SHAH ALAM - Seorang lelaki warga tempatan yang bersekongkol dengan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI) mengakui kesal terjebak dengan kegiatan haram yang merosakkan hidup dan negara sendiri.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Luqman, 40-an berkata, dia mula terjebak dalam kegiatan itu sejak tahun 2015 dan dibayar upah untuk menguruskan PATI keluar dari Malaysia.
"Saya terima RM50 bagi setiap PATI yang hendak pulang dan boleh dapat ribuan ringgit sebulan. Tanpa saya sedar sebenarnya saya telah terjerat. Saya kesal apabila terlalu ikut perasaan dan akhirnya benda yang dilakukan ini merisikokan nyawa.
"Saya telah ditahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 pada tahun 2019. Di situlah satu impak besar pada diri terpaksa saya hadapi,” katanya.
Tambahn Luqman, perasaan tamak dalam dirinya membuatkan keluarganya kecewa dan perkahwinannya musnah.
Katanya, bukan itu sahaja, masyarakat juga kini memandang serong terhadapnya.
"Wang yang saya dapat sebelum itu hanya seketika. Manis sementara, pahit berpanjangan. Saya tahu saya buat salah. Saya menyesal,” ujarnya.
Sementara itu, seorang bekas ahli perniagaan yang terjerat dengan sindiket PATI kerana wang mengakui pembabitannya memberikan impak negatif pada diri dan keluarga.
Lelaki berusia lingkungan 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Nazri itu berkata, dia mula terjebak dalam kegiatan menguruskan PATI keluar masuk negara sejak tahun 2019.
"Akibat perniagaan saya yang merosot teruk, saya terpaksa mencari sumber pendapatan lain dan memulakan kerja sebagai pemandu e-hailing.
"Masa itu saya telah berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia dan dia mengupah saya untuk membawa beberapa warga asing yang didakwa sebagai pekerjanya di beberapa lokasi di Selangor dan Perak.
"Lama kelamaan, saya berasa pelik kerana jumlah warga asing yang diuruskannya ramai sebelum saya mengetahui dia adalah salah seorang yang menguruskan sindiket PATI,” katanya.
Tambahnya, sejak itu dia menjadikan kegiatan haram tersebut sebagai sumber mata pencarian dan diupah RM100 bagi seorang PATI yang dibawa.
Katanya, beberapa bulan kemudian, dia ditugaskan untuk menguruskan homestay yang menjadi penempatan sementara PATI selain menyediakan sumber makanan.
"Selepas setahun saya terlibat, saya akhirnya tertangkap di Kuala Langat, Selangor pada pertengahan tahun lalu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca