KELAWAR menjadi tumpuan dunia apabila satu kajian mendapati haiwan itu kemungkinan menjadi pun tersebarnya virus Covid-19 kepada manusia. Sehingga kini virus korona telah menjangkiti lebih 213 juta penduduk dunia dan lebih empat juta... Klik di sini untuk terus membaca

KELAWAR menjadi tumpuan dunia apabila satu kajian mendapati haiwan itu kemungkinan menjadi pun tersebarnya virus Covid-19 kepada manusia.

Sehingga kini virus korona telah menjangkiti lebih 213 juta penduduk dunia dan lebih empat juta manusia pula maut.

Di bandar raya Wuhan, China pula, sebuah pusat virologi yang mengkaji tentang pelbagai virus berkaitan kelawar turut menjadi tumpuan para saintis negara komunis itu.

Institut Virologi Wuhan itu yang melakukan penyelidikan terhadap kelawar sejak lebih sedekad lalu terletak kira-kira 40 minit pemanduan dari pasar basah Huanan iaitu tempat kluster pertama Covid-19 dikesan pada penghujung 2019.

Pada 26 Januari 2020, akhbar Washington Post di Amerika Syarikat (AS) memetik kenyataan bekas pegawai perisikan tentera Israel, Dany Shoham yang menyatakan virus Covid-19 kemungkinan bocor dari Institut Virologi Wuhan dan mungkin digunakan dalam program senjata biologi China.

Bagaimanapun, portal berita The Wall Street Journal pada 24 Ogos lalu memetik dua orang pegawai kanan AS sebagai berkata bahawa satu penilaian baharu oleh agensi perisikan AS tidak memperoleh kesimpulan muktamad sama ada virus korona itu menjangkiti manusia secara semula jadi atau melalui insiden kebocoran dari makmal di China.

Kesimpulan itu tidak dapat dibuat kerana negara komunis tersebut tidak memberikan maklumat seperti perkongsian rekod-rekod makmal dalam usaha AS bagi mencari punca bagaimana Covid-19 itu bermula sehingga merebak hampir ke seluruh dunia.

Pada 18 Ogos lalu, David L Robertson iaitu profesor di Pusat Untuk Penyelidikan Virus, Universiti Glasgow, Scotland memberitahu portal berita Global Times, China bahawa data-data yang diperolehnya menunjukkan Covid-19 disebabkan oleh virus semula jadi yang kemungkinan muncul daripada kelawar 'horseshoe' atau ladam kuda.

Institut Virologi Wuhan yang terletak di Wuhan, China menyimpan sejumlah kelawar dalam kurungan untuk kajian sains. - Foto AFP

Menurutnya, ia mungkin menjangkiti manusia yang mempunyai hubungan dengan haiwan perumah yang membawa virus Covid-19 di pasar di Wuhan.

Namun, kenapakah kelawar menjadi minat para saintis sehingga dijadikan subjek kajian utama?

Satu artikel dalam portal Ars Technica pada tahun 2019 menyatakan sebuah pasukan penyelidikan Ireland-Perancis yang melakukan satu kajian mendapati kelawar spesies Myotis brandtii boleh hidup lebih 40 tahun dan berat haiwan tersebut hanya tujuh gram.

Pada tahun 2005, para penyelidik di Siberia menangkap haiwan jantan itu daripada spesies yang sama yang telah ditandakan dengan nombor.

Haiwan itu didapati telah hidup kira-kira 41 tahun berdasarkan kepada nombor yang ditandai pada kelawar tersebut dan ia sesuatu yang mengagumkan para saintis kerana jangka hayatnya lebih panjang berbanding dengan saiz badan yang kecil.

Kelawar bukan hanya boleh hidup lama berbanding haiwan lain berdasarkan saiznya yang kecil tetapi ia juga cukup sihat dan boleh mengelakkan terkena jangkitan penyakit seperti Ebola.

Haiwan berkenaan turut menjadi bahan kajian di Universiti Kolej Dublin, Republik Ireland yang bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan Bretagne Vivante untuk mengkaji kehidupan kelawar di gereja-gereja luar bandar dan sekolah-sekolah di Brittany, barat Perancis.

Penuaan

Dalam kajian itu, seorang ahli genetik juga mendapati kelawar hidup lebih lama dan sihat, yang kemungkinan boleh memberi manfaat kepada manusia.

Kelawar juga berjaya memperlahankan proses penuaan, kata Ketua Zoologi, Universiti Kolej Dublin, Republik Ireland, Emma Teeling yang mana makmalnya mengkaji bagaimana haiwan tersebut boleh kekal sihat sehingga ke penghujung hayatnya.

Ketika umur semakin meningkat, sebahagian manusia menghidap penyakit sendi atau dikenali sebagai artritis tetapi haiwan tersebut tidak mengalami masalah tersebut dan persoalannya kenapa?

Justeru, kajian mendapati haiwan tersebut memperbaiki asid deoksiribonukleik (DNA) dan kelawar mampu untuk meninggi rendahkan tindak balas imun.

Sifat unik haiwan itu yang menyebabkan ia menjadi bahan kajian oleh saintis-saintis di Barat dan China.

Kelawar yang kadangkala digambarkan mempunyai reputasi buruk seperti dijadikan maskot Hari 'Hallowen' dan dikaitkan dalam filem-filem drakula di Barat sebenarnya mempunyai rahsia yang tersendiri yang masih lagi dikaji oleh para saintis demi manfaat kepada manusia. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca