SHAH ALAM - Pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan pemantauan dan penangkapan terhadap rakyat tempatan terutamanya pemandu e-hailing yang bersekongkol dengan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI). Pegawai Pemerintah Batalion 4... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pihak berkuasa kini sedang giat menjalankan pemantauan dan penangkapan terhadap rakyat tempatan terutamanya pemandu e-hailing yang bersekongkol dengan sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, upah yang tinggi bergantung kepada jarak penghantaran, mendorong pemandu e-hailing rakyat tempatan menjadi tali barut kepada sindiket membawa masuk dan keluar PATI ke lokasi ditetapkan.

Rizal

Katanya, selain berperanan sebagai pemandu e-hailing yang membawa PATI, terdapat rakyat tempatan yang ditahan kerana melindungi serta bertindak seperti ejen mengendalikan urusan keluar masuk PATI.

"Sejak tahun 2019 hingga 13 Ogos tahun ini, seramai 24 warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan.

"Daripada jumlah itu, pada tahun 2019 ada 14 orang ditahan, tahun berikutnya pula lima orang dan tahun ini sehingga 13 Ogos ada tujuh orang termasuk seorang wanita,” katanya kepada kru Rasuah Busters.Tambahnya, soal siasat yang dijalankan memang ada antara warga tempatan yang mengaku terlibat sebagai pemandu e-hailing dengan membawa PATI.

"Tahun ini sahaja, kesemua warga tempatan yang ditahan berperanan sebagai pemandu e-hailing yang membawa PATI. Tapi mereka dakwa itu pertama kali melakukannya.

"Tapi risikan kita percaya ini bukan sekali, saya percaya lebih. Mereka yang ditahan ini akan diambil tindakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” ujarnya.

Antara PATI yang ditahan Batalion 4 PGA di Selangor baru-baru ini.

Rizal berkata, kesempitan hidup adalah alasan popular diberikan oleh rakyat tempatan yang terjebak melakukan pekerjaan haram itu.

"Selain itu, ramai yang sanggup bersekongkol adalah kerana upah yang lumayan serta tempoh masa kerja singkat.

"Pemandu ini akan diupah RM100 hingga RM200 bagi seorang PATI yang dibawanya bergantung kepada jarak dan lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, dedah Rizal, sejak tahun 2019, pihaknya sudah berjaya menumpaskan lapan sindiket PATI.

"Pada tahun 2019, satu sindiket berjaya ditumpaskan iaitu sindiket Along. Pada tahun berikutnya, ada lima sindiket masuk jerat polis iaitu sindiket Uman, sindiket Salleh/Rama, sindiket Unus Botak/Ichan, sindiket Ricky, sindiket Herry.

"Pada tahun ini setakat Ogos, dua sindiket tumpas iaitu sindiket Pami serta sindiket Myanmar Bertam,” katanya.

Tambahnya, sindiket terbabit mengupah dan membayar warga tempatan untuk menjalankan peranan masing-masing.

Menurutnya, Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyat perlu menjaganya daripada diceroboh orang luar.


Maritim tumpaskan dua sindiket ‘top’ Yong Sehan dan Salleh

SHAH ALAM - Dua sindiket yang aktif terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, sindiket Yong Sehan dan Salleh cukup popular dalam kalangan sindiket PATI di Indonesia ditumpaskan menerusi siri serbuan dengan kerjasama pihak berkuasa republik itu.

"Siasatan kita percaya PATI yang datang masuk ke Malaysia adalah datang dari Pulau Rupat dan Tanjung Balai, Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya dua sindiket itu mempunyai rangkaian dengan sindiket tempatan dan bersekongkol dengan warga tempatan.

Maritim giat menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah penyeludupan PATI.

Ditanya mengapa kegiatan penyeludupan PATI masih berlaku walaupun penguatkuasaan dilaksanakan, beliau menjelaskan, ia disebabkan permintaan yang masih ada walaupun pihak berkuasa giat menjalankan operasi.

"Terdapat permintaan tinggi ke atas PATI untuk masuk dan keluar Malaysia selain aktiviti penyeludupan yang lebih senang dengan penglibatan warga tempatan.

"Operasi yang giat dijalankan oleh pihak berkuasa terus menghasilkan beberapa siri tangkapan namun sindiket akan terus mencari individu yang sanggup bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, Malaysia merupakan negara transit pergerakan warga asing dan ia mendorong sindiket untuk terus bergiat aktif bagi mencari pendapatan hasil daripada kegiatan penyeludupan PATI.

Tegas beliau, pihaknya tetap akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah itu.

"Tindakan akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca