DUA negara Asia majoriti Muslim telah mengalami perubahan kepimpinan politik (secara de facto jika bukan de jure) sejak artikel terakhir saya diterbitkan dua minggu lalu.
Perhatian dunia tertumpu kepada Afghanistan ketika pejuang Taliban memasuki ibu negara, Kabul tanpa tentangan setelah pengambilalihan kuasa yang berlaku dengan pantas di seluruh Afghanistan beberapa minggu sebelum itu.
Peristiwa ini memalukan pasukan tentera kerajaan di sebalik penilaian bahawa pihak tentera tidak akan mampu bertahan lama.
Tanpa mengambil kira pandangan anda terhadap dasar luar Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam kes ini, keputusan Presiden Joe Biden meneruskan dasar presiden terdahulu untuk meninggalkan Afghanistan sebelum ulang tahun ke-20 peristiwa 9/11, tiada sesiapa pun yang tidak akan terharu setelah melihat imej dan video yang menyentuh hati.
Dalam hal ini, suara yang paling penting dan boleh dipercayai adalah suara rakyat Afghanistan.
Jumlah rakyat Afghanistan yang cuba melarikan diri termasuklah berpaut pada sisi kapal terbang yang berlepas daripada lapangan terbang Kabul menyerlahkan tahap keterdesakan mereka. Selain daripada itu, terdapat juga pembunuhan berlaku seperti yang diceritakan oleh rakyat Afghanistan sendiri.
Malangnya, wacana hari ini yang diterajui media sosial pantas menyebabkan kita memilih untuk berpihak secara binari bergantung kepada pandangan geopolitik dan hubungan keagamaan: sama ada pro atau anti-AS, pro atau anti-China, pro atau anti-Islam, dan sebagainya.
Ramai yang menunjukkan rasa simpati dan solidariti adalah berdasarkan perpecahan sedia ada ini berbanding menilai situasi berdasarkan tindakan pelampau dan kesengsaraan yang dihadapi mangsa.
Maka, wujud keengganan dalam kalangan Muslim untuk mengecam kekejaman yang dilakukan oleh Muslim ke atas Muslim yang lain walaupun mereka dengan keras mengutuk jika bukan Muslim melakukan kekejaman yang sama.
Di kala beberapa orang ahli politik Malaysia memberikan pendapat berkenaan apa yang sedang berlaku di Afghanistan, terutamanya kekhuatiran mereka tentang layanan terhadap wanita atau tanggapan bahawa Taliban telah berubah, saya menggesa rakyat Malaysia untuk mendengar apa yang diperkatakan oleh Malala Yousafzai yang baru-baru ini telah membuat hantaran di blognya: "Dua minggu lalu, ketika tentera AS mengundurkan diri daripada Afghanistan dan Taliban memperoleh kawalan ke atas Afghanistan, saya terbaring di atas katil hospital di Boston, menjalani pembedahan keenam kerana doktor meneruskan usaha memperbaiki kerosakan yang dilakukan oleh Taliban ke atas tubuh badan saya.”
Pada hari ini, para gadis di Malaysia perlu menghadapi seksisme di sekolah seperti yang telah diketengahkan baru-baru ini oleh Ain Husniza Saiful Nizam namun, kita harus terus berusaha demi memastikan hak gadis Malaysia untuk mendapatkan pelajaran sentiasa tidak dinafikan.
Ketika ini, seluruh negara sudah mendapat menteri baharu, bahkan portfolio kabinet lain juga kerana Malaysia adalah sebuah lagi negara yang mempunyai seorang pemimpin politik baharu.
Hal ini berikutan tindakan Yang di-Pertuan Agong melantik seorang Perdana Menteri berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Suasana suram yang dizahirkan di media sosial dan kumpulan bual peribadi hanya mendapat kelegaan melalui gurauan yang mengatakan keberkesanan rakyat Malaysia, walaupun mengundi hanya sekali tetapi hasilnya mendapat tiga orang Perdana Menteri.
Warganet sedang meneliti penghuni baharu Perdana Putra untuk apa-apa sinar harapan. Ketika ini, keadaan menunjukkan tanda yang bercampur-campur.
Walaupun begitu, ketika artikel ini ditulis, satu kenyataan bersama yang bersejarah oleh Perdana Menteri dan pemimpin tiga parti pembangkang terbesar telah dikeluarkan susulan mesyuarat di antara keempat-empat mereka.
Kenyataan media itu menyebut, mereka mahu meredakan suhu politik, bekerjasama untuk menewaskan Covid-19, memperkasa Parlimen agar dapat memberikan semak dan imbang kepada Eksekutif, di samping bersetuju terhadap kebebasan badan Kehakiman, pembaharuan institusi dan tadbir urus baik supaya dapat memastikan persekitaran yang kondusif dalam konteks ‘Keluarga Malaysia’.
Kenyataan tersebut dimulakan dengan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana baginda mewakili rakyat jelata, telah bertitah agar ahli politik mengambil pendekatan tersebut.
Hampir dua dekad yang lalu, ketika masih bergelar seorang pelajar Sarjana Muda Politik dan Sosiologi, saya telah menulis sebuah esei membahaskan keadaan dan bentuk kerajaan masa depan Afghanistan setelah pencerobohan oleh AS.
Terdapat perbincangan yang meluas tentang loya jirga, dewan perhimpunan dalam tradisi Pashtun, yang diadakan ketika itu.
Saya berpendapat bahawa raja perlu dikembalikan sebagai raja berperlembagaan yang sebenarnya wujud sehingga tahun 1973.
Pada pandangan saya, ia merupakan institusi terbaik untuk menyaingi Taliban dalam aspek mempersonifikasi pihak berkuasa pribumi di samping memastikan pembaharuan demokrasi mengekalkan satu peranan saling melengkapi terhadap struktur kuasa tradisional.
Hal ini akan memberikan kestabilan politik serta satu tumpuan kebudayaan kebangsaan.
Di Malaysia, kombinasi raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen sudah mengikut acuan kita sendiri.
Ia merupakan satu ketetapan yang diambil daripada Perlembagaan Persekutuan dan akan terus berkembang selaras dengan kebijaksaan kolektif Raja-Raja Melayu, fungsi institusi semak dan imbang serta sudah tentu jatuh bangun ahli politik menurut penilaian rakyat Malaysia.
* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS
Klik di sini untuk terus membaca