PEJAM celik tanpa disedari, kita sudah hampir ke penghujung Ogos 2021. Bulan Ogos merupakan bulan mengenang kebebasan kita. Kata rakyat jelata, bulan merdeka. Dan pada 31 Ogos 2021 ini, kita akan menyambut kemerdekaan yang ke-64 tahun.... Klik di sini untuk terus membaca

PEJAM celik tanpa disedari, kita sudah hampir ke penghujung Ogos 2021.

Bulan Ogos merupakan bulan mengenang kebebasan kita. Kata rakyat jelata, bulan merdeka. Dan pada 31 Ogos 2021 ini, kita akan menyambut kemerdekaan yang ke-64 tahun.

Untuk orang lama, merdeka memberi seribu makna. Untuk orang muda pula merdeka mungkin sekadar mengenang sejarah.

Sejarah bagaimana kita dijajah bermula dari Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris semula.

Orang lama atau tua hidup di zaman penjajahan akan menceritakan detik-detik cemas yang mereka lalui ketika penjajahan Jepun. Mereka juga bercerita akan kekejaman komunis.

Kebiasaannya rancangan televisyen akan memaparkan cerita-cerita tentang perjuangan.

Saya perasan juga kebanyakan cerita hanya melibatkan perjuangan menentang komunis.

Tidak ada atau mungkin saya terlepas pandang akan cerita-cerita melibatkan penjajahan British atau Jepun.

Sepatutnya elok diperbanyak cerita akan penjajahan British dan Jepun. Kalau kita melihat sejarah, British menjajah kita beratus tahun juga.

Sepatutnya, cerita tentang British patut dipaparkan di televisyen mungkin juga boleh dibuat beratus-ratus episod.

Apabila mengenangkan tokoh pejuang kemerdekaan, biasanya kita akan dipaparkan dengan tokoh yang sudah biasa kita kenal.

Yang paling terkenal dan diketahui ramai ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman yang dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan.

Mungkin ramai tidak kenal tokoh lain yang tidak berapa terkenal dan tidak mempunyai gelaran bapa itu dan bapa ini.

Contohnya, antara yang dikatakan tokoh awal yang menyebut slogan kemerdekaan ialah Ahmad Boestaman.

Beliau juga merupakan pengarang yang berjuang dengan menulis di ruangan rencana pengarang akhbar Suara Rakyat.

Kata beliau, tujuan penerbitan akhbar itu adalah, "Suara Rakyat dan sesungguhnya ialah sebuah akhbar Melayu yang berkhidmat untuk melahirkan buah-buah fikiran atau kemusykilan orang ramai. Oleh itu dipersilakan orang ramai menggunakan dia dengan sepenuhnya. Supaya hal kemusykilan atau kemahuan orang ramai mendapat pertimbangan.” (Suara Rakyat, 26/9/1945).

Mesej utama beliau ialah menyeru seluruh rakyat bersatu dan menentang ketidakadilan yang berlaku dan menuntut sistem pemerintahan berlandaskan konsep demokrasi ke arah pemerintahan sendiri.

Malah dalam keluaran seterusnya, Suara Rakyat menyarankan British memberi kemerdekaan dengan segera kepada Malaysia bersama Indonesia.

Dalam ruangan Rencana Pengarang, Ahmad Boestaman sendiri meminta British memberi pilihan kepada rakyat Malaya hak untuk menentukan kerajaan sendiri.

Kata beliau dengan tegas, "Maka cara memerintah negeri atau membuat undang-undang menurut akan Suara Rakyat itulah yang dinamakan pemerintahan demokrasi.” (Suara Rakyat, 26/9/1945).

Bagi menjayakan saranan itu, Ahmad Boestaman mencadangkan kepada British, "Memadailah diberi kuasa kepada tiap-tiap sekumpulan daripada rakyat yang mengandungi 500 orang untuk menyampaikan kehendak-kehendaknya dalam dewan rakyat atau dewan orang ramai di mana kelak akan diputuskan apa-apa undang-undang yang hendak dibuat atau dibentuk.” (Suara Rakyat, 26/9/1945).

Ketajaman dan kritikan pedas beliau juga sebenarnya banyak menyinggung pihak British. Ini menyebabkan beliau sentiasa diawasi oleh penjajah British untuk memastikan pengaruhnya dikekang.

Namun atas dasar prinsip kebebasan akhbar menyelamatkan beliau daripada dikenakan tindakan. Namun begitu beliau disenaraihitamkan sebagai orang yang boleh membahayakan pihak British.

Selain penjajahan fikiran, kita juga dijajah dengan pandemik yang masih tidak tahu bila akan berakhir.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca