HUBUNGAN antara Algeria dengan Maghribi kerap tegang sejak awal tahun 1960an lagi. Ia berpunca daripada isu sempadan melibatkan kedua-dua buah negara di Afrika itu. Rabat mencapai kemerdekaan dari Perancis pada tahun 1956 iaitu lebih awal... Klik di sini untuk terus membaca

HUBUNGAN antara Algeria dengan Maghribi kerap tegang sejak awal tahun 1960an lagi. Ia berpunca daripada isu sempadan melibatkan kedua-dua buah negara di Afrika itu.

Rabat mencapai kemerdekaan dari Perancis pada tahun 1956 iaitu lebih awal dari Algiers yang turut merdeka pada tahun 1962 daripada negara yang sama menjajah Maghribi.

Sejumlah pertempuran antara tentera kedua-dua buah negara juga pernah berlaku selepas Rabat dan Algiers mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Perancis atas pelbagai alasan.

Antara alasan itu ialah Maghribi menuntut wilayah di Algeria.

Semasa perjuangan Algeria menuntut kemerdekaan dari Perancis, Rabat membekalkan Tentera Pembebasan Kebangsaan Algeria dengan bantuan kewangan, anggota sukarelawan dan sebahagian bekalan ketenteraan selain memberikan sokongan kepada para pemimpin revolusi negara jirannya itu.

Perbalahan kedua-dua buah negara kemudian berlanjutan pada tahun 1970an, 1980an, 1990an dan pada awal abad milenium ini.

Rabat pernah menegaskan bahawa Perancis lebih menyebelahi Algeria ketika menetapkan sempadan antara kedua-dua buah negara.

Bagaimanapun, pada Selasa lalu, Algeria bertindak dengan lebih jauh lagi apabila sanggup memutuskan hubungan diplomatik dengan Maghribi selepas mengambil kira tindakan permusuhan yang dilakukan oleh negara jirannya itu.

Keputusan Algiers untuk memutuskan hubungan dengan Rabat itu dibuat selepas berlaku ketegangan antara kedua-dua buah negara Afrika Utara tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Pada bulan Julai lalu, Kementerian Luar Algeria sanggup memanggil dutanya ke Maghribi kembali ke tanah air.

Wilayah Kabyle

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan isu tuntutan pemerintahan sendiri di wilayah Kabyle yang dibangkitkan Rabat ketika mesyuarat Negara-Negara Berkecuali berlangsung di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York.

Ketika mesyuarat itu, Duta Maghribi ke PBB, Omar Hilale dikatakan menghantar satu nota yang menyatakan bahawa penduduk di wilayah Kabyle di timur laut Algeria berhak untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Komen Hilale itu telah mencetuskan kemarahan Algeria kerana ia menentang sebarang tuntutan kemerdekaan di wilayah tersebut dan pada 18 Mei lalu Algiers menganggap Pergerakan Penentuan Nasib Sendiri Kabyle (MAK) sebagai sebuah pertubuhan pengganas.

Sebelum hubungan diplomatik diputuskan, Algeria menyalahkan pertubuhan MAK yang disokong oleh Maghribi dan Israel berikutan berlakunya kebakaran hutan di negara berkenaan.

Kebakaran itu menjejaskan kawasan utara negara itu pada 9 Ogos lalu sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang termasuk 30 askarnya.

Seramai 22 orang lagi telah ditangkap atas tuduhan memulakan kebakaran tersebut manakala kumpulan pergerakan Rashad yang mahukan perubahan politik radikal di Algeria turut didakwa terlibat dalam kejadian itu.

Campur tangan AS

Sebelum ini ketegangan antara kedua-dua negara berlaku pada bulan Disember tahun lalu selepas Maghribi bertindak menjalin hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.

Maghribi menganggap keputusan Algeria memutuskan hubungan diplomatik dengannya sebagai tidak wajar. - Foto AFP

Melalui hubungan diplomatik itu juga, Amerika Syarikat (AS) kemudian memutuskan untuk mengiktiraf kedaulatan Rabat terhadap Sahara Barat.

Pengiktirafan itu adalah sebagai sebahagian daripada perjanjian hubungan diplomatik antara Israel dengan Maghribi.

Algeria pula menyokong pergerakan pemisah iaitu Pembela Polisario di wilayah Sahara Barat.

Algiers turut menyatakan perasaan tidak berpuas hati terhadap kenyataan Menteri Luar Israel, Yair Lapid ketika beliau melawat Maghribi baru-baru ini yang menyatakan hubungan Algeria semakin rapat dengan Iran.

Algeria juga pernah menentang Israel untuk menjadi pemerhati dalam Kesatuan Afrika.

Dalam perbalahan dengan Israel itu, Menteri Luar Algeria, Ramtane Lamamra mendakwa Lapid membuat tuduhan yang tidak berasas kerana menyuarakan kebimbangan tentang peranan yang dimainkan oleh Algeria di rantau Afrika Utara.

Rabat juga menganggap Sahara Barat yang menghadap Lautan Atlantik itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Namun, setakat ini hanya Algeria bertindak bersendirian apabila memutuskan hubungan diplomatik dengan Maghribi.

Maghribi pula menganggap keputusan Algeria sebagai tidak wajar.

Namun, Rabat sudah menjangkakan ia akan berlaku ekoran peningkatan ketegangan hubungan antara kedua-dua negara. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca