SHAH ALAM - Isu melibatkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan penjawat awam, anggota dan pegawai polis di Johor mencatatkan angka yang serius dan membimbangkan.
Berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 56 anggota polis diambil tindakan melibatkan 13 anggota di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, empat anggota di bawah Seksyen 12, dan 39 orang di bawah Seksyen 15(1) akta sama.
Bagi 2021 pula, setakat ini dua pegawai dan 27 anggota dikenakan tindakan dan telah dituduh di mahkamah membabitkan tiga dituduh di bawah Seksyen 39b, lima di bawah Seksyen 12(2) dan 21 lagi di bawah Seksyen 15(1).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, isu melibatkan dadah adalah perkara yang boleh menjejaskan integriti PDRM secara keseluruhannya.
"Dua isu yang saya tidak boleh bertolak ansur, yang pertama rasuah dan kedua dadah.
"Dadah ini merupakan kesalahan yang berulang serta berkemungkinan untuk mereka pulih adalah sukar.
"Sebagai anggota dan pegawai yang menguatkuasakan undang-undang, kalau terlibat dadah, jadi di mana kedudukan kita untuk kuat kuasakan undang-undang.
"Sebab itu saya rasa dalam soal ini memang tiada tolak ansur, tindakan tegas akan segera dikenakan,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian di Kompleks Media Karangkraf di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana anggota dan pegawai yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
"Tindakan yang saya akan lakukan kalau di Johor ini memang saya akan tuduh di mahkamah.
"Saya akan minta laporan patologi seperti saya buat ke atas dua pegawai saya iaitu seorang inspektor dan dua anggota polis yang telah dituduh sebelum ini.
"Selepas dituduh, mereka akan ditahan kerja dan apabila mereka dijatuhkan hukuman, mereka akan digantung kerja sebab mungkin ada proses rayuan dan sebagainya, kemudian baru kita akan ambil tindakan buang kerja,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca