SELESAI sudah cerita pergelutan politik Malaysia. Ketika ini, ekonomi, kesihatan awam dan politik, umpama penyakit tiga serangkai di Malaysia. Penulis percaya teknologi atau sistem kejuruteraan boleh menjadi penawar penyakit tersebut.... Klik di sini untuk terus membaca

SELESAI sudah cerita pergelutan politik Malaysia. Ketika ini, ekonomi, kesihatan awam dan politik, umpama penyakit tiga serangkai di Malaysia.

Penulis percaya teknologi atau sistem kejuruteraan boleh menjadi penawar penyakit tersebut.

Namun, biarlah rakyat mengerti perbezaan kuasa ekonomi dan politik.

Ia seperti ganjaran dan hukuman (reward and punishment), perdagangan dan pencurian (trade and theft), pengeluaran dan penjarahan (production and plunder) serta penciptaan dan kehancuran (creation and destruction).

Cuba kita lihat suasana ekonomi Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, China dan negara-negara maju di Eropah Barat yang tidak terjejas walaupun suasana politik kacau-bilau.

Inilah perbezaan ‘negara maju’ dengan ‘negara membangun’. Negara membangun kurang memperkasakan teknologi ciptaan tempatan.

Kekurangan kuasa perindustrian bermakna pendapatan per kapita menjadi rendah. Pendapatan per kapita adalah ukuran jumlah wang diperoleh setiap orang yang menunjukkan purata pendapatan seseorang dalam sesebuah negara bagi menilai taraf dan kualiti hidup mereka.

Persoalannya, adakah Malaysia negara maju atau sedang membangun? Penulis percaya Malaysia perlukan empat faktor iaitu sumber manusia, modal fizikal, sumber semula jadi dan teknologi untuk menjadi gergasi ekonomi.

ALLAH SWT telah memberi petunjuk tentang faktor ini dalam surah An-Naas ayat [114:1-6] bermaksud:

"Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia, raja manusia, sembahan manusia, daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia daripada (golongan) jin dan manusia.”

Justeru, penulis mencadangkan industri syarikat multinasional (MNC) segera membangunkan produk, perkhidmatan baharu dan meningkatkan operasi sesuai Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan pusat kemahiran di Malaysia juga mesti segera menawarkan program berkemahiran tinggi dan profesional serta bidang yang berorientasikan IR 4.0.

Kejuruteraan masa depan

Bidang Kecerdasan Buatan atau Artifical Intelligence (AI), Sistem Pengeluaran Termaju atau Advanced Manufacturing Systems (AMS), Internet of Things (IOT), Keselamatan Siber atau Cyber Security (CS), Penganalisaan Data Raya atau Big Data Analytics (BDA), Penyantunan Sistem atau System Integration (SI), Peningkatan Realiti dan Simulasi atau Augmented Reality and Simulation (AR&S), Pengkomputeran Awan atau Cloud Computing (CC), Perisian Aplikasi dan Platform Pengkomputeran atau Application Software and Computing Platforms (AS&CP) serta bidang kejuruteraan teknologi tinggi dan kejuruteraan masa depan, mesti diutamakan.

Penulis juga mencadangkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya menjual semua saham yang dimiliki dalam mana-mana syarikat dan melepaskan jawatan disandang dalam syarikat tertentu.

Ini bagi memastikan mereka tiada kepentingan.

Ahli politik juga tidak perlu dilantik dalam organisasi atau industri atau proxy yang boleh mempengaruhi keputusan termasuk syarikat berkaitan kerajaan atau government linked company (GLC).

Penulis juga mencadangkan kontrak rundingan terus atau ‘direct-negotiation’ dalam tender kerajaan, dihapuskan.

Penulis juga mencadangkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) atau New Economic Policy (NEP) diperbaharui menjadi DEB 4.0 (2022-2042) dengan memasukkan perancangan Pelan Induk Industri Keempat atau Fourth Industrial Master Plan (IMP4) untuk 15 tahun mendatang (2021-2037) dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang mengambil kira sembilan faktor pembangunan IR 4.0 dan 17 ciri-ciri Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang terkandung Amalan Norma Baharu atau New Norm Practice (NNP) dan Model Kerja Hibrid atau Hybrid Work Model (HWM).

Semua perkara itu perlu dipertimbangkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi menjadikan ekonomi sebagai suatu entiti yang tidak akan diganggu-gugat situasi dalaman negara. Pakar profesional industri dan akademik bidang berkaitan perlu dilibatkan dalam PPN.

Penulis juga berharap perbahasan Dewan Rakyat dan Dewan Negeri juga perlu bersandarkan data dan penganalisaan berfakta supaya penyelesaian dilaksanakan tepat serta cepat.

Kebelakangan ini, rakyat melihat persidangan Dewan Rakyat yang sangat memualkan dan tidak mencerminkan budaya ketimuran.

Rakyat jadi terkeliru apabila Ahli Yang Berhormat (YB) berbahas seperti seorang samseng jalanan.

Sebagai kesimpulannya, penulis mencadangkan kerajaan meneliti semua cadangan yang dilontarkan dalam tulisan ini supaya suasana politik tidak mencengkam atau mempengaruhi perkembangan ekonomi.

Rakyat tidak lagi boleh diperkotak-katikkan dengan momokan politik boleh menjahanamkan negara.

Rasanya rakyat sudah mual dengan pergolakan yang baru sahaja berlalu.

Cukuplah dengan kecelaruan yang menjijikkan.

Berilah peluang kepada rakyat menikmati perjalanan membina negara secara aman dan damai.

* Profesor Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca