COVID-19 menguji kita dalam banyak perkara. Ada yang diuji kesabaran, ada yang diuji ketabahan diri, ada yang diuji dengan kehilangan pekerjaan dan ada juga yang diuji dengan kehilangan orang yang tersayang. Semua ujian itu membuatkan ramai... Klik di sini untuk terus membaca

COVID-19 menguji kita dalam banyak perkara. Ada yang diuji kesabaran, ada yang diuji ketabahan diri, ada yang diuji dengan kehilangan pekerjaan dan ada juga yang diuji dengan kehilangan orang yang tersayang.

Semua ujian itu membuatkan ramai daripada kita bertambah cekal dan pada sesetengah pihak, ia menjadikan mereka lebih peka pada persekitaran serta bertindak sebaik mungkin bagi menentukan rakyat yang dibantu benar-benar mendapat bantuan.

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) adalah salah sebuah agensi kerajaan yang saya maksudkan dalam konteks ini. Ia ditubuhkan pada zaman pemerintahan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bertujuan sebagai sebuah badan berkanun bertanggungjawab menghasilkan polisi dan strategi terbaik bagi membantu pembangunan ekonomi di utara Semenanjung Malaysia melibatkan empat buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam usaha membangunkan ekonomi rakyat di empat buah negeri berkenaan, saya dapat melihat bagaimana NCIA memberi tumpuan menyeluruh dalam setiap inisiatif yang mereka laksanakan. Mereka tidak hanya tertumpu kepada pembangunan ekonomi tetapi mengambil kira rakyat yang terlibat dalam perniagaan dan mereka yang mencari peluang pekerjaan.

Selain itu, NCIA turut sama memberi fokus kepada anak-anak golongan miskin agar melalui pendidikan, mereka mampu membawa keluarga mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.

Pendekatan yang lebih holistik itu penting untuk dicontohi bagi menentukan impak daripada setiap inisiatif yang diambil benar-benar meninggalkan kesan yang memberi makna kepada rakyat.

Kali ini saya ingin memberi fokus kepada satu inisiatif yang saya kira amat bermakna dilaksanakan oleh NCIA. Program itu dikenali sebagai Program empowerNCER Akademik.

Walaupun dengan kekangan sesi pembelajaran secara bersemuka akibat Covid-19, ia tidak menjejaskan usaha NCIA memastikan pelajar Tingkatan Lima golongan B40 dan lemah akademik daripada empat buah negeri di utara Semenanjung itu mendapat manfaat melalui program tersebut.

Program empowerNCER Akademik dilaksanakan bagi membantu pelajar yang lemah akademik daripada keluarga miskin untuk mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020. Selain menyokong ekosistem pembasmian kemiskinan melalui penyampaian pendidikan inklusif dan inovatif dalam melahirkan modal insan yang akan membantu pelajar, keluarga dan negara, ia membuka peluang agar anak-anak itu mendapat bantuan yang mereka perlukan.

Menariknya, program itu turut melibatkan beberapa universiti awam sebagai rakan kolaboratif strategik yang digunakan sebagai agensi yang membantu pembelajaran anak-anak berkenaan.

Saya juga dimaklumkan bahawa program itu turut membimbing pelajar selepas tamat peperiksaan SPM menerusi sesi kaunseling dan bimbingan kerjaya berdasarkan keputusan SPM bagi memastikan hala tuju bersesuaian dengan keputusan yang mereka peroleh.

Lebih menarik apabila saya difahamkan selain penekanan terhadap semua subjek teras SPM seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah dan Sains, program turut menekankan aspek pembangunan sahsiah pelajar.

Malah, ibu bapa kepada pelajar turut diberikan pendedahan cara-cara untuk membantu anak mereka mencapai kejayaan, seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.

Baru-baru ini, saya sempat mengikuti sambutan pencapaian keputusan cemerlang SPM anak-anak daripada keluarga B40 di empat buah negeri ini yang mendapat bantuan melalui program empowerNCER Akademik NCIA.

Tahniah kepada Ahmad Aiman Idham Anuar yang mendapat 9A; Nurasyikin Maliki yang memperoleh 8A dan Cheah Wen Jin yang mendapat 7A serta ramai lagi pelajar lain mendapat keputusan yang baik.

Dalam mendengar susah payah yang mereka lalui, pada saya bagi yang mampu mendapat 7B pun boleh kita kira dalam kategori cemerlang juga kerana mereka belajar dalam keadaan serba kekurangan.

Kita sedar bahawa hanya pendidikan merupakan instrumen terbaik mengubah masa depan individu atau sesebuah keluarga daripada terus dibelenggu kemiskinan. Semoga usaha murni agensi seperti NCIA akan lebih banyak direplikasikan di seluruh negara.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca