DALAM mengemudi sesebuah organisasi, kepimpinan dan kepengikutan mempunyai hubungan dinamik yang saling lengkap-melengkapi.
Bila kita menyelusuri sejarah hidup pemimpin ulung dunia, kita akan dapati mereka dikelilingi oleh sekelompok pengikut yang setia mendokong aspirasi.
Pemimpin dan pengikut ibarat cermin yang menjadi permukaan pantulan atau refleksi, saling bergantungan antara satu sama lain.
Daripada kalangan pengikut setia itu, muncullah pemimpin baharu yang bakal mewarisi legasi dan kegemilangan organisasi tersebut.
Warren Bennis, seorang profesor pengurusan perniagaan yang tersohor pernah mengatakan:
"Semakin mendalam saya mengkaji tentang pemimpin yang berkesan, semakin saya meyakini betapa kita tidak menghargai peranan penting kepengikutan yang berkesan selama ini."
Keberkesanan seorang pemimpin perlu diukur daripada keupayaannya mendidik, melatih dan menghasilkan pengikut yang juga berkesan.
Itu mungkin satu naratif klise yang sudah kerap didengari.
Namun sesungguhnya, peranan yang dimainkan kelompok pengikut yang berkesan pula sangatlah penting dan kritikal untuk mewarnai corak kepimpinan yang akan dipamerkan oleh seseorang pemimpin.
Apabila pengikut mampu dan berani menyampaikan teguran membina serta muhasabah kepada pemimpin mereka, di situlah wujudnya proses timbang-tara dan semak–imbang yang akan memandu arah kepimpinan kepada kesejahteraan.
Keseimbangan antara pemimpin yang membuka ruang luas untuk dimuhasabah dan ditegur kesilapannya dengan wujudnya golongan pengikut yang berani menegur kesalahan pemimpin mereka dengan penuh hikmah dan bijaksana adalah resepi kejayaan sesuatu kelompok manusia dan organisasinya.
Konsep syura yang meluas, ukhuwah yang mantap dan disiplin tinggi mengikat para pemimpin dengan kumpulan pengikutnya ibarat aur dengan tebing – saling memperkuat dan memperkukuh antara satu sama lain.
Pemimpin lurus
Sejarah telah menyaksikan betapa hebatnya dinamik kepimpinan dan kepengikutan yang ditonjolkan oleh para khulafaur rasyidin yang menerima didikan dan bimbingan terus Nabi Muhammad SAW.
Semasa ucapan sulung beliau ketika dilantik sebagai khalifah pertama, Saidina Abu Bakar RA menegaskan:
"Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih sebagai pemimpin kamu, padahal aku bukanlah orang terbaik antara kamu. Jika aku berbuat baik, maka sokonglah aku. Jika aku salah, maka luruskanlah aku.
Benar adalah amanat dan bohong adalah khianat.
Orang lemah di antara kamu adalah orang kuat di sisiku sehingga aku mengembalikan haknya kepadanya, insya-ALLAH. Orang kuat di antara kamu adalah orang lemah di sisiku, sehingga aku mengambil hak untuk yang lemah daripadanya, insya-ALLAH."
Saidina Abu Bakar RA menggalas amanah kepimpinan dengan penuh rasa tawaduk dan merendah diri.
Beliau juga meminta pengikutnya sentiasa memerhatikan tingkah laku dan perbuatannya. Beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab utama pengikut adalah memastikan pemimpin sentiasa berada di atas jalan yang lurus dan benar.
Selanjutnya, keadilan sosial adalah agenda utama kepimpinan beliau – yang lemah sentiasa terbela dan yang kuat tidak dibiarkan menindas serta menzalimi golongan lemah.
Pernah terjadi seorang lelaki memperingatkan khalifah kedua, Saidina Umar al Khattab RA dengan katanya:
"Bertaqwalah kepada ALLAH, hai Umar!’ Salah seorang yang hadir dalam majlis tersebut membantah: "Berani kamu berkata demikian kepada Amirul Mukminin!"
Namun Saidina Umar RA menjawab dengan titipan yang sangat berharga:
"Tiada kebaikan bagi kamu (sebagai pengikut) jika kamu tidak menyatakan pesananmu dan tiada kebaikan bagi kami (sebagai pemimpin) jika kami enggan mendengar pesanan itu."
Kesimpulannya, setiap masyarakat sama ada pemimpin atau pengikut harus melaksanakan tanggungjawab serta amanah bagi memastikan setiap pihak berada di atas landasan yang benar demi untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Jelaslah, betapa kepengikutan mestilah diperkasa untuk melibatkan diri secara proaktif dalam menentukan hala tuju organisasi.
*Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengarah dan Pengasas AKADEMI DR HAR
Klik di sini untuk terus membaca