PERKEMBANGAN semasa selepas pelantikan Perdana Menteri (PM) kesembilan memperlihatkan satu sisi positif dalam politik tanah air.
Pertemuan PM dengan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) jelas memperlihatkan bahawa politik matang dan sejahtera itu boleh dilakukan.
Ternyata, apabila tahap persaingan menjadi agak runcing, aktor politik nampaknya masih boleh melihat aspek permuafakan sebagai jalan keluar.
Ini sekali gus membuka ruang kepada perluasan proses pendemokrasian.
Walaupun suatu ketika bagi memastikan wujudnya kestabilan politik, pemerintah cenderung ke arah autoritarian sebagaimana sering disifatkan ramai sarjana sebagai neither authoritarian nor democratic (tidak autoritarian dan tidak demokratik), elemen konsensus masih terus wujud dalam politik negara.
Konsensus itu penting bagi kewujudan sistem demokrasi itu sendiri.
Dilihat semua pihak sepakat bahawa dalam keadaan semasa, politiking berlebihan akan menjejaskan perjalanan politik negara dan merugikan semua.
Impak negatif Covid-19 terhadap kesejahteraan, kesihatan, ekonomi dan sosial jelas memerlukan semua pihak untuk bersederhana buat seketika. Ia lebih mendesak selepas 17 bulan gelora ketidaktentuan sebelumnya.
Antara angkubah penting yang mempengaruhi konsensus itu ialah faktor kepimpinan.
Personaliti dan gaya kepimpinan tertentu berkemungkinan boleh menggerakkan sistem politik kita ke arah yang demokratik ataupun sebaliknya.
Walaupun begitu ia masih dipengaruhi faktor-faktor lain. Antaranya faktor ekonomi, suasana semasa serta pengaruh luar jangka.
Umum mengetahui bahawa personaliti dan gaya kepimpinan Perdana Menteri sering mempengaruhi corak pemerintahan dan dasar utama negara.
Hal ini bergantung kepada berapa banyak perubahan dan perkara baharu yang bakal diperkenalkan di samping berapa lama seseorang PM itu berkhidmat.
Namun begitu, dalam konteks politik Malaysia, setiap kali PM baru dilantik, platform penyatuan kebangsaan akan diletakkan sebagai tawaran perdana.
Baik daripada gagasan Bangsa Malaysia, 1Malaysia, sehinggalah yang terkini Keluarga Malaysia.
Kesemua gagasan itu dilihat sebagai pakej membentuk penyatuan. Cuma manifestasinya mungkin berbeza mengikut keadaan dan suasana.
Perbezaan
Kesemua gagasan tersebut secara eksplisit membawa konsep pendekatan inklusif yang berfungsi untuk mengikis perbezaan.
Sepatutnya ia boleh merintis jalan baharu bagi gerakan pendemokrasian, tetapi malangnya ia juga sering terkait sebagai suatu retorik politik kosong.
Sebab itu perubahan kadang-kadang hanya membawa euforia sementara.
Lebih parah, sesudah keadaan kembali seperti sediakala, kestabilan politik itu sendiri dijadikan alasan untuk mengembalikan pemerintahan cara lama yang elitis dan manipulatif.
Dan kalau ini berlaku, yang rugi adalah negara itu sendiri. Rugi kerana perubahan yang berlaku tidak mendatangkan sebarang kesan malah membantutkan proses pendemokrasian yang sepatutnya diusahakan.
Setakat ini, masih belum nampak banyak perubahan yang substantif daripada sebarang perubahan, baik dari perubahan (peralihan) tampuk kepimpinan sehinggalah kepada perubahan rejim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dengan tempoh pemerintahan yang tinggal kurang dari dua tahun, kebarangkalian untuk semua komitmen dan tekad perubahan tersebut untuk tidak dilakukan adalah sangat tinggi.
Mungkin kita perlu kembali kepada pemimpin itu sendiri. Apakah perjalanan singkat serta perubahan mendadak daripada Ketua Pembangkang sehingga menjadi PM dalam tempoh tiga tahun itu benar-benar membuka minda kepada keterangkuman sebenar?
Apakah pengalaman dan pengajaran luar biasa pandemik global menginsafkan jiwa untuk membawa perubahan serta pemulihan?
Mungkin pada permulaan, perubahan yang diharapkan itu harus diberikan peluang. Namun sekelumit sangsi dan skeptikal masih perlu disimpan.
Bukan apa, kita sudah ada pengalaman selepas PRU14 dengan mengundi PH.
Memetik Profesor Wong Chin Huat, reformasi PH ketika itu bergerak dengan kelajuan siput babi. Jadi dalam konteks ini juga mungkin lebih baik kita bersikap optimis.
Bak kata pepatah Inggeris; hope for the best, but prepare for the worst.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca