DIKENAKAN bayaran RM1,300 oleh ejen warga Indonesia, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyusup keluar secara haram dengan menaiki sebuah tongkang kayu tanpa nombor pendaftaran di kedudukan sekitar 2.5 batu nautika barat Sungai Serdang Besar, Kapar di sini mengakui menggunakan khidmat pemandu e-hailing.
Pengakuan itu diperoleh kru Rasuah Busters ketika operasi yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Selangor baru-baru ini.
Seramai 19 PATI berjaya ditahan dan seorang lelaki warga Indonesia yang mengakui datang dari Melaka mendedahkan dia perlu mengikuti arahan yang diberikan oleh ejen untuk mengelak daripada dicekup.
"Saya membayar RM1,300 kepada ejen warga Indonesia. Kemudian ejen itu mengatakan ada pemandu (e-hailing) akan menghubungi saya untuk membawa saya rumah penampungan (tempat persembunyian) di Klang.
"Masa diambil pemandu (lelaki tempatan) itu, saya bayar kepada dia RM400 lagi. Ketika itu saya seorang sahaja,” katanya.
Perkara itu turut diakui seorang wanita warga Indonesia yang mendakwa tinggal di Puchong, Selangor.
Dia perlu membayar RM1,300 kepada seorang ejen warga Indonesia yang duduk di Taman Medan, Petaling Jaya.
"Selepas selesai urusan bayaran semua, saya menaiki kereta (e-hailing) dari Taman Medan terus menuju ke persisiran pantai di Klang. Saya bayar kepada pemandu itu lebih kurang RM130,” katanya.
Menceritakan proses yang dilalui, wanita itu berkata, dia perlu berjalan menyusuri air laut hingga ke paras dada pada waktu malam untuk menaiki tongkang.
"Masa itu, ada lapan hingga sembilan orang warga Indonesia sekali bersama saya,” katanya.
Sementara itu, seorang warga Pakistan dikenali sebagai Imran berkata, dia yang menetap di Petaling Jaya dan bekerja sebagai tukang elektrik telah membayar RM5,500 kepada seorang ejen.
"Kemudian saya perlu bayar lagi RM200 kepada pemandu e-hailing. Masa naik kereta itu, ada dua lagi penumpang warga Indonesia dan kami semua dalam perjalanan sama ke Klang.
"Memang pemandu itu tidak lalu jalan-jalan yang ada roadblock. Dia tahu jalan yang selamat,” kata Imran.
Klik di sini untuk terus membaca