Pada saat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Abdul Aziz, Kuantan sebentar tadi, spekulasi barisan kabinet baharu kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

Pada saat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Istana Abdul Aziz, Kuantan sebentar tadi, spekulasi barisan kabinet baharu kerajaan beliau kini semakin hangat diperkatakan.

Secara umumnya, ramai pihak sudah menduga hasrat sebenar Ismail Sabri menghadap Seri Paduka Baginda pada Khamis adalah bertujuan mempersembahkan senarai nama barisan kabinet baharu bagi membantu negara mendepani krisis Covid-19 dan ekonomi ketika ini.

Jangkaan itu diperkuatkan lagi dengan kejayaan Naib Presiden UMNO itu memeterai persefahaman dengan ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis secara bersama, pada Rabu.

Lebih-lebih lagi, persefahaman antara kerajaan dan pembangkang yang difahamkan lebih berbentuk perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) itu, dipercayai mematikan segala helah atau taktik pihak tertentu di dalam kerajaan yang cuba mendesak Ismail Sabri bagi mendapatkan jawatan politik dalam kerajaan baharu.

Hal ini kerana sejak Sabtu lalu, pelbagai pihak sudah mengemukakan tuntutan dan pandangan agar parti mereka diberikan jawatan penting dalam kabinet baharu kerajaan dipimpin Ismail Sabri, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Selain jawatan nombor dua dalam pentadbiran kerajaan itu dikaitkan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beberapa ahli Parlimen dari Sarawak turut menggesa Ismail Sabri melantik Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin dari dua negeri berkenaan.

Daripada pihak Bersatu, Sinar Premium difahamkan terdapat empat nama disebut-sebut bakal dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu.

Nama berkenaan adalah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; serta dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Untuk calon jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sarawak, nama pemimpin yang dikatakan layak untuk dipilih adalah bekas Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof serta Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Setakat tengah hari Khamis, beberapa pemimpin politik kerajaan yang dihubungi Sinar Premium masih 'mengunci mulut' apabila ditanyakan soal pembentukan kabinet baharu.

Bagi Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, beliau sendiri masih tidak mendapat sebarang gambaran barisan jemaah menteri baharu yang bakal dilantik Ismail Sabri.

Bahkan, Ahli MPT Bersatu itu menegaskan beliau tiada masalah sekiranya tidak dicalonkan kembali untuk dilantik sebagai menteri dalam kabinet baharu.

"Jujurnya, saya sendiri masih tidak tahu...Masih tiada gambaran lagi siapa bakal dilantik dalam jemaah menteri kabinet baharu. Itu urusan Perdana Menteri.

"Kalau saya tidak dilantik pun, saya tiada masalah. Kita masih ada banyak saluran lain untuk digunakan bagi menyampaikan isu permasalahan rakyat kepada kerajaan baharu," katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun, Mohd Redzuan menjangkakan saiz kabinet baharu kerajaan diterajui Ismail Sabri berkemungkinan lebih kecil dan praktikal.

Pandangan Mohd Redzuan turut dipersetujui penganalisis politik daripada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Tan Sri Nordin Kardi yang mencadangkan kerajaan Ismail Sabri perlu mencontohi saiz kabinet kerajaan Britain yang melantik tidak lebih 23 menteri.

Nordin turut mengajak mana-mana ahli Parlimen kerajaan yang tidak dilantik dalam kabinet baharu supaya berjiwa besar untuk menyumbang kepada negara tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

ISMAIL SABRI

Kosongkan jawatan TPM?

Sementara itu, seorang pemimpin UMNO yang enggan dikenali tidak menolak kemungkinan jawatan Timbalan Perdana Menteri mungkin akan dikosongkan oleh Ismail Sabri buat sementara, sekurang-kurangnya sehingga usul undi percaya terhadap beliau pada sidang Parlimen diadakan.

Jelas pemimpin UMNO berkenaan, langkah itu penting bagi mengendurkan tuntutan parti-parti dalam kerajaan baharu, di samping membolehkan Ismail Sabri 'membeli masa' untuk terus berunding dengan parti-parti menyokong kerajaan bagi tujuan berkenaan.

"Sekiranya Ismail Sabri gagal mengagihkan jawatan TPM dan portfolio kementerian yang kritikal secara saksama, risiko beliau bakal kehilangan sokongan pihak yang melobi jawatan berkenaan tetap ada walaupun perjanjian CSA dengan PH sudah dimeterai.

"Justeru, saya jangkakan beliau akan membuat tindakan selamat untuk mengosongkan sementara jawatan TPM sehingga rundingan dengan parti-parti membentuk kerajaan baharu mencapai titik persamaan," katanya.

Situasi ini mungkin menyamai apa yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac tahun lalu yang melantik empat Menteri Kanan dalam kabinetnya dan mengosongkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Dari sudut pandang penglibatan pembangkang dalam kerajaan baharu, satu perkara menarik yang dapat dilihat umum ketika ini adalah keterbukaan ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan untuk menyerahkan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat kepada pihak pembangkang.

Perkara itu pada mulanya dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan kini diulangi semula oleh bekas penyandang jawatan berkenaan, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelas Ahli Parlimen Pengerang itu, sekiranya kerajaan serius mengenai pembaharuan dan kerjasama dwipartisan, beliau yang melepaskan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu percaya tempatnya patut diganti oleh wakil pembangkang.

Cadangan itu menyusul pertemuan Ismail Sabri dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang bersetuju mengenai kepentingan reformasi institusi dan pemerintahan baik.

Bagaimanapun, seorang lagi sumber ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) meramalkan kerajaan baharu hanya akan melibatkan ahli-ahli Parlimen pembangkang dalam beberapa jawatankuasa khas yang penting bagi menangani krisis Covid-19 dan ekonomi.

"Kemungkinan besar tiada ahli Parlimen pembangkang yang dilantik menggalas jawatan penting dalam kerajaan Ismail Sabri kelak.

"Cuma sekiranya mereka dilibatkan dalam sebilangan jawatankuasa khas penting bagi tangani krisis Covid-19 dan ekonomi negara, ya...perkara itu jelas," katanya.

Soal siapa 'lekat' dan siapa 'tidak lekat' dalam senarai, sama-sama kita tunggu pengumuman rasmi daripada Pak Long Mail nanti.

Dalam pada itu, setakat petang tadi, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan tiada pengumuman senarai kabinet akan dibuat Ismail Sabri pada hari ini.

Klik di sini untuk terus membaca