FENOMENA kepala air Gunung Jerai yang mengorbankan enam penduduk di Yan, Kedah baru-baru ini telah mengejut seluruh negara kerana inilah kali pertama kejadian umpama tsunami kecil itu berlaku di situ. Ia bukan banjir lumpur yang... Klik di sini untuk terus membaca

FENOMENA kepala air Gunung Jerai yang mengorbankan enam penduduk di Yan, Kedah baru-baru ini telah mengejut seluruh negara kerana inilah kali pertama kejadian umpama tsunami kecil itu berlaku di situ.

Ia bukan banjir lumpur yang biasa-biasa.

Tragedi itu dikatakan berpunca daripada hujan lebat luar biasa, namun berapa ramai yang peduli mengenai cuaca ekstrem itu yang mungkin merupakan salah satu petanda perubahan iklim.

Fenomena perubahan iklim sememangnya telah melanda kita: banjir besar di Eropah dan China, kebakaran hutan di Amerika Utara dan Mediterranean serta Taufan Amphan iaitu taufan kategori 5 yang tidak pernah terjadi di Bangladesh dan India pada Mei lalui adalah contoh bagaimana bencana iklim mempengaruhi bumi.

Terbaharu, hujan di puncak tertinggi litupan ais di Greenland direkodkan buat kali pertama minggu lalu sekali gus mencetuskan kebimbangan lapisan ais akan cair dengan lebih cepat.

Buat masa ini sahaja, kesan cairan ais dari Greenland – lapisan ais kedua terbesar dunia selepas Antartika – telah menyumbang sekurang-kurangnya 15 peratus kenaikan paras air laut global dalam tempoh tiga dekad lalu.

Menurut rangkaian televisyen NBC News, kecairan berterusan ais di Greenland itu dikhuatiri boleh menenggelamkan bandar-bandar pesisir pantai seperti Mumbai, New York dan Amsterdam.

Cuaca yang melampau turut menjadikan Malaysia berisiko mengalami banjir, kemarau dan kebakaran hutan.

Dalam dua dekad yang lalu, Malaysia dilaporkan telah mengalami lebih 50 bencana alam yang menjejaskan kehidupan lebih tiga juta penduduk.

Menurut Bank Negara, antara tahun 1998 hingga 2018, ekonomi Malaysia telah menanggung kerugian kira-kira RM8 bilion akibat bencana ini.

Ada banyak sebab mengapa iklim berubah sehingga menyebabkan fenomena pemanasan global yang kemudian membawa kepada bencana alam.

Punca utama ialah pelepasan gas karbon dioksida daripada kenderaan bermotor khususnya yang menggunakan petrol dan diesel sebagai bahan bakar.

Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat mendedahkan pelepasan gas karbon dioksida dan metana ke atmosfera terus meningkat pada tahun 2020 dengan karbon dioksida mencecah tahap tertinggi dalam tempoh 3.6 juta tahun.

Pelepasan gas tersebut nampaknya tidak berkurang walaupun aktiviti manusia menurun disebabkan pandemik Covid-19.

Selain itu, tapak pembuangan sampah mengandungi banyak gas metana susulan proses pembusukan sampah.

Bahan penyejuk dalam peti sejuk dan penyaman udara pula dikatakan memusnahkan lapisan ozon lebih teruk daripada karbon dioksida.

Faktor lain ialah pertanian dan penternakan. Apabila lembu makan rumput, ia akan melepaskan gas metana semasa proses penghadaman. Berita buruknya, terdapat lebih 1.2 bilion lembu diternak di seluruh dunia, semuanya memburukkan lagi masalah pemanasan global dan perubahan iklim.

April lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan kesan perubahan iklim sudah berlaku di Malaysia kerana berdasarkan analisis, secara purata suhu di Semenanjung Malaysia telah meningkat kira-kira 2.4 darjah Celcius dalam tempoh 100 tahun.

Di Sabah pula meningkat sebanyak 1.8 darjah Celsius manakala Sarawak 1.3 darjah Celsius.

Cameron Highlands yang pernah mencatat suhu terendah di Malaysia iaitu serendah 7.8 darjah Celsius pada tahun 1978, sekadar mencatat suhu 17 darjah Celsius ketika negara dilanda cuaca sejuk akibat musim Monsun Timur Laut, Januari lalu.

Namun sekali lagi, siapa peduli tentang perubahan suhu sejuk melainkan jika bencana seperti kepala air Gunung Jerai menimpa mereka.

Hakikatnya, kita perlu bekerjasama untuk mengurangkan kerosakan akibat perubahan iklim kerana kita adalah pengguna kenderaan, penyaman udara dan haiwan ternakan selain membuang sampah pada setiap hari.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca