PERDANA Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri mengutarakan gagasan 'Keluarga Malaysia' untuk membawa rakyat Malaysia 'bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita.'Menurut beliau, pendekatan 'Keluarga Malaysia' dipilih kerana frasa... Klik di sini untuk terus membaca

PERDANA Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri mengutarakan gagasan 'Keluarga Malaysia' untuk membawa rakyat Malaysia 'bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita.'

Menurut beliau, pendekatan 'Keluarga Malaysia' dipilih kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum di mana kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua.

Keterangkuman memang harus menjadi keutamaan dalam pentadbiran negara bila-bila masa, lebih-lebih lagi apabila wabak melanda dan kita perlu membantu sesama lain untuk menyelamatkan diri.

Konsep keluarga pun bukan sesuatu yang baru kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri telahpun menggunakan konsep yang sama untuk mendampingi masyarakat Tiong hua, "wo men dou shi yi jia ren” (kita semua sekeluarga).

Cabarannya, bagaimana idea murni ini tidak berakhir sebagai slogan kosong dalam masa beberapa tahun malah mungkin beberapa bulan kemudian? Sempadan yang perlu direntasi sebenarnya tidak tertakluk kepada agama, bangsa dan kaum, tetapi juga kepartian. Tak kira parti mana yang memerintah, penyokong kerajaan dan penyokong pembangkang sentiasa mendengki sesama lain.

Mengapa? Salah satu sebab pendengkian antara parti ialah penganaktirian wakil rakyat pembangkang. Contoh yang paling ketara ialah dana pembangunan kawasan. Dalam zaman BN, ahli Parlimen kerajaan mendapat dana dalam jutaan manakala ahli Parlimen tidak dapat satu sen pun.

PH janjikan reformasi tetapi ia bergerak dengan kelajuan siput babi. Ahli Parlimen pembangkang diberikan RM 100,000 manakala ahli Parlimen kerajaan diberi lebih banyak bermula dengan RM800,000 dan berakhir dengan RM3,800,000 apabila kerajaan PH jatuh.

Perkara yang sama juga berlaku dengan keahlian jawatankuasa khas parlimen (JKP) yang memberi peluang untuk ahli-ahli Parlimen yang bukan menteri atau timbalan menteri untuk memantau kerajaan.

Tanpa keahlian JKP, ahli Parlimen bukan Menteri tiada peranan dalam pembuatan dasar kebangsaan apabila Parlimen ditangguhkan selama lapan hingga sembilan bulan setahun. Maka, menghadkan bilangan JKP ialah satu cara untuk meminggirkan ahli Parlimen bukan Menteri terutama pembangkang.

Untuk Parlimen ke-13, Datuk Seri Najib Razak cuba menubuhkan empat JKP dan melibatkan hanya 40 ahli Parlimen bukan Menteri dalam semua jawatankuasa Parlimen. Akhirnya 81 peratus ahli Parlimen pembangkang dianaktirikan berbanding dengan 42 peratus ahli Parlimen kerajaan.

Di bawah Tun Dr Mahathir, PH membawa reformasi dengan menubuhkan 10 buah JKP tetapi peratusan ahli Parlimen pembangkang yang dianaktirikan, 69 peratus tetap jauh lebih tinggi daripada peratusan sama untuk ahli Parlimen kerajaan sebanyak 18 peratus.

Di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin, bilangan JKP dikurangkan kepada sembilan saja, jurang penganaktirian antara ahli Parlimen pembangkang (75 peratus) dan ahli Parlimen kerajaan (8 peratus) diperbesarkan lagi.

Penganaktirian wakil rakyat parlimen dalam dana pembangunan dan keanggotaan dalam JKP bermotif jelas supaya mereka tidak dapat berfungsi secara optima dan lebih besar peluang dikalahkan oleh calon kerajaan dalam pilihan raya nanti.

Kedua-dua parti kerajaan dan parti pembangkang adalah saudara sekeluarga sungguhpun mereka bersaing untuk mendapatkan hati pengundi.

Kalau Perdana Menteri memang ikhlas untuk membina keluarga Malaysia, beliau mesti menghentikan penganaktirian pihak yang kalah. Kalau beliau berjaya di mana BN, PH dan PN telahpun gagal, cucu-cicit kita pun akan kenang jasanya.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca