TEKA -teki mengenai senarai pelantikan barisan kabinet baharu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak seminggu lalu, akhirnya terjawab. Tepat pada jam 11 pagi, beliau mengumumkan senarai nama... Klik di sini untuk terus membaca

TEKA -teki mengenai senarai pelantikan barisan kabinet baharu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak seminggu lalu, akhirnya terjawab.

Tepat pada jam 11 pagi, beliau mengumumkan senarai nama keseluruhan 69 orang menteri dan timbalan menteri kabinet baharu kerajaan pimpinannya, melalui siaran langsung di media rasmi kerajaan.

Sebelum tibanya hari yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia itu, pelbagai spekulasi bertiup kencang dengan kabinet baharu Ismail Sabri dijangka akan lebih kecil, dipenuhi dengan muka baharu bahkan ada yang berpendapat ahli-ahli Parlimen pembangkang akan turut dilibatkan sama sebagai simbolik semangat Keluarga Malaysia yang cuba diterapkan beliau.

Masih dibayangi kabinet Muhyiddin

Bagaimanapun, sangkaan tersebut meleset apabila hanya spekulasi jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dikosongkan sahaja, dilihat menepati ramalan.

Secara mudahnya, barisan kabinet kerajaan Malaysia yang baharu ini sebenarnya masih dibayangi pemimpin dan saiz kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan jumlah ahli jemaah kabinet kekal 31 orang (tidak termasuk jawatan Perdana Menteri), pelbagai tanda-tanya timbul sama ada kerajaan ini benar-benar mampu memenuhi keperluan Ismail Sabri dan rakyat dalam mendepani dua krisis utama iaitu Covid-19 dan ekonomi.

Hal ini disebabkan Ismail Sabri masih lagi mengekalkan saiz kabinet yang sama dengan kerajaan PN, meskipun kerajaan terdahulu itu dikritik hebat rakyat kerana dilihat gagal berfungsi dengan cemerlang meskipun bersaiz besar.

Lebih mengejutkan, Ismail Sabri turut dilihat tidak begitu memberi nafas baru kepada barisan menteri dan timbalan menteri baharunya.

Perkara ini dapat dilihat apabila Perdana Menteri hanya mengetengahkan lima muka baharu manakala empat muka baharu ditampilkan dalam senarai timbalan menteri.

Muka lama, muka baharu

Bagaimanapun, terdapat penganalisis politik berpandangan strategi Ismail Sabri mengekalkan hampir keseluruhan muka lama kerana beliau mahu memastikan kerajaannya tidak diganggu gugat oleh parti komponen yang tidak berpuashati jika terlalu banyak perubahan dibuat dan yang kedua beliau mungkin tidak mahu menjejaskan usaha yang dirintis oleh pasukan dahulu dalam menangani krisis Covid-19.

Antara muka baharu yang sebelum ini tiada dalam kabinet Muhyiddin ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Ketiga-tiganya daripada UMNO.

Shahidan Kassim

Tidak ketinggalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad daripada Pas.

Idris Ahmad, Ahmad Faizal

Daripada senarai itu, ketiga-tiga menteri baharu daripada UMNO berkenaan sebenarnya membuat penampilan semula sebagai anggota kabinet, setelah kali terakhir mereka memegang jawatan menteri adalah sewaktu pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Mengenai barisan lantikan timbalan-timbalan menteri baharu pula, empat muka baharu yang dilantik Ismail Sabri adalah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin daripada UMNO, Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa daripada Bersatu serta Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada Pas.

Berdasarkan pemerhatian, pelantikan Shahidan yang lantang mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah dijangka kerana beliau merupakan antara 'mastermind' dalam mengumpul surat akuan bersumpah (SD) bagi membolehkan Ismail Sabri diangkat sebagai Perdana Menteri baharu.

Pelantikan Noh dan Mahdzir ke dalam kabinet baharu kerajaan pula difahamkan atas faktor merit apabila Mahdzir ketika ini merupakan Naib Presiden UMNO, manakala pengalaman pemimpin lama seperti Noh diperlukan demi mengukuhkan kedudukan parti itu dalam kerajaan baharu.

Noh Omar

Bagi pelantikan Idris, ia sudah dapat dijangka kerana Pas sepatutnya memperolehi jawatan Menteri Hal Ehwal Agama).

Untuk senarai muka baharu Timbalan Menteri pula, Ketua Dewan Ulama Pas, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh diberi laluan parti itu bagi menggalas jawatan yang ditinggalkan bekas penyandangnya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Shamsul, Pak Wan, Zulkifli gugur

Antara perkara menarik yang boleh dilihat daripada senarai pelantikan baharu kabinet Ismail Sabri adalah tiga menteri daripada UMNO dan Bersatu digugurkan, manakala sejumlah tiga timbalan menteri daripada kabinet Muhyiddin menerima nasib yang sama.

Shamsul Anuar

Nama-nama besar yang digugurkan adalah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah iaitu menteri yang pertama meletakkan jawatan dalam kabinet Muhyiddin yang kemudiannya membawa kepada kejatuhannya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Mohd Redzuan


Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Turut tidak tersenarai dalam kabinet Ismail sabri ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini memegang jawatanb Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komiditi.

Shamsul Anuar dianggap ahli Parlimen yang pro kepada kem Ahmad Zahid Hamidi dan memainkan peranan penting untuk menjatuhkan kerajaan PN sebelum ini.

Perkembangan terbaharu ini juga mencetuskan spekulasi bahawa senarai barisan menteri dan timbalan menteri UMNO itu ada kaitan dengan sentimen kem Ismail Sabri dan kem Ahmad Zahid.

Desas-desus itu diperkuatkan lagi dengan tercicirnya nama seorang lagi ahli Parlimen UMNO yang lantang mengkritik kerajaan PN iaitu, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk dilantik sebagai menteri Kabinet.

Hal ini kerana Ahli Parlimen Pengerang itu sebelum ini disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) setelah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Selain itu, daripada keseluruhan 15 ahli Parlimen UMNO yang bersama Ahmad Zahid menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini, hanya Noh dan Datuk Seri Noraini Ahmad sahaja yang dipilih dalam barisan kabinet baharu.

Sesuatu yang baik ialah tiada wakil rakyat daripada apa yang disebut sebagai 'Kluster Mahkamah' yang membarisi kabinet Ismail Sabri.

Mengenai nasib Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Pak Wan, Ahli Parlimen Alor Gajah itu pastinya tidak menyangka beliau digugurkan daripada senarai kabinet meskipun nama beliau pada awalnya disebut-sebut sebagai calon Timbalan Perdana Menteri daripada Bersatu.

Menteri cemerlang

Di sebalik keputusan 'selamat' dilakukan Ismail Sabri bagi mengekalkan sebahagian besar muka lama, Ahli Parlimen Bera itu wajar dipuji kerana memberi portfolio yang tepat dan sesuai kepada menteri-menteri yang cemerlang sewaktu kerajaan PN.

Antara mereka ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang sebelum ini menggalas jawatan Menteri Kanan Luar Negeri; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (sebelum ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan) serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Secara keseluruhannya, Ismail Sabri terus mengekalkan struktur kabinet sebagaimana kerajaan PN apabila empat jawatan menteri kanan dikekalkan iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerja Raya dan Menteri Kanan Pendidikan.

Daripada empat jawatan penting ini, hanya Hishammuddin sahaja muka baharu menggantikan Ismail Sabri sendiri bagi jawatan Menteri Kanan Pertahanan, manakala penyandang jawatan lain seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Kanan MITI); Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kanan Kerja Raya) dan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Jidin terus mengekalkan portfolio masing-masing.

Pada masa yang sama, tiada perubahan berlaku pada jawatan Menteri Kewangan apabila Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terus diberi kepercayaan menggalas tugas berkenaan, meskipun terdapat spekulasi awal mengatakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan dipertimbangkan bagi jawatan itu.

Geng Azmin semua 'lekat'

Satu lagi perkara menarik yang dapat dirungkai daripada senarai barisan kabinet baharu ini adalah keputusan mengekalkan kesemua bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyokong Mohamed Azmin dalam kabinet kerajaan baharu.

Meskipun terdapat beberapa menteri yang ditukarkan portfolio kementerian seperti Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang berpindah ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah yang kini dilantik sebagai Menteri Luar Negeri.

Persoalan kini timbul terhadap keperluan sejumlah 10 ahli Parlimen bersama Mohamed Azmin, terus kekal dalam senarai menteri dan timbalan menteri kerajaan baharu.

Hal ini kerana ramai pemerhati politik berpandangan terdapat sebilangan daripada kumpulan pro Mohamed Azmin itu tidak menunjukkan prestasi memuaskan, bahkan ada yang hilang dari radar rakyat.

Tanda-tanya sama turut ditujukan terhadap beberapa menteri yang berdepan kontroversi sebelum ini, namun masih dikekalkan Ismail Sabri seperti Datuk Seri Rina Harun (kini Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat); Dr Adham Baba (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang kini memegang portfolio Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Di sebalik segala persoalan dan tanda-tanya terhadap komposisi kabinet baharu ini, rakyat Malaysia berharap kabinet Keluarga Malaysia itu dapat berfungsi secara efisien dan segera membawa negara keluar daripada kemelut krisis Covid-19 dan ekonomi yang berpanjang.

Klik di sini untuk terus membaca