JADI semua kini dah tahu tiada Timbalan Perdana Menteri, tiada muka baru yang benar-benar mengujakan dan tiada pengecilan pasukan jemaah menteri kerajaan Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Walaupun tidak kurang yang agak kecewa dengan... Klik di sini untuk terus membaca

JADI semua kini dah tahu tiada Timbalan Perdana Menteri, tiada muka baru yang benar-benar mengujakan dan tiada pengecilan pasukan jemaah menteri kerajaan Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Walaupun tidak kurang yang agak kecewa dengan pengumuman barisan kabinet kerajaan baru ini dengan alasan ia masih mengekalkan sebahagian besar muka lama tetapi marilah kita semua bersangka baik bahawa adanya sebab yang munasabah mengapa ini semua berlaku, malah sesuatu yang harus dipuji ialah kesediaan Perdana Menteri meletakkan paras kayu ukur (KPI) untuk kabinetnya menentukan tahap prestasi mereka.

Setidak-tidaknya beliau menunjukkan kesungguhan untuk melihat perubahan dari segi kerja.

Beliau memberikan tempoh 100 hari untuk setiap menteri melakukan perubahan ke arah kerajaan yang (1) lebih peka, (2) bertanggungjawab dan amanah dan (3) kembali meyakinkan rakyat.

Perdana Menteri juga memberi aku janji yang beliau akan memastikan barisan kabinet ini mampu menjayakan agenda negara.

Seratus hari lebih kurang tiga bulan dari sekarang. Ini bermakna setiap menteri dan timbalan mereka tidak ada masa untuk honeymoon atau mahu mengambil masa yang terlalu lama mempelajari selok-belok kementerian terlebih dahulu.

Lebih-lebih lagi menteri yang tidak bertukar portfolio boleh terus masuk bekerja Isnin ini selepas mengangkat sumpah jawatan dan merangka formula untuk mencapai tiga objektif asas yang digariskan oleh Perdana Menteri.

Untuk berlaku adil, menteri baharu bolehlah diberi sedikit masa untuk memahami perjalanan kementerian masing-masing dan mendengar taklimat daripada Ketua Setiausaha, Setiausaha-Setiausaha Bahagian dan Pengerusi agensi sebelum merangka formula baharu.

Seperkara yang kita semua harus sedia maklum ialah akan kekangan yang berada di hadapan Perdana Menteri khususnya mengapa beliau perlu mengekalkan sebahagian besar muka lama.

Tetapi pada masa yang sama, ramai yang bertanya dan inginkan penjelasan mengapa tiga muka lama dikembalikan sebagai anggota kabinet.

Mereka ialah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Wilayah Persekutuan), Tan Sri Noh Omar (Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Pembangunan Luar Bandar).

Adakah kerana mereka tokoh berprestasi tinggi atau kerana sebab lain. Buat masa ini, jawapan yang diberikan Perdana Menteri ialah barisan kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman dan diyakini boleh membantu negara memulihkan ekonomi.

Untuk itu katanya, kabinet ini perlu berorientasikan hasil berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu - peka dengan keperluan semasa; bertanggungjawab dan amanah; mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Pendek kata, menjadi tanggungjawab pak-pak menteri inilah untuk meyakinkan rakyat yang mereka adalah pilihan yang tepat.

Bagi mereka yang sebelum ini tidak menunjukkan prestasi yang begitu memberangsangkan tetapi dikekalkan kerana keperluan untuk berada di dalam jemaah atas sebab mewakili parti di dalam kerajaan, inilah masanya untuk menebus kekecewaan rakyat sebelum ini menerusi ‘talian hayat’ yang kedua.

Mungkin sebelum ini mereka ditempatkan di kementerian atau portfolio yang tidak sesuai dengan selera atau keupayaan mereka maka sekaranglah masanya untuk kembali dengan semangat baharu dan tanggungjawab baharu.

Yang tidak bertukar porftolio, rakyat ingin melihat komitmen yang lebih tinggi malah mahukan sesuatu yang baharu atau jalan keluar kepada kemelut yang sedang dihadapi sekarang.

Jika kali ini pun mereka gagal, mereka tahu apa yang menanti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketika itu kerja mereka akan dihisab dan dibuat perhitungan. Kali ini rakyat sendiri yang akan buat keputusan, bukan Perdana Menteri, bukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tidak lama pun, pejam celik, pejam celik tak sampai setahun dari sekarang.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang dan Ketua Pegawai Pengisian Kumpulan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca