SHAH ALAM - Parti UMNO dan Bersatu mengekalkan dominasi dalam kabinet apabila masing-masing mempunyai 10 orang menteri dalam senarai diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat. Jumlah tersebut tidak termasuk jawatan Perdana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti UMNO dan Bersatu mengekalkan dominasi dalam kabinet apabila masing-masing mempunyai 10 orang menteri dalam senarai diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.

Jumlah tersebut tidak termasuk jawatan Perdana Menteri yang kini telah menjadi milik UMNO selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah pada 21 Ogos lalu.

Dengan Ismail Sabri dilihatkan mengekalkan saiz kabinet yang sama seperti pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, jumlah pembahagian jawatan untuk parti lain juga tidak berubah.

Berdasarkan senarai yang diumumkan pada Jumaat, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi parti ketiga mempunyai bilangan paling ramai menteri iaitu seramai empat orang.

Pas juga kekal mempunyai tiga orang menteri sama seperti yang dimiliki semasa pentadbiran PN.

Tiga parti komponen Barisan Nasional dan Perikatan Nasional iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Sabah masing-masing memiliki satu jawatan menteri.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kini menjadi profesional tunggal dalam kabinet Ismail Sabri.

Bagi jawatan pentadbiran timbalan menteri pula, Ismail Sabri memberikan kelebihan kepada Bersatu apabila parti tersebut mempunyai 14 orang timbalan menteri.

UMNO berada di belakang dengan seramai 10 orang timbalan menteri diikuti Pas (5), GPS (4), MCA (4) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (1).

Sementara itu, dari segi pembahagian menteri mengikut negeri, Johor mempunyai paling ramai menteri iaitu seramai enam orang.

Mereka masing-masing Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Adham Baba.

Tiga lagi ialah Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamaed Sadique, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Seri Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, We Ka Siong.

Tidak ketinggalan Kelantan juga mempunyai calon menteri teramai iaitu seramai lima orang.

Mereka ialah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Seorang Senator Bersatu iaitu Datuk Dr Radzi Jidin juga merupakan menteri yang berasal dari Kelantan.

Klik di sini untuk terus membaca