SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin dari Sarawak untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin dari Sarawak untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain itu, kementerian-kementerian yang diberikan kepada menteri dari Sarawak perlulah boleh membawa pembangunan diingini dan dikehendaki oleh negeri tersebut.

"Berapa zaman semenjak tahun 1963 kita tidak pernah duduk di kementerian-kementerian kanan sangat. Timbalan Perdana Menteri itu jauh sekali.

"Sudah tiba masanya Sarawak diberi peluang kerana penggal ini bukan lama, satu tahun lebih. Berilah peluang kepada kami menduduki tempat itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas harapannya sebagai pemimpin daripada Sarawak mengenai barisan kabinet yang akan diumumkan.

Wan Junaidi yang merupakan bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sekiranya dilihat dari sudut sokongan kepada kerajaan pusat, pemimpin dari Sarawak sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

"Kita juga satu kelompok yang boleh dipercayai, tidak ada mengganggu gugat, tidak ada membuat isu dan tidak ada mempersoalkan tingkah laku mana-mana pemimpin atasan khususnya Perdana Menteri dari dulu lagi.

"Sikap ini adalah satu sikap yang amat penting tiap-tiap kepimpinan. Jadi, pihak pentadbiran atau Perdana Menteri patut melihat perkara ini dan menghargai sumbangan orang politik Sarawak.

Bung Moktar

"Ia stabil, waras dan tidak mempunyai tuntutan-tuntutan yang besar. Tuntutan kami bukan peribadi. Tuntutan kami adalah untuk negeri kami dan untuk Malaysia sendiri supaya dilihat negara ini tidak melupakan negeri Sabah serta Sarawak,” jelasnya.

Mengulas isu sama, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pula berpendapat, Ismail Sabri akan melihat barisan kabinet terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan latar belakang mengikut negeri masing-masing.

"Saya (juga) percaya Perdana Menteri akan meletakkan wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak ke dalam kabinet yang baharu ini untuk memastikan Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dalam merayakan kejayaan bersama-sama pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai calon Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak, Bung yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah pula berpandangan sebaliknya.

"Pada saya, mungkin tidak berapa sesuai untuk kita pilih Timbalan Perdana Menteri buat masa ini. Macam tidak ada juga keperluan.

"Memadai hanya dengan menteri-menteri kanan beberapa orang dan terus memperkasakan kementerian masing-masing,” katanya.

Menurutnya, ini kerana pemerintahan ini adalah sementara bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak.

"Selepas itu, kerajaan ini dibubarkan untuk mencari mandat yang baharu,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca