PANDEMIK Covid-19 kini terus merebak di serata dunia, ia sudah meragut lebih 4.4 juta nyawa daripada lebih 200 juta mangsa dijangkiti virus itu. Keadaan ini menjadikannya penyakit berjangkit paling dahsyat abad ini.
Demi menewaskan Covid-19, manusia perlu memahami virus ini terlebih dahulu. Sejak peringkat awal penularan wabak ini, China telah bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha pencarian asal usul Covid-19 dan berkongsi maklumat penjujukan genom virus secara serta-merta.
China turut dua kali mengajak pasukan pakar WHO ke China bagi menjalankan kajian asal usul Covid-19, di mana China memberikan sokongan penuh kepada pasukan pakar itu termasuk membawa mereka mengunjungi mana-mana pertubuhan dan individu yang diingini.
Susulan itu, WHO mengeluarkan laporan penyelidikan bersama China-WHO mengenai asal usul Covid-19 yang menyatakan secara jelas bahawa kebocoran makmal sebagai punca Covid-19 adalah ‘sangat mustahil’.
Laporan itu juga mengesyorkan beberapa cadangan penting seperti ‘mencari kemungkinan kes awal Covid-19 di seluruh dunia’ dan ‘mengkaji kemungkinan penularan virus melalui rantaian produk sejuk beku’ yang diiktiraf secara meluas oleh masyarakat antarabangsa dan komuniti saintifik.
Terdapat semakin banyak bukti yang menunjukkan bahawa virus Covid-19 sudah lama berada dalam komuniti.
Beberapa kajian dijalankan oleh institusi dan pakar perubatan membuktikan bahawa virus ini telah dikesan di Eropah seawal November 2019.
Kajian tersebut juga mendedahkan bahawa berdasarkan situasi keseluruhan Covid-19, pandemik ini mempunyai pelbagai asal usul dan berlaku di beberapa lokasi berlainan.
Virus Covid-19 berasal dari persekitaran semula jadi adalah suatu pemahaman umum dalam kalangan komuniti saintifik.
Melalui surat terbuka diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada 5 Julai, seramai 24 pakar dari seluruh dunia termasuk ahli virologi terkenal Malaysia menekankan bahawa virus Covid-19 wujud dan berevolusi secara semula jadi.
Pada 7 Julai, ahli-ahli sains dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia menerbitkan suatu artikel pracetak di platform perkongsian data penyelidikan Eropah, Zenodo, yang menyatakan, "Tiada bukti bahawa Covid-19 berasal dari Institut Virologi Wuhan.”
Namun begitu, terdapat beberapa negara yang tidak menghiraukan bukti saintifik sedia ada, sebaliknya mempolitikkan isu sains.
Mereka secara terbuka mengarahkan agensi perisikan menjalankan siasatan asal usul Covid-19, memburuk-buruk dan menyalahkan negara lain, malah menggunakan pelbagai muslihat untuk menekan Sekretariat WHO dan pakar antarabangsa.
Suara keadilan harus didengar. Terdapat lebih 80 negara melalui surat kepada Ketua Pengarah WHO, kenyataan rasmi atau nota diplomatik, telah menyatakan sokongan mereka terhadap laporan penyelidikan bersama China-WHO dan membantah pempolitikan usaha merungkai asal usul Covid-19.
Selain itu, terdapat lebih 300 parti politik, pertubuhan dan kumpulan pemikir dari lebih 100 negara dan rantau menghantar kenyataan bersama kepada Sekretariat WHO, di mana mereka merayu WHO menjalankan kajian asal usul Covid-19 secara objektif dan adil.
Virus tidak dibatas sempadan dan tidak kenal bangsa. Seperti negara lain, China juga merupakan mangsa pandemik ini, dan berhasrat dapat mencari asal usul virus supaya penularan wabak dikekang secepat mungkin.
China sentiasa mendukung pencarian asal usul Covid-19 berdasarkan sains dan segala pempolitikan usaha ini mesti dibantah.
Pada masa ini, kita wajar menghormati sains dan mendokong kerjasama.
Tujuan kajian asal usul virus adalah untuk mempertingkat pemahaman saintifik terhadap virus supaya kita dapat menghadapi penyakit berjangkit dengan lebih baik pada masa hadapan.
* Ouyang Yujing ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca