian dijual di mana-mana, sedangkan penyapu lidi kelapa kekal tersohor sejak zaman purba sehingga sekarang.

Lidi kelapa juga digunakan untuk mencucuk sate. Cubalah cucuk sate dengan ranting durian, agak-agak beranikah orang hendak makan?

Itu baru bercerita tentang daun dan lidi. Belum lagi bahagian-bahagian pokok kelapa yang lain. Umbut kelapa sedap jika dimasak atau dijadikan kerabu. Batangnya cukup sesuai dijadikan titi dan tiang, manakala pelepahnya pula dijadikan kayu api. Daripada kelapa boleh diperoleh nira yang bukan sahaja sedap diminum begitu sahaja tetapi juga dijadikan todi dan samsu yang boleh menyebabkan peminumnya mabuk tunggang-langgang.

Di utara Semenanjung, kelapa juga disebut nyiur dan di sebelah sana, Kedah terutamanya ada biskut dinamakan ‘biskut akar nyiur’. Jangan tersilap, ia bukan dibuat daripada akar pokok kelapa. Bentuknya sahaja seperti itu, sedangkan ia sebetulnya dihasilkan daripada tepung, teksturnya sedikit keras dan bersalut gula.

Buah kelapa itu sendiri sangat banyak kegunaannya. Ketika muda, airnya dijadikan minuman. Cukup mengasyikkan jika dicampurkan dengan isinya yang lembut itu.

Fungsi air kelapa bukan sekadar sebagai penghilang dahaga atau penyegar badan tetapi juga dipercayai boleh bertindak sebagai penawar racun. Orang demam pun khabarnya kalau diberi minum air kelapa, akan cepat sembuhnya.

Isi kelapa boleh diparut dan dibuat inti. Selain itu ia diperah, dijadikan santan yang gunanya untuk urusan masak memasak. Bayangkanlah nasi lemak tanpa santan atau gulai tanpa santan, sudah tentu sedapnya berkurang, nikmatnya pun hilang. Bayangkan jika kita disajikan ketupat pulut tanpa santan atau lemang tanpa santan, mungkin secara automatik hati kecil kita akan berkata, lagi baik genggam beras pulut mentah, kemudian baling masuk ke dalam mulut.

Khasiat

Daripada santan kelapa boleh dibuat minyak. Terserah pada kemahuan anda hendak menjadikannya minyak apa – minyak masak, minyak urut, malah minyak pengasih! Kalau minyak kelapa yang belum tercemar ‘kedaraannya’ pula, khasiatnya cukup banyak. Ada sebotol sahaja di poket sudah boleh diumpamakan seperti membawa farmasi kecil ke mana sahaja anda pergi.

Apa gunanya kulit durian? Setakat untuk dijadikan baja setelah reput atau sekadar untuk menguji deria bau kita masih elok ataupun tidak. Pangsa-pangsa durian pun begitu. Tiada nilainya walaupun pangsa itu datangnya daripada durian yang harganya sekilo RM80.

Lain halnya dengan kulit kelapa. Sabutnya sering dijadikan bahan api dan juga penghalau nyamuk yang sangat berkesan. Pada masa dahulu orang longgokkan banyak-banyak di bawah rumah atau di bawah pondok, bakar dan biarkan apinya membara, bukan menyala. Kepulan asapnya akan menakutkan nyamuk dan suku-sakatnya. Agaknya nyamuk-nyamuk itu pedih mata bila terkena asap tersebut.

Sabut kelapa juga cukup sesuai dijadikan alat penggosok. Gosok periuk, gosok kuali dan tak terkecuali gosok badan. Selain itu ia sering dipintal dan dijadikan tali yang kuat serta tahan lasak.

Bahagian lain pada buah kelapa yang sangat banyak kegunaannya ialah tempurung. Ia boleh dibuat tabung duit, dijadikan geluk untuk mengisi minuman, gayung untuk mencedok air dan alat untuk ditadah ketika meminta sedekah!

Dan jangan lupa, tidak lama dahulu, ada orang mencari kapal terbang hilang dengan menggoncang-goncang buah kelapa!

Demikianlah. Sumbangan buah yang dikatakan berasal dari pulau-pulau di Asia Tenggara ini sebelum dibawa ke merata penjuru dunia pada zaman Neolitik, terlalu besar terhadap kehidupan.

Selain daripada segala apa yang disebutkan di atas, kelapa turut menyumbang dalam industri pembuatan sabun dan kosmetik, pembuatan bahan-bahan binaan dan bahan kraftangan serta perhiasan.

Sumbangan

Disebabkan besarnya sumbangan itu, kelapa mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan manusia. Dalam sesetengah kebudayaan ia dianggap suci atau setidak-tidaknya mempunyai kelasnya tersendiri. Akar budaya penduduk di pulau-pulau di Pasifik Barat misalnya sarat dengan mitologi, lagu-lagu dan cerita-cerita rakyat yang mempunyai kaitan dengan kelapa.

Dalam ritual agama penganut-penganut Hindu, kelapa mempunyai peranan yang signifikan. Jadikan sahaja sambutan Thaipusam sebagai contoh, di mana berjuta-juta biji buah kelapa dipecahkan saban tahun.

Di Vietnam pada tahun 1963, Nguyễn Thành Nam (1909-1990), seorang pendidik lepasan sebuah universiti di Perancis telah mengasaskan ‘Agama Kelapa’, satu kepercayaan yang sebenarnya berasaskan penghargaan luar biasa terhadap kelapa dan sumbangannya terhadap kehidupan. Agama ini berpusat di Wilayah Bến Tre di selatan Vietnam. Pengikut-pengikutnya juga membina ‘Negeri Kelapa’ di sebuah pulau kecil di Sungai Mekong.

Pada era kemuncaknya agama ini mempunyai kira-kira 4,000 penganut, yang amalan mereka banyak dipengaruhi oleh kepercayaan Buddha dan Kristian.

Apabila komunis menguasai Vietnam pada tahun 1975, 'Agama Kelapa’ diharamkan. Walaupun begitu ia masih dipraktikkan secara sembunyi-sembunyi sehinggalah pengasasnya terbunuh dalam satu pergaduhan dengan pihak berkuasa pada tahun 1990. Kini agama itu masih mempunyai pengikut tetapi jumlahnya sangat kecil.

Kita di Malaysia turut bernasib baik kerana negara ini mempunyai muka bumi yang sesuai dengan penanaman kelapa. Saya tidak sempat menghitungnya tetapi anggaran kasar menunjukkan terdapat berjuta-juta pokok kelapa dari Perlis hinggalah ke Sabah. Booklet Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan keluasan kawasan tanaman kelapa di Malaysia adalah 81,585 hektar pada tahun 2018.

Perlu disebut bahawa pokok kelapa juga telah mengalami evolusinya. Pada masa dahulu orang cuma biasa sebut kelapa biasa dan kelapa gading. Sekarang ini terdapat pelbagai jenis kelapa baka baharu, antaranya kelapa pandan, kelapa mawa, kelapa tacunan, kelapa marren dan macam-macam lagi. Pokok kelapa pun telah berubah bentuk.

Jika dahulu semuanya tinggi-tinggi, sekarang banyak yang rendah-rendah. Tetapi ia bukanlah berita baik bagi beruk kerana kebanyakan binatang itu telah hilang kerja. Tidak ramai lagi orang yang menggunakan khidmatnya untuk memetik buah kelapa.

Saya tutup artikel ini dengan sekali lagi berkata, jika diberi sedikit kuasa, saya akan mengisytiharkan kelapa sebagai ‘raja buah’ dan saya akan minta kerjasama Mardi menghasilkan kelapa yang berperisa durian. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Klik di sini untuk terus membaca