SHAH ALAM – Semua pemimpin parti menyokong kerajaan baharu dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berjiwa besar menerima apa jua senarai pembentukan kabinet baharu yang bakal diumumkan beliau pada Khamis.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – Semua pemimpin parti menyokong kerajaan baharu dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berjiwa besar menerima apa jua senarai pembentukan kabinet baharu yang bakal diumumkan beliau pada Khamis.

Penganalisis politik yang juga Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Tan Sri Nordin Kardi berkata, mana-mana pemimpin dalam pakatan parti menyokong kerajaan baharu juga perlu mencontohi sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Hal ini kerana beliau berasa kagum dan memuji semangat nasionalisme ditunjukkan Anwar dan dua pemimpin utama PH daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP kerana sanggup mengenepikan kepentingan politik demi membantu Ismail Sabri mencari jalan keluar daripada kemelut krisis Covid-19 serta ekonomi.

Jelas beliau, pada saat parti pembangkang menawarkan diri untuk membantu kerajaan tanpa mengharapkan sebarang jawatan, ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan tidak sewajarnya untuk terus berebut bagi mendapatkan jawatan penting dalam jemaah kabinet kerajaan baharu kelak.

"Kita sepatutnya bersyukur kerana Malaysia sudah lama mendepani politik hitam putih dengan apa sahaja inisiatif dilakukan kerajaan dianggap hitam di mata pembangkang dan begitu juga pandangan ‘putih’ pembangkang diberi persepsi negatif oleh pihak kerajaan.

"Saya sebenarnya memuji Anwar kerana sanggup bekerjasama dengan kerajaan demi mendepani krisis Covid-19 secara bersama dan keputusan beliau sebenarnya memberi satu isyarat penting kepada ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan.

"Isyarat itu adalah sekiranya beliau boleh berjiwa besar menawar diri untuk membantu kerajaan, mengapa pula ahli-ahli Parlimen dalam kerajaan baharu masih sibuk untuk menuntut jawatan? Pada saat genting ketika ini, kumpulan ini juga patut mencontohi sikap Anwar dan PH,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bersama ditandatangani Ismail Sabri dan tiga ketua parti dalam PH iaitu Anwar, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memberi jaminan akan mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis penularan Covid-19 dan ekonomi negara pada Rabu.

Kenyataan itu dibuat setelah Ismail Sabri mengadakan pertemuan selama satu jam dengan tiga pemimpin PH itu di Putrajaya pada petang Rabu.

Pertemuan itu juga membuktikan kata-kata Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya selaku Perdana Menteri yang cuba membawa semangat Keluarga Malaysia dan mengajak parti pembangkang untuk bersama-sama membantu kerajaan baharu pimpinannya bagi menangani tri-krisis yang melanda negara.

Pada Khamis, Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Abdul Aziz, Kuantan dan dijangka mengumumkan pelantikan barisan kabinet baharu selepas itu.

Mengulas lanjut mengenai pembentuk kabinet baharu, Nordin mengakui kerajaan Ismail Sabri perlu mencontohi pembentukan kabinet kerajaan Britain yang jumlah menteri tidak melebihi 23 orang.

Jelas beliau, pada saat negara mendepani krisis terburuk dalam sejarah, persoalan jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu diberikan kepada siapa dan parti mana juga tidak sewajarnya menjadi isu.

"Malaysia harus mencontohi sikap sebilangan ahli Parlimen Britain yang menawarkan diri untuk dilantik menyertai pelbagai bentuk jawatankuasa khas penting tanpa menerima sebarang emolumen atau elaun daripada kerajaan.

"Pada saat krisis yang memerlukan kerajaan berjimat-cermat, saya fikir kumpulan ahli Parlimen menyokong kerajaan yang tidak dilantik dalam barisan kabinet kelak, boleh diberikan ruang untuk menyertai mana-mana jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan tanpa mengharapkan elaun kerajaan.

"Mereka boleh berkhidmat secara sukarela untuk membantu kerajaan, pada masa sama peranan dimainkan mereka melalui jawatankuasa khas berkenaan dapat membantu menaikkan imej masing-masing sebagai sandaran untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali berpandangan dari sudut kerangka pembentukan kabinet baharu, Ismail Sabri perlu mengambil perhatian sepenuhnya kepada isu kompetensi pemimpin yang bakal dilantik beliau kelak.

Jelas beliau, perkara ini penting supaya beliau tidak dilihat mengulangi kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berdepan masalah dengan kompetensi ‘performance’ kabinet kerajaan itu sendiri.

"Sebelum ini, PN berdepan masalah dengan kompetensi keupayaan barisan kabinetnya dengan banyak menteri dan timbalan menteri yang bukan sahaja tidak berfungsi dengan baik, bahkan ada yang hilang daripada radar terus.

"Justeru, demi memenuhi kehendak rakyat, perkara paling utama Ismail Sabri kena ambil kira dalam pembentukan Kabinet baharu adalah berkait rapat soal kompetensi dengan polisi baharu yang dikemukakan perlulah benar-benar mengambil berat isu kesejahteraan rakyat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca