BENARLAH kata bidalan, ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Sesungguhnya, episod duka akan dilalui oleh sesiapa sahaja.
Hakikatnya, kita tidak tahu sejauh mana dalamnya duka mereka kerana menyelinap di dalam hati.
Walaupun di luarnya nampak ceria, namun gelora hati tiada siapa yang mengerti.
Pun begitu, episod duka tidak boleh terpendam lama di sanubari, sebaliknya kita perlu bangkit sama ada dengan mengumpul kekuatan sendiri atau ada insan lain yang mendorong kebangkitan tersebut. Apa yang penting, adanya ceria walaupun duka
Menurut perspektif psikologi, fenomena kedukaan ini mendorong berlakunya defense mechanisme atau helah bela diri.
Helah bela diri adalah strategi psikologikal yang berlaku dalam keadaan tidak sedar bagi melindungi diri daripada kebimbangan melampau kesan pengaruh pemikiran dan perasaan negatif.
Antara helah bela diri yang selalu digunakan tanpa sedar adalah menyalurkan kemarahan akibat kesedihan kepada orang lain, mengalih kesedihan dengan bersukan, bermain muzik serta menyangkal realiti sebenar yang menimpa dirinya.
Walaupun helah bela diri ini adalah sesuatu yang normal apabila seseorang itu hadapi ujian, namun jika kerap kali menggunakan helah bela diri, boleh halang keupayaan seseorang itu menguruskan pemikiran dan perasaan serta memberi impak negatif kepada diri dan orang lain dalam jangka masa panjang.
Baru-baru ini, ramai yang berkongsi data oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa seramai 1,517 pelajar di seluruh negara disahkan menjadi anak yatim atau yatim pintu kesan daripada gejala Covid-19. Data berkenaan direkodkan antara Mac tahun lalu sehingga Ogos tahun ini.
Alhamdulillah, setakat ini pasukan khas Kebajikan Murid Guru telah ditubuhkan di peringkat kementerian serta pelbagai bantuan diberikan seperti bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan bantuan bekalan makanan di bawah Rancangan Makanan Tambahan serta menempatkan mereka di asrama kelolaan kementerian bagi mereka yang layak.
Sebetulnya, soal kebajikan anak yatim perlu diberi penekanan yang serius selaras firman ALLAH SWT, "Dan sebaliknya apabila diuji oleh Tuhannya dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan resah gelisah) serta merepek dengan katanya, ‘Tuhanku telah menghinakan daku. Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang ia berhak menerimanya); Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.” (Surah Al-Fajr, 89:16-18).
Isu kedukaan anak yatim perlu ditangani dengan perspektif menyeluruh dan berpanjangan.
Kita tidak boleh hanya sekadar menjaga fizikal mereka, sebaliknya keteguhan mental dan ketenangan jiwa perlu dititikberatkan.
Mereka perlu dididik dan dibimbing sepertimana bimbingan ibu bapa mereka sebelum ini.
Justeru, sistem pengambilan anak angkat yang ampuh perlu digarap di peringkat tertinggi bagi merealisasikan penyaluran kasih sayang yang berpanjangan.
Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Akhlaqul Karimah, "Setiap manusia wajib menunaikan kewajibannya, tidak dapat terlepas diri daripada kewajiban. Pembayaran kewajiban yang paling tinggi dan paling mulia ialah kewajiban yang dikerjakan atas perintah hati sendiri, bukan lantaran mengikuti perintah orang lain, paksaan ataupun pujian. Tidak pula berhenti dengan makian dan celaan.”
Semoga kita terus berbakti menceriakan mereka yang duka.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca