SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaikan mendapat 'tonik' pertama kerajaan baharu apabila berjaya mendamaikan hubungan dengan blok pembangkang hari ini.
Selepas lima hari pelantikannya, Ismail Sabri yang dalam ucapan sulungnya membawa tema Keluarga Malaysia membuktikan semangat itu apabila mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya petang tadi.
Turut menyertai pertemuan selama satu jam itu ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Lebih menarik dan menjadi satu sejarah apabila Ismail Sabri dan ketiga-tiga pemimpin Pakatan Harapan menandatangani satu kenyataan bersama yang memberi jaminan akan mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis penularan wabak Covid-19 dan ekonomi negara.
"Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu menjaga nyawa dan keselamatan daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan," kata mereka dalam kenyataan itu.
Pertemuan dan kenyataan bersama tersebut seolah-olah memberi gambaran yang rakyat mungkin akan menyaksikan satu 'gencatan politik' antara kerajaan dengan blok pembangkang selepas ini.
Malah, Anwar dalam pertemuan dengan media selepas itu berkata, beliau memberi jaminan tidak akan menyulitkan tugas Ismail Sabri sebagai PM ke-9.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyifatkan pertemuan tersebut sebagai 'permulaan yang baik' dan pertemuan peringkat jawatankuasa akan disertai wakil-wakil pembangkang.
"Kita beritahu kalau suasana begini, kalau program-program (yang dibuat) pro kepada rakyat, kita tak akan persulitkan (undi percaya)," katanya kepada pemberita di luar Pejabat Perdana Menteri petang tadi.
Walaupun ada yang mempersoalan sejauh mana 'gencatan politik' itu mampu bertahan, namun sekurang-kurangnya Ismail Sabri setakat ini telah membuka satu lembaran baharu politik negara.
Ini kerana Anwar merupakan Ketua Pembangkang yang bersaing rapat dengan beliau dalam pecutan terakhir merebut jawatan Perdana Menteri minggu lalu.
Bagaimanapun, pada Sabtu lalu, Ismail Sabri akhirnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mendapat 114 sokongan ahli Parlimen.
Klik di sini untuk terus membaca