PADA Selasa lalu, seorang ketua Yakuza di bandar raya Kitakyushu, Fukuoka, Pulau Kyushu, Jepun, Satoru Nomura akhirnya dihukum mati di sebuah mahkamah daerah selepas dia disabitkan berkonspirasi mengarahkan satu pembunuhan.
Mahkamah mendapati Nomura iaitu ketua Yakuza Kudo-Kai di Kitakyushu itu mengarahkan anggota-anggotanya melakukan pembunuhan ke atas bekas ketua sebuah koperasi perikanan pada tahun 2014.
Hukuman itu menjadikan dia yang berusia 74 tahun sebagai anggota kanan yakuza pertama di Jepun dijatuhkan hukuman digantung sampai mati.
Penolong Nomura iaitu Fumio Tanoue yang juga 'orang nombor 2' kumpulan Kudo-Kai dan berusia 65 tahun turut dihukum penjara seumur hidup selepas dibicarakan bersama dengan Nomura.
Kedua-dua mereka dituduh terlibat dengan pembunuhan, percubaan melakukan pembunuhan dan kesalahan melanggar peraturan senjata api.
Menurut hakim mahkamah dalam keputusannya, Nomura dan Tanoue berkonspirasi dalam empat kejadian serangan jenayah.
Tanoue juga dikenakan denda sebanyak 20 juta yen (RM550,537).
Hakim Ben Adachi menyatakan salah satu serangan itu diarahkan oleh Nomura manakala tiga lagi jenayah dilakukan di bawah satu struktur rangkaian arahan yang diketuainya itu.
Kudi-kai kerap digambarkan sebagai kumpulan Yakuza paling ganas di di bandar raya Kitakyushu, Fukuoka.
Namun, kedua-dua mereka akan membuat rayuan di mahkamah lebih tinggi berkaitan dengan keputusan tersebut.
Ketika berada dalam kamar mahkamah, Nomura dilaporkan mengugut hakim apabila dia dengan beraninya berkata: "Saya meminta kamu (hakim) membuat keputusan yang adil.
"Kamu seorang yang teruk. Kamu akan kesal seumur hidup kamu."
Perbicaraan itu melibatkan kejadian serangan jenayah yang berlaku antara tahun 1998 dan 2014.
Seorang bekas ketua sebuah koperasi perikanan yang berusia 70 tahun ditembak serta dibunuh di sebatang jalan raya di Kita-Kyushu pada tahun 1998.
Tiga lagi kejadian lain melibatkan tikaman dan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan kepada si mangsa.
Seorang jururawat yang bekerja di sebuah klinik iaitu tempat Nomura mendapatkan rawatan di Fukuoka ditikam manakala seorang anggota polis ditembak ketika
sedang menyiasat kumpulan jenayah Kudo-Kai pada tahun 2012.
Polis kemudian mendapati ketua kumpulan Kudo-Kai dan Tanoue terlibat dalam keempat-empat kejadian tersebut dan usaha menangkap mereka pula mula dilakukan sejak April 2014 melalui perancangan yang dilakukan oleh polis.
Akhirnya pada penghujung 2014, Nomura ditangkap terlebih dahulu sebelum Tanoue menerima nasib yang sama.
Usaha untuk menangkap ketua kumpulan Kudo-Kai itu sebelum ini menemui kegagalan sebelum dia berjaya dicekup oleh pihak polis di rumahnya.
Perbicaraan kedua-dua penjenayah itu diadakan pada tahun 2019 sebelum berakhir pada Selasa lalu.
Tujuh tahun selepas perancangan teliti dilakukan polis untuk menangkap kedua-dua mereka, Nomura akhirnya menerima hukuman mati manakala Tanoue dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca