SHAH ALAM - Rakyat mahu pembangkang menjadi lebih progresif dan bertanggungjawab agar usaha memulihkan semula negara dapat digalas secara bersama.
Mahasiswa daripada Universiti Malaya (UM), Seow Han Lin, 22, mengharapkan pemimpin parti pembangkang dapat membawa suara dan denyut nadi rakyat kepada pihak kerajaan selain bersama-sama merealisasikan konsep ‘Keluarga Malaysia’.
"Harapan saya agar mereka dapat mengemukakan segala pelan perancangan yang akan membawa keuntungan kepada rakyat jelata.
"Pembangkang juga wajar diberikan peluang untuk membincangkan segala pelaksanaan perancangan kerajaan sebelum ia dilaksanakan. Untuk itu pembangkang perlu menjadi progresif dan bertanggungjawab demi negara dan rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuannya dengan pemimpin pembangkang telah mencapai persetujuan bersama untuk memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
Antara perkara yang dipersetujui ialah kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.
Persetujuan berkenaan dicapai pada pertemuan lebih satu jam di antara beliau dengan pimpinan pembangkang itu susulan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.
Bagi pekerja swasta, Teoh Yee Shen, 30, kedua-dua pihak perlu menghentikan aktiviti ‘politiking’ dan tidak memberi janji kosong kepada rakyat.
"Harapan saya, agar kerjasama antara parti kerajaan dan pembangkang akan menjadi kenyataan,” katanya.
Dalam pada itu, mahasiswa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Loo Khai Ming, 21, mengalu-alukan penglibatan pembangkang dalam agenda negara dan diharap mengikut semangat demokrasi dan rangka demokrasi berparlimen.
"Kami harus berhati-hati dengan kompromi antara kerajaan dan pembangkang yang tidak memberi sebarang kebaikan kepada rakyat. Ini akan menghakis institusi demokrasi negara kita sahaja," katanya.
Pekerja swasta, Intan Nor Sazwani Che Ahmad, 26, berpendapat penglibatan pihak pembangkang harus dilihat dari sudut positif untuk merealisasikan satu tujuan iaitu demi kepentingan rakyat.
"Dalam sesuatu pentadbiran perlu ada semak dan imbang dan ini boleh diperoleh melalui pandangan dari beberapa pihak termasuk pembangkang.
"Dengan cara itu akan lebih mudah sesuatu tujuan dapat di bentuk berdasarkan pandangan yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Negara Kepong, Pratap Ravichandran, 24, berkata, kesemua parti politik perlu mengetepikan perbezaan agenda dan ideologi politik masing-masing dan menjaga kepentingan rakyat.
"Dalam memastikan agenda kepentingan rakyat terpelihara, kedua-dua pihak wajarlah menerima pandangan semua pihak selaras dengan keperluan rakyat ketika ini dan pada masa yang akan datang.
"Di sini, saya mengharapkan agar semua pihak membuat yang terbaik, terutama dalam usaha membendung pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca