KELUARGA Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi inti pati dalam ucapan sulungnya pada Ahad. Konsep itu diilhamkan bagi menggalakkan usaha sepakat membantu sesama masyarakat tanpa mengira... Klik di sini untuk terus membaca

KELUARGA Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi inti pati dalam ucapan sulungnya pada Ahad.

Konsep itu diilhamkan bagi menggalakkan usaha sepakat membantu sesama masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang politik.

"Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.

"Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” kata Perdana Menteri kesembilan itu.

Ujar Ahli Parlimen Bera itu, konsep berkenaan diambil kerana baginya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah negara.

Apa yang boleh dicernakan daripada pendekatan konsep Keluarga Malaysia ini?

Penganalisis politik Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berpendapat, konsep Keluarga Malaysia merupakan satu gagasan ke arah perpaduan nasional di mana sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri mempunyai tanggungjawab menyatukan rakyat terutama ketika negara berdepan waktu sukar.

"Menyentuh konsep Keluarga Malaysia ini, ia membawa konotasi positif. Apabila menyebut tentang keluarga kita akan mengaitkan dengan nilai-nilai positif seperti kasih-sayang, toleransi dan empati,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jelasnya lagi, institusi keluarga itu juga sering dianggap sebagai sumber kekuatan diri ketika berdepan masalah.

"Begitu juga apabila negara berdepan cabaran maka sumber kekuatan untuk mengatasinya datang daripada rakyat,” katanya lagi.

Namun tegas Mohd Izani, konsep Keluarga Malaysia itu perlu dihayati semua golongan masyarakat termasuklah ahli politik.

Pembangkang

"Sekiranya hanya rakyat yang diseru menghayati nilai kekeluargaan ini tetapi pada masa sama ahli politik tidak tunjuk teladan yang baik maka ia akan tetap menimbulkan masalah.

"Jadi ahli politik, pemimpin, masyarakat mesti bersama-sama. Walaupun ada perbezaan pendapat tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak membina ikatan kukuh,” katanya.

Peralihan dua kerajaan, dua Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal menjelang 21 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jelas Ismail Sabri amat merugikan rakyat dan negara.

Justeru, beliau menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Mohd Afzanizam

"Dalam sistem demokrasi, kita ada kerajaan dan pembangkang tetapi konsep pembangkang yang kita biasa lihat adalah pembangkang mengkritik kerajaan. Jadi, tawaran Perdana Menteri itu boleh menjadi titik mula kepada pelaksanaan konsep membangkang yang lebih bermanfaat.

"Pembangkang yang juga dikenali sebagai kerajaan alternatif turut mempunyai peranan tersendiri dan boleh menyumbangkan idea kepada kerajaan,” jelas Mohd Izani.

Tambahnya, sekiranya pembangkang menerima pelawaan itu, mereka berpeluang menyumbang idea dan mendapat kredit jika cadangan itu berhasil mendatangkan kebaikan kepada rakyat.

Menyedari keperitan ekonomi yang terpaksa ditanggung rakyat dan negara, Ismail Sabri menegaskan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir.

Pengalaman menempuh kepayahan hidup membesar sebagai anak penoreh getah, membuatkan Ismail Sabri menginsafi kesengsaraan rakyat yang hilang mata pencarian, putus bekalan makanan dan telah dibuang kerja.

Simpati rakyat

Justeru, Naib Presiden UMNO berusia 61 tahun itu berazam mengurangkan kesan ekonomi berpanjangan dengan menumpukan usaha kerajaan ke arah mencapai dua objektif utama.

Objektif pertama, untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna.

Manakala objektif kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Rentetan itu, fokus usaha menjurus kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

Ketua Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, perancangan itu jelas menunjukkan dasar yang bakal dibawa pucuk pimpinan Ismail Sabri adalah senada dengan pentadbiran sebelum ini.

"Isu-isu seperti kehilangan pekerjaan dan pendapatan dalam kalangan rakyat akan terus menjadi fokus utama oleh kerajaan yang baharu ini.

"Justeru, dari sudut dasar fiskal, ia dijangka kekal mengembang bagi menyokong proses pemulihan ekonomi,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihak kerajaan juga bakal mempercepat perbelanjaan pembangunan bagi merancakkan sektor perniagaan terutamanya sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

"Sehubungan itu, defisit fiskal dijangka kekal tinggi disebabkan keperluan untuk kerajaan berbelanja lebih demi menyokong pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya lagi.

Namun tegas Mohd Afzanizam, tumpuan utama harus diarahkan terhadap program vaksinasi kerana ia adalah faktor penentu bagi membuka ekonomi negara.

"Dalam tempoh terdekat ini, mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera merupakan keutamaan nombor satu.

"Negara kini berada di landasan betul bagi membuka sektor ekonomi negara, ini terbukti apabila kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa telah mencapai 55.6 peratus setakat 22 Ogos,” ujarnya.

Perkembangan positif ini dilihat bakal membuka jalan buat iltizam Ismail Sabri dalam bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.

Ismail Sabri turut menekankan varian Covid-19 yang sentiasa berevolusi adalah musuh bersama, namun beliau akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

Katanya, ia akan dilakukan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.

Klik di sini untuk terus membaca