SHAH ALAM - Segelintir rakyat Malaysia yang gelap mata dengan duit kopi ribuan ringgit menjadi petualang negara apabila bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kumpulan sindiket PATI kini menggunakan taktik baharu apabila merasuah warga tempatan untuk menjadi ‘kaki’ sebagai tonto di lokasi panas, pemandu e-hailing di daratan dan penyedia rumah homestay sebagai tempat persembunyian.
Kumpulan sindiket hanya menguruskan pengangkutan PATI menaiki bot, namun sebaik PATI berjaya menjejakkan kaki di daratan tugas seterusnya akan disambung warga tempatan.
Modus operandi itu digunakan bagi melicinkan pergerakan masuk dan pulang migran asing haram khususnya di beberapa lokasi panas di Selangor antaranya di Sungai Janggut ke Pantai Remis.
Malah, khidmat orang tempatan seperti pemandu e-hailing, usahawan homestay dan nelayan serta penduduk setempat digunakan kerana dapat mengaburi aktiviti sindiket itu di mata pihak berkuasa.
Mendedahkan kegiatan itu, Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, sindiket PATI menggunakan transporter darat yang akan bertindak sebagai orang yang menguruskan perjalanan PATI bermula dari ‘pick up point’ sehingga ‘landing point’.
Menurutnya, PATI menggunakan bot pom pom (bot kayu) atau bot pancung sebagai pengangkutan air bagi perjalanan masuk dan keluar dari Malaysia.
"Bot yang digunakan boleh memuatkan seramai 20 hingga 50 orang PATI bergantung kepada saiz.
"Berdasarkan maklumat perisikan, pergerakan masuk PATI ke Malaysia bermula dari beberapa tempat di Indonesia seperti Pulau Rupat dan Tanjung Balai. Pendaratan di kawasan Negeri Selangor adalah bergantung kepada ‘pick up point’ di Indonesia.
"Jika PATI bergerak dari Pulau Rupat, pendaratan biasanya akan berlaku di kawasan sekitar Pantai Morib dan Sungai Langat manakala PATI yang datang dari Tanjung Balai akan mendarat di kawasan pantai sekitar Kapar dan Tanjung Karang,” katanya kepada kru Rasuah Busters ketika temubual secara eksklusif baru-baru ini.
Mohd Rosli berkata, bagi setiap kawasan pendaratan PATI, sindiket akan memilih lokasi sesuai dan terlindung seperti kawasan paya bakau bagi memudahkan PATI untuk bersembunyi dalam tempoh dua hingga tiga jam sementara menunggu pengangkutan darat yang diuruskan transporter.
Komplot pemandu e-hailing Menurut Mohd Rosli, berdasarkan maklumat yang diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor, sindiket PATI menggunakan kenderaan e-hailing pemandu tempatan sebagai pengangkutan di darat.
"Ini adalah modus operandi baharu sindiket PATI. Mereka ini memang orang yang sudah lama bekerja dan telah mengenali antara satu sama lain. Setiap kali PATI keluar masuk memang guna orang (pemandu) yang sama.
Klik di sini untuk terus membaca